Keupayaan Pegawai Agama Masjid (MRO) bakal diperkukuh menerusi pembangunan profesional berstruktur dalam khidmat kaunseling dan penjagaan kerohanian Islam.
Ini agar mereka dapat berhubung dengan masyarakat lebih luas termasuk belia, keluarga dan warga emas serta menyokong perkembangan kerohanian mereka sambil menangani isu kehidupan harian.
Usaha membangunkan pendidik agama ini adalah antara inisiatif di bawah pelan tiga tahun dari 2025 hingga 2027, yang diumumkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) semasa Seminar Pelan Kerja pada 17 Mei.
Seminar yang dihadiri 200 pihak berkepentingan dan pemimpin masyarakat itu telah membincangkan Pelan Tiga Tahun Kelapan Muis (8M3YP), yang menumpukan kepada pengukuhan kerjasama dan pembangunan strategi praktikal dalam berkhidmat kepada masyarakat Islam di Singapura.
Menurut Muis, pengenalan 8M3YP menyusuli pencapaian yang diraih dalam Pelan Tiga Tahun Ketujuh Muis (7M3YP), yang termasuk pembukaan semula masjid selepas pandemik Covid-19, peningkatan sokongan untuk keluarga mudah terjejas menerusi pengagihan zakat yang dipertingkat, serta pembangunan profesional yang diperkukuh untuk guru agama menerusi garis panduan gaji umum.
“Pencapaian di bawah 7M3YP ini menunjukkan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi terhadap mengukuhkan kehidupan beragama masyarakat kita, yang merupakan teras kepada semua yang kami lakukan,” kata Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen.
“Bagi melanjutkan komitmen ini dalam 8M3YP akan datang, kami akan memberi tumpuan kepada tiga keutamaan yang bekerjasama untuk menyokong matlamat ini: meningkatkan bimbingan agama, membangunkan pendidik agama dan menyampaikan perkhidmatan yang lebih baik,” tambahnya.
Menurut Muis, inisiatif memperkukuhkan keupayaan MRO meneruskan usaha sedia ada oleh program Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah) dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kerohanian di penjara, rumah dan hospital.
Bagi meningkatkan mutu perkhidmatan masjid, satu rangka kerja baru akan dilaksana bagi memastikan pengalaman bermutu tinggi dan konsisten di semua masjid.
Ini akan dilakukan melalui proses peningkatan sistematik dan piawaian mutu yang jelas, jelas kenyataan Muis.
Rangka kerja yang akan dirintis di masjid tertentu pada 2026 dan 2027, memperkenalkan penanda aras bagi mutu perkhidmatan, kecemerlangan operasi dan pendampingan masyarakat.
Sambil menetapkan standard konsisten untuk tadbir urus, pengurusan sumber, dan penyampaian perkhidmatan, rangka kerja itu mengekalkan fleksibiliti bagi masjid membangunkan program tersendiri yang mencerminkan keperluan masyarakat di sekeliling, kata Muis.
Muis juga akan menaik taraf wadah digital MuslimSG bagi menawarkan ciri dan kandungan yang dipertingkat agar dapat memenuhi keperluan masyarakat yang berubah dengan lebih baik.
Ini memandangkan MuslimSG terus memainkan peranan penting sebagai penghubung utama bagi masyarakat Islam di Singapura, dengan mencatat lebih 25 juta tontonan aplikasi tersebut pada 2024.
Kedua-dua aplikasi dan laman web itu akan dipertingkat menjelang 2027, dengan penambahbaikan berdasarkan maklum balas yang diterima daripada masyarakat.
Sementara itu, Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah akan mula menawarkan bahasa Tamil sebagai bahasa ibunda pada 2026.
Langkah itu diharapkan dapat melahirkan lebih ramai asatizah muda yang mengikuti pengajian di Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) pada masa hadapan dan bersedia berkhidmat kepada masyarakat berbahasa Tamil di Singapura.
Dalam sesi perbincangan semasa seminar itu, beberapa topik disentuh tentang pendekatan inovatif dalam pendidikan Islam yang mampu menyeimbangkan tradisi dengan keperluan semasa serta amalan terbaik dalam tadbir urus masjid.
Dalam hal ini, Encik Kadir menekankan kepentingan semangat kerjasama apabila berkhidmat kepada masyarakat dan mengakui bahawa kejayaan program-program berkesan adalah hasil usaha bersama asatizah, pegawai masjid, sukarelawan dan pelbagai rakan kongsi.
“Dengan bekerjasama, kita dapat menghasilkan program lebih baik dan membina sebuah masyarakat yang lebih kukuh. Apabila kita berkhidmat dengan ikhlas, kita berharap dapat terus mengekalkan kepercayaan masyarakat. Melalui kepercayaan ini jugalah, kita berterima kasih apabila anggota masyarakat terus menyumbangkan masa, tenaga dan bakat mereka,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg