Badan bantu diri (SHG) seperti Yayasan Mendaki kini dapat memperluaskan skala program masing-masing dan menjangkau lebih banyak segmen masyarakat yang memerlukan dengan suntikan dana tambahan yang diumumkan semasa Belanjawan 2025, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Beliau, yang juga Pengerusi Yayasan Mendaki, berkongsi kepada pihak media selepas pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di Parlimen, sambil memberi jaminan kini terdapat skop bagi program seperti Kelas MateMatika (KMM), kendalian Mendaki, untuk menjangkau lebih ramai individu dalam masyarakat Melayu/Islam.
Ini setelah dana tambahan sebanyak $60 juta, diumumkan Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, dalam Belanjawan 2025, demi mempertingkatkan program dan menyokong masyarakat di bawah kendalian badan bantu diri masing-masing.
Ia juga dilaksanakan setelah Encik Wong mengakui peranan penting yang dimainkan oleh badan-badan sedemikian dalam “menangani keperluan masyarakat masing-masing dan mengukuhkan kompak sosial” Singapura.
Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan, berkata “habuan” yang diberikan Perdana Menteri kepada badan bantu diri akan dapat digunakan untuk memenuhi keperluan pendidikan, misalnya, dalam membantu lebih ramai yang memerlukan bantuan.
“Bagi Mendaki, kami telah meningkatkan skala program. Misalnya program KMM, yang sebelum ini hanya dimanfaatkan 100 hingga 300 keluarga.
“Kini, kami telah meningkatkan skala tersebut (yang mampu manfaatkan) sehingga 4,000 keluarga,” ujarnya.
Program tersebut dimulakan pada 2018 bagi membantu memastikan setiap kanak-kanak mempunyai permulaan yang baik dalam hidup dengan memperkayakan ibu bapa untuk menyokong dan mengasuh anak-anak mereka pada peringkat prasekolah dengan konsep asas celik angka.
Pada Oktober 2024, Timbalan Pengerusi Mendaki, Encik Zaqy Mohamad, mendedahkan dalam pembentangan Laporan Lima Tahun M3 oleh Mendaki, lebih 10,000 ibu bapa dan anak-anak telah mendaftar bagi program KMM.
Memetik kajian Pejabat Penilaian Program Mendaki pada 2022, Encik Zaqy menambah lapan daripada 10 atau sekitar 80 peratus kanak-kanak yang mengikuti program KMM tidak memerlukan sokongan pembelajaran apabila mereka memasuki Darjah 1.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah, berkata dengan dana tambahan yang diperuntukkan bagi SHG ini, ia dapat mempertingkatkan program dan meluaskan jangkauan untuk menyokong lebih ramai keluarga dalam setiap peringkat kehidupan.
“Di samping rakan SHG kami, Mendaki tampil berdedikasi untuk mewujudkan persekitaran lebih inklusif dan saling mendukung bagi semua melalui pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat,” tambahnya
Selain itu, Encik Masagos turut menyentuh berkenaan Skim Bantuan Kemahiran Daya Kerja (WSS), yang dipertingkat bagi pekerja bergaji rendah berusia 30 tahun dan ke atas, yang berminat mengikuti kursus lebih panjang.
Peningkatan skim tersebut diumumkan Encik Wong dalam Belanjawan 2025 sebagai langkah menyokong pekerja mendapat elaun latihan secara bulanan bagi kursus sambilan atau sepenuh masa tertentu mulai awal 2026.
Golongan pekerja ini akan menerima elaun bulanan sebanyak $300, sekiranya mereka mengambil kursus sambilan tertentu, atau sehingga 50 peratus daripada pendapatan purata dalam tempoh 12 bulan, jika mereka turut serta dalam kursus sepenuh masa tertentu.
Skim tersebut, yang dilancarkan pada 2020, buat masa ini, direka bagi menyokong kursus singkat yang diselesaikan dalam jangka masa beberapa hari, tambah Encik Wong.
Encik Masagos berkata: “Yang penting (adalah) adanya peningkatan pada kelayakan golongan ini… yang akan memberikan mereka (kenaikan) bagi taraf pekerjaan.”
Belanjawan kali ini, dibentangkan beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum selanjutnya, adalah Belanjawan pertama yang disampaikan Encik Wong selepas mengangkat sumpah sebagai ketua pemerintah pada Mei 2024.
Malah, ia mewakili fasa kedua usaha Forward SG atau Melakar Hala Tuju Singapura, sedang negara menyambut ulang tahun ke-60 pada 2025.
Belanjawan 2025 bernilai $143.1 bilion, lebih besar daripada $134.2 bilion yang dibelanjakan dalam tahun kewangan (FY) 2024.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg