Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maliki: PAP terus sokong keperluan agama, sosial masyarakat Melayu/Islam S’pura

Bantuan sumber pemerintah sekular penuhi keperluan golongan minoriti, impian capai jaya
Apr 28, 2025 | 10:28 PM
maliki, pap, east coast, masyarakat melayu
Semasa rapat Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Pasir Ris-Changi di Maktab Rendah Tampines Meridian pada 28 April, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, berkata PAP adalah satu-satunya parti yang mengambil berat tentang kebajikan dan kemaslahatan masyarakat Melayu/Islam. - Foto TANGKAP LAYAR YOUTUBE BERITA HARIAN SINGAPURA

Meskipun Singapura merupakan sebuah negara sekular, Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah, telah secara sistematik menyokong keperluan agama dan sosial masyarakat minoriti, khususnya masyarakat Melayu/Islam di sini, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.

Beliau menambah bahawa sokongan itu telah membolehkan masyarakat Melayu/Islam di negara ini memenuhi keperluan keagamaan mereka dengan bantuan sumber yang diagihkan oleh PAP.

“Seawal 1966, pemerintah PAP ketika itu telah meluluskan Akta Pentadbiran Hukum Islam, atau Amla, yang telah membuka jalan kepada penubuhan tiga institusi utama masyarakat kita Iaitu Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Mahkamah Syariah, dan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM).

“Ini bermakna, walaupun kita sebuah masyarakat minoriti, masyarakat Islam di Singapura dapat memenuhi keperluan keagamaan kita dengan sokongan pemerintah PAP yang telah mengagihkan sumber pemerintah kepada masyarakat Islam untuk memenuhi keperluan kita,” kata Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar).

Beliau berkata demikian ketika berucap di rapat PAP di Maktab Rendah Tampines Meridian, yang turut dihadiri Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, dan calon PAP di GRC Pasir Ris-Changi, pada 28 April.

Pasukan PAP di GRC itu dianggotai Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, selaku pemimpin pasukan, Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Desmond Tan, Encik Sharael Taha, dan muka baru PAP, Cik Valerie Lee.

Turut hadir adalah mantan Anggota Parlimen (AP), Encik Zainal Sapari, Encik Ahmad Mohamed Magad, dan Encik Charles Chong.

Hadir untuk memberi sokongan kepada pasukan PAP di situ, Dr Maliki menekankan pendekatan Singapura dalam menyokong masyarakat Islam amat dikagumi di peringkat antarabangsa, terutama jika dibandingkan dengan cabaran yang dihadapi oleh kaum minoriti Islam di negara lain.

“Ramai pengunjung yang datang ke sini untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) kagum apabila mereka sedari apa yang telah disediakan oleh pemerintah Singapura untuk masyarakat Islam kita.

“Walaupun satu masyarakat minoriti, keperluannya diiktiraf dan disokong sebuah pemerintah sekular,” ujar Dr Maliki.

Di samping itu, beliau turut mengutarakan tentang sokongan PAP yang telah membawa kepada “perkembangan yang memberangsangkan” dalam kemajuan masyarakat Melayu/Islam.

Ini termasuk dalam bidang pendidikan, yang turut menyaksikan peningkatan dalam peratusan mereka yang berkelulusan universiti, dan bidang sosial menerusi Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF), di samping dalam pembangunan madrasah serta program latihan kemahiran.

“MBMF bukan sahaja dapat memastikan pembinaan dan peningkatan usaha naik taraf masjid kita.

“Ia juga memastikan program sosial Yayasan Mendaki dapat dilaksanakan untuk membantu masyarakat kita serta menyokong sistem madrasah sepenuh masa kita,” tambah Dr Maliki.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan komitmen PAP terhadap pembangunan masyarakat Melayu/Islam menerusi pengumuman Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, mengenai pembangunan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), yang mendapat sokongan penuh daripada pemerintah.

“Dalam dunia yang berkisar, PAP yang memaparkan barisan yang segar dengan azam yang berkobar akan cuba dan terus komited memahami, melindungi dan memenuhi keperluan masyarakat kita yang terus berubah dan membawa masyarakat kita dan negara kita ke hadapan dengan tenang, dengan yakin dan dengan berjaya,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg