Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasangan suami isteri cekal laksana ibadah haji walau cuaca panas

Jun 13, 2024 | 5:13 PM
Cuaca yang agak panas tidak menjejas semangat Encik Adha Ahmad bersama isteri, Cik Nur Diyana Sahaimi, untuk terus melaksanakan ibadah Haji buat pertama kali.
Cuaca yang agak panas tidak menjejas semangat Encik Adha Ahmad bersama isteri, Cik Nur Diyana Sahaimi, untuk terus melaksanakan ibadah Haji buat pertama kali. - Foto ihsan ADHA AHMAD

Jemaah haji Singapura masih kekal bersemangat meski suhu meningkat sehingga lebih 40 darjah Celsius dengan lebih ramai anggota jemaah dari seluruh pelosok dunia kini sudah tiba di Makkah.

Antara mereka adalah Encik Adha Ahmad dan isteri, Cik Nur Diyana Sahaimi, yang kini di kota suci itu untuk menunaikan rukun Islam yang kelima buat pertama kali.

Pasangan itu merupakan anggota jemaah TM Fouzy Travel and Tours dan antara rombongan jemaah Singapura terakhir yang berangkat dari Lapangan Terbang Changi pada 10 Jun lalu.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Adha, 42 tahun, berkata beliau dan isteri berada dalam keadaan sihat sejak tiba di Makkah pada 11 Jun.

Malah mereka juga sempat melakukan umrah sebelum melaksanakan haji.

“Alhamdulillah sejak kami sampai semuanya berjalan lancar, walaupun cuaca panas.

“Tempat penginapan kami juga sangat selesa dilengkapi dengan penghawa dingin,” kongsi beliau yang menambah akan menghabiskan waktu sebelum Hari Arafah untuk mengulang kaji tentang rukun haji serta melakukan Qiyam.

Musim haji tahun ini berlangsung sedang suhu di negara itu naik dengan begitu ketara sekali.

Baru-baru ini pihak berkuasa Arab Saudi telah mengeluarkan amaran tentang suhu cuaca yang semakin meningkat, yang mampu mencapai sehingga 48 darjah Celsius. Suhu di Makkah dilaporkan mungkin naik sekitar 44 darjah Celsius.

Suhu cuaca yang tinggi itu menjadi “cabaran utama” bagi musim haji kali ini yang dijangka bermula pada 14 Jun ini, menurut jurucakap kementerian kesihatan Arab Saudi, Muhammad Al-Abdulaali.

Bagi mengurangkan haba yang dijangkakan itu, semua dataran utama di Makkah dan Madinah telah dilengkapi dengan sistem kabus air dan stesen air mudah alih.

Selain itu, bagi memastikan keselesaan jemaah haji, pihak berkuasa Arab Saudi berkata kawasan sekitar Masjidil Haram serta khemah-khemah di sekitarnya akan berhawa dingin.

Encik Adha berkongsi sejak tiba di Tanah Suci, mereka sudah mula merasai bahang dari cuaca panas.

“Seawal 10 pagi, bahang sudah dapat dirasakan. Namun saya rasa cabaran utama adalah pada hari kami di Arafah, Mudzalifah, dan Mina nanti, di mana jemaah akan terdedah kepada cuaca panas secara berterusan.

“Tambahan pula, kami juga akan bermalam di dalam khemah,” tambah bapa kepada empat anak berusia antara lima hingga 13 tahun itu.

Lebih 8,400 jemaah haji dilaporkan telah mengalami strok haba sejak bermulanya musim haji, menurut data dari Saudi Gazette.

Bagi mengelakkan kes sedemikian berlaku, Encik Adha berkata secara umumnya jemaah Singapura telah mengambil beberapa langkah keselamatan mereka sendiri.

“Pihak pengurusan TM Fouzy telah memberi kami payung yang boleh dilipat dan kipas elektronik dipegang tangan lengkap dengan lampiran kabus air. Kami telah menggunakan payung itu semasa melakukan tawaf dan sai.

“Barang-barang seperti losen pelindung matahari, losen pelembap dan balsam bibir juga merupakan satu kemestian bagi kami. Ini bagi memastikan kita tidak mengalami selaran matahari dan strok haba,” katanya sambil menambah penghidratan berterusan juga adalah satu kemestian.

Dalam satu hantaran Facebook pada 13 Jun, ketua rombongan Haji 2024 Singapura, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, turut mengingatkan jemaah haji Singapura supaya kekal terhidrasi dan menjaga diri semasa perjalanan suci ini.

Beliau turut menggesa jemaah supaya “saling menjaga, menghulurkan bantuan apabila diperlukan, dan berkongsi keberkatan haji”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg