Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masagos: Pemerintah komited sokong perjalanan keluarga besar

Feb 18, 2025 | 9:35 PM
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata warga Singapura dengan keluarga besar, atau yang berhasrat menimang lebih ramai cahaya mata, tidak perlu berasa bimbang sedang pemerintah memperkukuh sokongan bagi golongan ini.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata warga Singapura dengan keluarga besar, atau yang berhasrat menimang lebih ramai cahaya mata, tidak perlu berasa bimbang sedang pemerintah memperkukuh sokongan bagi golongan ini. - Foto BH oleh AMIRA SYAHEERA AZLAN

Warga Singapura dengan keluarga besar, atau yang berhasrat menimang lebih ramai cahaya mata, tidak perlu berasa bimbang sedang pemerintah komited untuk menyokong perjalanan mereka, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Berkongsi kepada media selepas pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 18 Februari di Parlimen, Encik Masagos menggesa pasangan dan keluarga besar – yang ditakrifkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) sebagai keluarga yang ada tiga anak atau lebih – agar tidak menjadikan kos sebagai halangan mempunyai anak atau keluarga lebih besar.

Beliau, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, berkata demikian semasa mengulas sokongan di bawah Skim Keluarga Besar (LFS) baru yang diumumkan Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.

Skim itu diperkenalkan bagi menyediakan lebih banyak sokongan kepada pasangan yang mempunyai tiga anak atau lebih.

Encik Masagos, yang juga Menteri Kedua Kesihatan, berkata:

“Kami mendengar rintihan daripada ibu bapa yang kadangkala memikirkan bagaimana mereka dapat tampung keluarga lebih besar.

“Dengan adanya sokongan atau skim ini untuk keluarga lebih besar, saya harap mereka tidak memikirkan kos (perbelanjaan) sebagai satu bebanan sehinggakan mereka tidak mahukan keluarga lebih besar. Apatah lagi, bagi keluarga besar yang sudah ada tiga atau empat orang anak.”

Beliau menambah skim tersebut memberi isyarat jelas pemerintah komited dalam membantu keluarga besar “secara lebih khusus”.

Menurut Encik Wong dalam pembentangan Belanjawan 2025, di bawah LFS, setiap anak ketiga atau seterusnya akan menerima tambahan $5,000 dalam Geran Langkah Pertama Akaun Pembangunan Anak (CDA).

Di samping itu, geran MediSave Keluarga Besar baru bernilai $5,000 akan dimasukkan ke dalam akaun MediSave ibu bagi setiap anak ketiga dan seterusnya, yang dilahirkan pada atau setelah 18 Februari.

Mentelah, kredit LifeSG Keluarga Besar bernilai $1,000 akan diberikan setiap tahun kepada keluarga bagi setiap anak ketiga atau seterusnya, sepanjang anak itu berusia satu hingga enam tahun, sambil menambah sokongan ini dijangka meringankan beban perbelanjaan isi rumah, ujar Encik Wong.

Selain LFS, Encik Masagos menarik perhatian terhadap sokongan dan langkah yang diambil pemerintah dalam menangani kebimbangan warga Singapura terhadap kos sara hidup, dalam apa yang beliau sifatkan sebagai Belanjawan dengan “pakej menyeluruh” untuk “menampung peningkatan kos (sara) kehidupan” warga Singapura.

Beliau juga menjelaskan aspek-aspek yang diketengahkan dalam Belanjawan 2025, merangkumi pelbagai teras dan segmen warga, sekali gus “menjangkau setiap lapisan masyarakat”.

“Jika kita mendalami prinsip Belanjawan kali ini... ia memberi jaminan kepada warga Singapura terhadap masa hadapan mereka.

“Misalnya, pemerintah telah mengetepikan $5 bilion untuk mengatasi perubahan iklim bersama supaya bebannya tidak ditanggung mereka yang hidup lagi 20 hingga 30 tahun akan datang. (Belanjawan ini) juga memberi manfaat kepada warga Singapura pada masa ini.

“Jadi... semua warga tidak kira status mendapat manfaat daripada lebihan Belanjawan,” ujar Encik Masagos, merujuk kepada lebihan $6.4 bilion atau sebanyak 0.9 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) bagi tahun kewangan (FY) 2024.

Sementara itu, beliau turut menyambut baik sokongan Kredit Peningkatan Pekerjaan (UEC) yang akan dilanjutkan hingga Disember 2028.

Memberikan maklumat terkini berkenaan inisiatif yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2023 itu, Encik Wong berkata UEC telah menyokong hampir 700 majikan dalam pengambilan kerja lebih 1,500 bekas pesalah pada 2024.

Menurut Encik Masagos, ini langkah ke arah menjadikan Singapura lebih inklusif, memandangkan ia memerlukan “pendekatan lebih khusus” bagi membantu golongan sedemikian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg