Warga Singapura seharusnya melihat langkah dan inisiatif yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025 dari sudut jangka panjang, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman.
Ini lebih-lebih lagi sedang Singapura berdepan masa hadapan yang semakin tidak menentu, tambahnya.
Dr Maliki berkongsi demikian dengan Berita Harian (BH) selepas sesi rakaman podcast NoTapis pasca Belanjawan di pejabat SPH Media pada 20 Februari – rakaman itu akan disiarkan di Spotify pada 28 Februari.
Dalam sesi itu, beliau telah mendengar dan menjawab kebimbangan yang diutarakan empat warga Singapura – dari pelbagai latar belakang – serta bagaimana Belanjawan 2025 dapat memberi kesan dalam perjalanan hidup mereka.
Katanya: “Belanjawan kali ini harus dilihat dari konteks jangka panjang… kerana ia memberi isyarat bahawa pemerintah prihatin tentang pentingnya kita lihat pembangunan Singapura dari sudut jangka panjang.”
Dalam Belanjawan kali ini yang dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, pada 18 Februari, pemerintah telah memperluaskan beberapa inisiatif bagi memacu ekosistem perusahaan dan inovasi di sini.
Antaranya termasuk geran $100,000 bagi setiap pasaran baru di bawah Geran Bantuan Kesediaan Pasaran – dilancarkan pada 2013, ia bertujuan menyokong perniagaan kecil dan sederhana (SME) menjangkau pasaran baru di luar negara.
Geran tersebut dijadualkan luput pada 31 Mac 2025, namun ia dilanjutkan sehingga 31 Mac 2026.
Langkah seperti ini, jelas Dr Maliki, membantu perusahaan baru dan SME meneroka pasaran baru di rantau ini atau selanjutnya, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Singapura.
“Kita ingin menggalakkan (penubuhan) lebih banyak perusahaan baru… dan terus menggalakkan perusahaan menebarkan sayap mereka supaya ia dapat dicontohi oleh syarikat-syarikat baru di sini,” ujarnya.
Selain perusahaan di sini, beliau turut memberi penekanan bahawa tenaga kerja di sini perlu mempersiapkan dan meningkatkan kemahiran bagi masa hadapan yang pesat berkembang.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar masyarakat Melayu/Islam di sini memanfaatkan program di bawah SkillsFuture bagi mempertingkat kemahiran mereka.
Ini lebih-lebih lagi setelah Encik Wong mengumumkan beberapa peningkatan kepada program SkillsFuture – antaranya Program Peningkatan SkillsFuture, bertujuan menyokong warga Singapura dalam pertengahan kerjaya untuk menimba atau mempertingkat kemahiran.
Di bawah Program Peningkatan SkillsFuture yang dipertingkat ini, individu boleh memohon elaun latihan sehingga $3,000 setiap bulan selama 24 bulan untuk kursus sepenuh masa tertentu mulai Mac 2025.
Dr Maliki berkata menerusi pemerhatiannya, ramai daripada masyarakat Melayu belum meraih manfaat penuh daripada program-program sedia ada di bawah SkillsFuture.
Ini menurutnya satu kebaikan yang terlepas begitu sahaja kerana ia boleh bantu melakar masa hadapan yang lebih cerah bagi individu.
“Jika kita dapat meraih (manfaat dan kebaikan) daripada program yang telah diadakan, kita boleh memperbaiki potensi masa hadapan kita.
“Dari aspek pekerjaan pula, banyak pekerjaan baru kini tersedia dan kita perlu ubah pola pemikiran kita,” ujar beliau.
Tambahnya, pelbagai sektor baru kian berkembang dan pekerjaan kian berubah.
Justeru, tenaga kerja, khususnya masyarakat Melayu/Islam, perlu bersedia untuk memanfaatkan persekitaran semasa yang dibentuk melalui perkembangan atau perubahan ini, ujar Dr Maliki.
Belanjawan 2025 dibentangkan beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum dan merupakan Belanjawan pertama yang disampaikan Encik Wong selepas mengangkat sumpah sebagai ketua pemerintah pada Mei 2024.
Belanjawan kali ini bernilai $143.1 bilion, lebih besar daripada $134.2 bilion yang dibelanjakan dalam tahun kewangan (FY) 2024.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg