Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, bertemu Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa Amiriah Arab Bersatu (UAE), Cik Reem Ebrahim Al Hashimy, semasa menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Brazil.
Kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Jaluran Gaza.
Mereka bersetuju mengenai keperluan mendesak untuk menghantar bantuan kemanusiaan dan pelaksanaan gencatan senjata serta-merta, menurut Dr Maliki dalam catatannya di Facebook pada 24 Julai.
Dr Maliki juga berkongsi dengan Cik Reem mengenai bantuan kemanusiaan keempat Singapura untuk Gaza, yang telah diumumkan pada 23 Julai.
Bantuan itu mengandungi kira-kira 300 tan sardin halal dalam tin dan 1,000 tan beras putih.
“Sumbangan ini mencerminkan komitmen berterusan Singapura untuk membantu penduduk Gaza, setelah menyampaikan bantuan kemanusiaan yang besar dalam peringkat sebelumnya,” kata Dr Maliki.
Bantuan kemanusiaan terbaru adalah yang keempat dalam tempoh sembilan bulan.
Singapura menghantar bantuan kemanusiaan pertamanya ke Gaza pada November 2023, apabila Dr Maliki berangkat ke Kahirah, Mesir, untuk menyerahkan sumbangan derma warga Singapura serta barangan kemanusiaan dari Palang Merah Singapura (SRC), seperti bekalan perubatan dan makanan, perkakas pembersihan kepada mangsa di Gaza.
Pada bulan itu juga, Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) telah menghantar 10 tan bekalan kemanusiaan sebelum dua pesawat RSAF dan 69 pegawai membuat perjalanan ke Gaza untuk melakukan penghantaran bekalan makanan kedua sebanyak 20 tan, yang dibantu Kerajaan Jordan pada Mac 2024.
Dr Maliki menambah: “Saya merakamkan penghargaan atas sokongan tidak berbelah bahagi UAE dalam bekerjasama rapat dengan kami untuk memudahkan penyampaian bantuan keempat ini kepada mangsa di Gaza.
“Kerjasama kami memastikan bahawa bantuan dihantar dengan cekap dari Singapura ke Larnaca di Cyprus, dan seterusnya ke Gaza untuk pengagihan selanjutnya, membantu meringankan penderitaan orang awam di rantau ini.”
Dr Maliki berada di Rio Janeiro, Brazil, untuk menghadiri mesyuarat di Sidang Kemuncak G20 dari 22 hingga 24 Julai itu atas undangan Kepresidenan G20 Brazil 2024.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg