Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maliki: Dokumentari khas BH tentang Aceh, peringatan semangat perpaduan antara masyarakat

Jan 2, 2025 | 8:30 PM
Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman (tiga dari kiri) menghadiri acara tayangan dokumentari berjudul, ‘Gelombang Perubahan: Aceh 20 Tahun Selepas Dibadai Tsunami’ di Wisma Geylang Serai pada 2 Januari. (Dari kiri) Ketua Editor Kumpulan Media Inggeris/Melayu/Tamil SPH Media, Encik Wong Wei Kong; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SPH Media, Encik Kuek Yu Chuang; pengerusi Mercy Relief, Encik Satwant Singh; Duta Besar Indonesia ke Singapura, Encik Suryo Pratomo dan Editor BH, Encik Nazry Mokhtar.
Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman (tiga dari kiri) menghadiri acara tayangan dokumentari berjudul, ‘Gelombang Perubahan: Aceh 20 Tahun Selepas Dibadai Tsunami’ di Wisma Geylang Serai pada 2 Januari. (Dari kiri) Ketua Editor Kumpulan Media Inggeris/Melayu/Tamil SPH Media, Encik Wong Wei Kong; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SPH Media, Encik Kuek Yu Chuang; pengerusi Mercy Relief, Encik Satwant Singh; Duta Besar Indonesia ke Singapura, Encik Suryo Pratomo dan Editor BH, Encik Nazry Mokhtar. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
Watch on YouTube

Sebuah dokumentari khas yang dihasilkan Berita Harian (BH) berkaitan tragedi tsunami di Aceh, mengingatkan orang ramai tentang semangat perpaduan yang terjalin antara masyarakat, kata Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman.

Menyatakan demikian di acara tayangan dokumentari berjudul, Gelombang Perubahan: Aceh 20 Tahun Selepas Dibadai Tsunami, di Wisma Geylang Serai pada 2 Januari, Dr Maliki berkata kisah-kisah yang dikongsi dalam dokumentari itu amat menyentuh hati dan memberi inspirasi kepada orang ramai agar terus menghargai nilai kemanusiaan, empati, dan harapan.

“Dokumentari ini bukan sahaja mengimbau tragedi yang berlaku 20 tahun lalu, malah ia juga mengingatkan kita tentang semangat perpaduan yang terjalin antara masyarakat antarabangsa, termasuk Singapura, dan saudara-saudara kita di Aceh.

“Kisah-kisah yang dikongsi dalam dokumentari ini serta perbincangan dalam sesi fireside chat malam ini amat menyentuh hati dan memberikan inspirasi kepada kita semua agar terus menghargai nilai kemanusiaan, empati, dan harapan,” kata Dr Maliki.

Majlis pelancaran anjuran BH dan Mercy Relief itu turut menampilkan sesi perbincangan fireside chat bersama mangsa dan pekerja kemanusiaan yang dipaparkan dalam video tersebut. 

Dokumentari selama 22 minit itu mengisahkan pengalaman peribadi mangsa yang terselamat dan pekerja kemanusiaan semasa berlakunya kejadian tsunami di Aceh pada 26 Disember 2004 serta perubahan yang disaksikan menyusuli bencana itu.

Salah satu adegan daripada dokumentari, ‘Gelombang Perubahan: Aceh 20 Tahun Selepas Dibadai Tsunami’ yang menampilkan Masjid Raya Baiturrahman kini. Dokumentari ini boleh ditonton di semua wadah media sosial Berita Harian (BH).
Salah satu adegan daripada dokumentari, ‘Gelombang Perubahan: Aceh 20 Tahun Selepas Dibadai Tsunami’ yang menampilkan Masjid Raya Baiturrahman kini. Dokumentari ini boleh ditonton di semua wadah media sosial Berita Harian (BH). - TANGKAP LAYAR VIDEO BH

Seramai 100 tetamu hadir di acara tersebut termasuk Duta Besar Indonesia ke Singapura, Encik Suryo Pratomo, Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SPH Media, Encik Kuek Yu Chuang; Ketua Editor Kumpulan Media Inggeris/Melayu/Tamil SPH Media, Encik Wong Wei Kong; dan Editor Berita Harian (BH), Encik Nazry Mokhtar.

Tetamu lain terdiri daripada pemimpin masyarakat dan pelajar institut pengajian tinggi (IHL).

Dokumentari tersebut turut memaparkan usaha sejagat membantu Aceh dalam pemulihannya – seperti badan bantuan kemanusiaan Singapura, Mercy Relief, yang telah memberi sokongan kepentingan dalam proses pemulihan.

Ini selaras dengan ucapan Encik Pratomo yang berkongsi bahawa, “Mercy Relief merupakan antara salah satu badan bantuan kemanusiaan pertama yang menawarkan sokongan keperluan”.

“Mercy Relief merupakan salah satu pertubuhan kemanusiaan pertama yang menawarkan bantuan kemanusiaan dengan sokongan penting menyusuli kejadian itu.

“Sumbangan mereka, bersama dengan rakan antarabangsa lain membantu dalam proses pembangunan semula, yang memaparkan kuasa perpaduan sejagat,” kata beliau.

Dalam ucapannya, Encik Nazry pula memetik penglibatan “pemerintah, badan bukan pemerintah (NGO), dan individu daripada semua lapisan masyarakat” yang telah tampil “memberikan bantuan dan membina semula masyarakat”.

Dokumentari itu dirakam semasa sepasukan lima anggota BH melawat Banda Aceh dan Meulaboh dari 5 hingga 9 Disember 2024 sempena 20 tahun bencana itu.

Di samping tayangan eksklusif, sesi perbincangan fireside chat, turut diadakan dengan ahli panel terdiri daripada pengerusi Mercy Relief, Encik Satwant Singh; mantan kakitangan Mercy Relief, Cik Juliah Bee Abdul Latiff dan mangsa tsunami yang terselamat, Encik Muhammad Iqbal serta wartawan BH, Cik Shiqin Ramadan. Perbincangan itu dikendalikan oleh Koresponden BH, Cik Siti Aisyah Nordin.

Laporan lanjut di Muka 3

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg