Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maliki: Masyarakat Melayu/Islam lebih maju dari segi identiti, kerohanian

Mereka juga lebih dalami jati diri sebagai Muslim, prihatin tentang perkembangan agama
May 19, 2025 | 9:19 PM
Dr Maliki Osman bertemu media di ibu pejabat Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 19 Mei bagi temu bual penutup sebelum bersara dari politik.
Dr Maliki Osman bertemu media di ibu pejabat Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 19 Mei bagi temu bual penutup sebelum bersara dari politik. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Masyarakat Melayu/Islam bukan sahaja telah menunjukkan kemajuan dari segi ekonomi dan akademik, tetapi juga dari segi identiti dan kerohanian.

Bahkan, masyarakat Melayu/Islam Singapura hari ini lebih introspektif terhadap jati diri mereka sebagai Muslim dan mereka juga lebih sedar tentang perkembangan agama.

Ini sesuatu yang disedari pemerintah dan disokong melalui usaha seperti pembangunan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman pada 19 Mei.

Beliau bertemu media di ibu pejabat Kementerian Ehwal Luar (MFA) bagi temu bual penutup dan antara lain telah menyentuh topik masyarakat Melayu/Islam.

Dr Maliki yang bakal berusia 60 tahun tahun ini, telah mengundurkan diri dari politik setelah berkhidmat selama 25 tahun dalam beberapa kementerian termasuk Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan (MCYS), Kementerian Kesihatan (MOH), Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Kementerian Pembangunan Negara (MND).

Beliau merupakan Anggota Parlimen di GRC East Coast sebelum bersara.

“Saya fikir kita harus mengakui bahawa masyarakat Islam telah maju ke hadapan dari segi petunjuk utama – kejayaan ekonomi, kejayaan akademik. Tetapi saya fikir dari segi identiti, kerohanian, kita telah melihatnya juga.

“Kita telah melihat bahawa masyarakat lebih introspektif berhubung dengan identiti mereka sebagai orang Islam dan mereka lebih sedar tentang perkembangan Islam.

“Saya rasa (pemerintah) juga mengenalinya, dan saya rasa itu sebabnya kita melihat pembangunan dalam sektor agama,” ujar beliau.

Memberi contoh lagi, Dr Maliki berkata beliau diberi tanggungjawab mempengerusi Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (Cofa) di mana mereka telah melihat bagaimana untuk meningkatkan profil dan peranan asatizah di Singapura.

Ini kerana pemerintah menyedari hakikat bahawa masyarakat mahukan kepimpinan agama yang lebih hebat serta kepimpinan yang berwibawa dalam sektor agama.

“Jika anda lihat usaha dan cadangan yang telah kami syorkan dalam Cofa, ia bergerak ke arah itu...mengenali peranan penting yang dimainkan asatizah untuk dapat memimpin dan bersedia menghadapi cabaran zaman moden,” katanya.

Selain itu, pengenalan Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) pula membolehkan para asatizah meneroka sesebuah sektor dengan asas yang kukuh dalam pendidikan agama mereka.

“Itu merupakan pendahulu kepada SCIS, yang merupakan komitmen oleh kepimpinan Islam kita serta pemerintah untuk menyokong penubuhan SCIS. Jadi saya rasa itu adalah salah satu aspirasi masyarakat Islam kita yang baru dan (pemerintah) memberi respon,” tambahnya.

Dr Maliki menggalak masyarakat Melayu/Islam terus mendekati pemerintah, dan begitu juga sebaliknya, agar dapat sama-sama merealisasikan visi tersebut serta terus membangunkan kumpulan teras pemimpin agama dalam masyarakat yang dapat bekerjasama dengan pemimpin masyarakat lain dalam membawa masyarakat ke hadapan.

Ditanya sama ada beliau melihat dirinya memainkan peranan kelak dalam SCIS yang bakal dibina setelah bersara dari politik, sambil tertawa, Dr Maliki berkata:

“Pilihan saya masih terbuka. Jika ketika saya melibatkan pihak berkepentingan yang berbeza dan melihat ada nilai untuk saya menyumbang, setentunya saya sangat gembira untuk menyumbang.”

Dr Maliki berkata masyarakat Melayu/Islam patut mengakui dan memuji kemajuan yang telah mereka lalui saban tahun.

Namun, itu tidak semestinya masyarakat harus berpeluk tubuh sahaja kerana “akan sentiasa ada ruang untuk kita melakukan yang lebih baik”.

Sedang Singapura maju ke hadapan, masyarakat Melayu/Islam juga mesti turut maju ke hadapan, lebih-lebih lagi dengan perubahan pesat yang berlaku di sekeliling.

“Oleh itu, apa yang perlu kita lakukan bagi masyarakat adalah terlebih dahulu memahami dinamik dan perubahan berterusan yang berlaku di sekeliling kita, bukan sahaja di sekitar kita di Singapura, tetapi di dunia - dan setelah melakukan itu, apa yang masyarakat perlukan untuk bertindak balas terhadapnya.

“Ini termasuk memastikan anak-anak kita bersedia, pasangan muda dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dan dewasa bersedia meningkatkan kemahiran mereka,” jelas beliau.

Semasa temu bual tersebut yang berlangsung sekitar satu jam, Dr Maliki turut menyentuh isu-isu berkaitan pendidikan dan hubungan ehwal luar Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg