Belajar sambil bekerja mungkin menimbulkan cabaran jangka pendek, namun pekerja termasuk karyawan, pengurus, eksekutif dan teknikal (PMET) perlu sedar bahawa faedah jangka panjang meningkatkan kemahiran dan memperoleh kemahiran baru jauh mengatasi cabarannya.
Malah, tidak berbuat demikian boleh membahayakan mata pencarian mereka, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman.
Dalam temubual pascaperbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) bersama Berita Harian (BH), Dr Maliki, berkata ramai pekerja tidak melihat keperluan meningkatkan kemahiran kerana mereka berpendapat pekerjaan yang mereka ada sekarang akan kekal stabil untuk 20 tahun akan datang.
“Tapi realitinya, ia bukan begitu. Dan kita tidak mahu situasi yang mana apabila mereka sudah berumur 45, 50 tahun, mereka sedar ‘alamak, syarikat saya dah nak tutup’... Selepas itu, apa akan berlaku untuk 15 tahun akan datang?
“Oleh itu, kami mahu mereka bermula lebih awal, mengakui bahawa mereka mungkin berada dalam industri yang semakin meleset, atau sunset industry, dan mula berfikir untuk beralih dengan cepat. Apabila mereka berusia 43, 45 tahun, mereka sudah berada dalam industri yang semakin berkembang, sekurang-kurangnya ada lagi 20 tahun bagi mereka,” ujar beliau.
Bagi mengelakkan situasi yang mana pekerja sudah mencapai usia agak senja, sementara kemahiran mereka kekal sama, adalah penting untuk menaik taraf atau mendapat kemahiran baru.
Gagal berbuat demikian, pekerja berisiko menjejas bukan sahaja diri mereka tetapi keluarga mereka juga, terutamanya jika mereka merupakan pencari nafkah utama.
“Semua sudah tersedia untuk anda. Kalau anda tidak melakukannya sekarang, anda berisiko menjejas bukan sahaja diri sendiri tetapi keluarga anda juga.
“Kalau anda merupakan ketua keluarga, misalnya, saat anda kehilangan pekerjaan dan anda tidak mempunyai set kemahiran baru, anda akan mengambil masa lebih lama untuk mendapat pekerjaan dengan gaji yang sama.
“Kemungkinan anda boleh mendapatkan pekerjaan tetapi dengan gaji yang lebih rendah, kerana set kemahiran anda adalah lebih rendah.
“Jadi, jangan ambil risiko itu. Buat perancangan awal. Akui awal, apakah keadaan anda sekarang?” nasihat Dr Maliki.
Semasa Belanjawan 2025 pada Februari lalu, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, mengumumkan bahawa elaun latihan $300 sebulan akan diperkenalkan mulai awal 2026 bagi membantu pekerja menimba ilmu dalam kursus sambilan tertentu.
Pada masa ini, hanya warga Singapura berumur 40 tahun ke atas, yang mendaftar dalam kursus sepenuh masa terpilih, layak mendapat elaun latihan bulanan sehingga $3,000 yang dibuka untuk permohonan mulai Mac.
Selain manfaat pada diri dan kerjaya yang boleh diraih, pekerja, terutama ibu bapa yang mahu ‘kembali ke sekolah’ juga boleh menjadi teladan kepada anak-anak mereka, kata Dr Maliki.
Bahkan, kemungkinan ibu bapa akan dapat berinteraksi dengan lebih baik dengan anak mereka, lebih-lebih lagi jika apa yang dipelajari kedua-duanya sama atau berkaitan, misalnya pengekodan.
“Barulah anda melihat dinamik yang berbeza dalam keluarga. Ia menggambarkan keluarga yang sentiasa menimba ilmu.
“Kita juga ingin menggalakkan transformasi dalam masyarakat Melayu/Islam untuk melihat keluarga-keluarga kita sebagai keluarga yang sentiasa menimba ilmu, keluarga yang menghadapi perubahan dan bersedia untuk bertindak balas terhadap perubahan. Ia untuk kepentingan mereka sendiri,” ujar Dr Maliki.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg