Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pendidikan dan Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, menyatakan bahawa melalui pertandingan seni dan esei, para peserta berpeluang meluahkan pendapat mereka mengenai pendermaan dan pemindahan organ.
Daya usaha tersebut mampu mencetuskan perbualan yang bermakna mengenai tindakan yang boleh menyelamatkan nyawa.
Beliau membuat kenyataan semasa menghadiri, The Live On Festival (LOF), yang dianjurkan oleh Unit Pemindahan Organ Nasional (Notu) di bawah Kementerian Kesihatan (MOH).
Festival itu dianggap sebagai wadah penting untuk memperkenalkan konsep pendermaan organ kepada golongan belia dan masyarakat umum.
Dalam satu hantaran di laman Facebook pada 25 Ogos, Dr Maliki menekankan kepentingan pertandingan seni dan esei yang dianjurkan oleh LOF dalam membuka ruang kepada para peserta untuk berkongsi pandangan mereka mengenai pendermaan dan pemindahan organ.
“Pertandingan ini menggalakkan peserta meluahkan pendapat mereka, yang seterusnya mencetuskan perbualan bermakna mengenai tindakan menyelamatkan nyawa ini,” katanya.
Sebanyak 125 sekolah menengah mengambil bahagian dalam acara itu, dengan 3,011 karya seni dan 2,830 esei dihantar untuk dinilai dalam kategori sekolah dan terbuka.
Dr Maliki turut menyatakan kekagumannya terhadap karya pemenang yang dipamerkan, yang menurutnya menunjukkan tahap kematangan dan kebijaksanaan yang tinggi.
“Kreativiti dan semangat anak muda kita terserlah, menunjukkan pemahaman mereka yang mendalam tentang kesan pendermaan organ dalam menyelamatkan nyawa dan memberi harapan kepada mereka yang memerlukan,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg