Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maliki: Mahu anak atau tidak? Pertimbang keperluan jangka panjang diri dan juga negara

Bantuan bagi keluarga yang menetap di flat sewa juga dibincang dalam podcast NoTapis
Feb 21, 2025 | 5:10 PM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman (dua dari kanan), bertukar pandangan dengan empat warga Singapura, (dari kiri) Cik Nursyirin Salim, Cik Salbiah Md Yusuff, Tengku Shahrul Shah Tengku Alam Shah dan Cik Zoey Zuaswina Zupri, dalam sesi podcast Berita Harian (BH) pasca-Belanjawan 2025 pada 20 Februari yang dihoskan penerbit podcast BH, Cik Natasha Mustafa (kanan).
Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman (dua dari kanan), bertukar pandangan dengan empat warga Singapura, (dari kiri) Cik Nursyirin Salim, Cik Salbiah Md Yusuff, Tengku Shahrul Shah Tengku Alam Shah dan Cik Zoey Zuaswina Zupri, dalam sesi podcast Berita Harian (BH) pasca-Belanjawan 2025 pada 20 Februari yang dihoskan penerbit podcast BH, Cik Natasha Mustafa (kanan). - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Mempunyai keluarga besar mungkin bukan pilihan semua pasangan tetapi ia kini boleh menjadi pertimbangan warga Singapura dengan adanya lebih banyak sokongan baru – petanda jaminan pemerintah menyokong mereka yang ingin mengembangkan keluarga.

Membincangkan pelbagai bentuk bantuan bagi keluarga besar yang diumumkan dalam Belanjawan 2025, Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, akur keputusan untuk mempunyai anak atau lebih ramai anak merupakan pilihan peribadi.

Namun, beliau berharap pasangan, apabila berfikir tentang perkara tersebut, bukan hanya memikirkan keperluan mereka pada masa sekarang sahaja, bahkan keperluan mereka serta negara pada masa hadapan.

Dalam rakaman podcast NoTapis Berita Harian (BH) pasca-Belanjawan pada 20 Februari, Dr Maliki berkata:

“Kita akur anak muda membuat perhitungan dari segi keperluan diri sendiri, aspirasi mereka dan apa yang kita harapkan adalah dalam mereka buat pertimbangan tersebut, mereka juga memikirkan jangka masa panjang kita dan jangka masa panjang kehidupan mereka juga.

“Kenapa kita galakkan mereka mempunyai anak ialah pertama, untuk memastikan apabila mereka menjangkau usia senja kelak, ada yang akan menyokong dan menjaga mereka.

“Apa yang kita takutkan ialah satu hari nanti, individu yang tidak mempunyai keluarga tidak akan mendapatkan sokongan moral... dalam perjalanan usia senja, mereka perlukan sokongan sosial, emosi, jadi takut nanti ketika itu, mereka rasa kekosongan.”

Podcast tersebut akan disiarkan di Spotify pada 28 Februari.

Dalam sesi itu, Dr Maliki telah mendengar dan menjawab kebimbangan yang diutarakan empat warga Singapura pada peringkat hidup berbeza serta bagaimana Belanjawan 2025 dapat memberi kesan dalam perjalanan hidup mereka.

Masih pada perbincangan topik keluarga besar, beliau menjelaskan pentingnya warga Singapura mempunyai anak kerana ia secara tidak sengaja membantu menjaga kemaslahatan negara juga.

Menjelaskan, Dr Maliki berkata Singapura memerlukan tenaga kerja.

“Ini suatu realiti kerana kita ingin mengembangkan ekonomi negara. Untuk mengembangkan ekonomi negara dan memastikan Singapura terus maju, kita perlukan tenaga kerja.

“Kalau kita tak dapat tenaga kerja dari segi anak-anak Singapura, kita perlu tambah dengan tenaga kerja asing. Jadi setiap warga Singapura harus memahami (isu ini) bukan setakat tentang waktu dan tika ini sahaja, kita perlu fikirkan 20 tahun lagi,” ulas beliau.

Katanya lagi, memang benar robot dan teknologi boleh digunakan untuk mengatasi kekurangan tenaga manusia demi memajukan ekonomi, namun ‘sentuhan kemanusiaan’ masih akan tetap diperlukan.

“Jadi saya harap anak muda kita dalam mereka memikirkan keperluan mereka sendiri, mereka juga melihat apakah keperluan negara, keperluan ekonomi.

“Itu sebabnya (pemerintah) juga menyokong... bagi mereka yang boleh (mempunyai anak), kita cuba menggalakkan,” tambah Dr Maliki.

Antara sokongan baru bagi keluarga besar yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 ialah Kredit LifeSG Keluarga Besar (LFLC), yang mana ibu bapa akan menerima $1,000 dalam LFLC bagi setiap anak ketiga dan seterusnya sepanjang tahun-tahun anak itu berusia satu hingga enam tahun.

LFLC boleh digunakan di kedai dalam talian atau fizikal yang menerima bayaran melalui PayNow UEN kod QR atau NETS kod QR, dan bertujuan membiayai pelbagai perbelanjaan isi rumah seperti barangan runcit, kos pengangkutan dan bil api air.

Selain itu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, juga telah mengumumkan bahawa pemerintah akan mengurangkan had yuran bulanan bagi penjagaan anak sepanjang hari di prasekolah yang disokong pemerintah.

Yuran tersebut akan dihadkan kepada $610 bagi pusat pengendali utama dan $650 bagi pusat pengendali rakan kongsi.

Setiap anak warga Singapura berusia 13 hingga 20 tahun pada 2025 juga akan menerima tokokan sekali sahaja sebanyak $500 dalam akaun Edusave atau Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA) mereka.

Tokokan itu membantu keluarga dengan anak lebih besar dan boleh digunakan untuk membayar yuran dan program pengayaan yang diluluskan.

Di samping isu keluarga besar, podcast NoTapis itu juga mengetengahkan perbincangan tentang bantuan bagi keluarga yang menetap di flat sewa, isu rumah Bina Ikut Tempahan (BTO) dan baucar iklim, antara lainnya.

Dr Maliki turut menekankan mesej ‘Belanjawan buat semua’ seperti yang dinyatakan Encik Wong.

“Apa yang dikatakan Belanjawan buat semua adalah kerana ia merangkumi semua keperluan masyarakat kita dan memberi peluang kepada mereka untuk melihat bahawa semua yang difikirkan pemerintah berkaitan langsung dengan keperluan mereka hari ini serta apa yang menjadi keprihatinan mereka hari ini dan juga masa panjang,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg