Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maliki bentang tiga anjakan asas tangani kebuluran, kemiskinan

Jul 25, 2024 | 2:25 PM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman (kiri) bersama Presiden Brazil, Encik Luiz Inácio Lula da Silva, ketika hadiri Mesyuarat Peringkat Menteri Perikatan Global Menentang Kebuluran dan Kemiskinan di Rio de Janeiro, Brazil.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman (kiri) bersama Presiden Brazil, Encik Luiz Inácio Lula da Silva, ketika hadiri Mesyuarat Peringkat Menteri Perikatan Global Menentang Kebuluran dan Kemiskinan di Rio de Janeiro, Brazil. - Foto FACEBOOK DR MALIKI OSMAN

Bagi menyelesaikan isu kebuluran dan kemiskinan di dunia menjelang 2030, beberapa anjakan asas diperlukan dalam pemikiran dan cara negara mengatur masyarakatnya, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman.

Dalam campur tangannya semasa sesi pleno di Mesyuarat Peringkat Menteri Perikatan Global Menentang Kebuluran dan Kemiskinan (GAHPTFMM) di Rio de Janeiro, Brazil, pada 24 Julai, Dr Maliki akur bahawa inisiatif Brazil untuk membentuk satu Perikatan Global adalah sangat penting.

Beliau kemudian menyatakan tiga anjakan asas bagi menangani isu kebuluran dan kemiskinan.

Pertama adalah menyediakan pendidikan berkualiti untuk semua orang, tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang sosio-ekonomi, yang bertindak sebagai laluan untuk menjana pendapatan.

Dr Maliki juga berkata adalah penting memberikan mereka peluang baik bagi memperoleh kemahiran kerja baru dan dilatih semula untuk terus bekerja, seiring dengan perkembangan masyarakat dan teknologi.

Kedua, semua orang perlu diberikan akses kepada perkhidmatan perubatan asas yang berkualiti dan mampu milik, serta air bersih dan sanitasi.

Ini akan membolehkan mereka menjalani aktiviti harian secara produktif, menurut Dr Maliki.

Ketiga, negara harus menangani kebuluran sebagai sebahagian daripada cabaran yang lebih luas iaitu ketakjaminan makanan yang disebabkan oleh perubahan iklim dan gangguan rantaian bekalan.

“Kita tidak boleh menyelesaikan kebuluran dan ketakjaminan makanan tanpa menangani isu-isu ini kerana ia saling berkaitan,” jelas beliau.

“Itulah tiga anjakan dalam pemikiran kita yang mesti kita lakukan. Ia bukan mainan campur-tolak, yang mana terdapat pertukaran antara satu bahagian dunia dengan mengorbankan bahagian lain.”

Menjelang 2030, diunjurkan bahawa lebih 600 juta orang di seluruh dunia masih hadapi kelaparan dan 575 juta orang akan terus hidup dalam kemiskinan melampau.

Dr Maliki juga memberi tiga cadangan yang boleh diambil sebagai tindakan. 

Ia adalah menyokong negara membangun dalam pembinaan kapasiti serta pembangunan infrastruktur penting untuk memastikan mereka berdaya tahan iklim; bangunkan strategi kewangan antarabangsa baru yang melibatkan sektor swasta dan sumber dermawan; dan mengukuhkan multilateralisme.

Dengan sesi pleno itu, Dr Maliki mengakhiri siri mesyuaratnya di Mesyuarat Menteri Pembangunan G20 (DMM) dan GAHPTFMM yang berlangsung dari 22 hingga 24 Julai di Rio de Janeiro. 

Dalam catatannya di Facebook pada 25 Julai, Dr Maliki memberi penghargaan kepada Presiden Brazil, Encik Luiz Inácio Lula da Silva, kerana mengundang Singapura ke mesyuarat itu.

Dr Maliki juga menyatakan sokongan Singapura terhadap inisiatif Brazil.

Beliau seterusnya akan berangkat ke Belo Horizonte. Di sana, Dr Maliki berkata beliau akan meneroka peluang memperkukuh lagi hubungan Singapura dengan Brazil.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg