Pelajar Singapura telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dan luar biasa dalam kemahiran berfikir di peringkat tinggi dan pengetahuan persekitaran menurut satu kajian sejagat baru-baru ini.
Namun ia juga adalah penting bagi mereka terus berfikir secara sejagat, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.
Menulis dalam satu hantaran Facebook pada 12 Disember, Dr Maliki berkata pencapaian pelajar Singapura dalam pendidikan adalah membanggakan, tetapi ia juga satu peringatan bahawa negara ini tidak boleh leka dengan cabaran segajat seperti perubahan iklim dan pembangunan mampan.
“Cabaran sejagat seperti perubahan iklim dan pembangunan mampan memerlukan bukan hanya individu berkebolehan, namun juga masyarakat yang boleh bekerjasama dengan berkesan.
“Dalam hal ehwal luar, saya melihat bagaimana kejayaan Singapura melangkaui negara ini. Untuk berkembang maju dalam dunia yang saling terhubung, pelajar kita mesti terus berfikir secara sejagat, bertindak secara bertanggungjawab, dan memimpin dengan berani,” kata beliau.
Satu laporan baru-baru ini menunjukkan pelajar Singapura menduduki tangga tertinggi dalam matematik dan sains untuk kali ketiga berturut-turut dalam satu kajian penanda aras sejagat.
Kajian Trend Antarabangsa Matematik dan Sains (TIMSS), yang dijalankan setiap empat tahun, menilai pelajar gred empat dan lapan – setara dengan peringkat darjah empat dan menengah dua di Singapura – dalam pemahaman, kegunaan dan taakulan dalam matematik dan sains mereka.
Hasil bagi edisi 2023 kajian itu dikeluarkan pada 4 Disember, dan Singapura muncul di tempat pertama bagi dua mata pelajaran itu di kededua peringkat daripada 64 sistem pendidikan yang mengambil bahagian.
Bahkan, pelajar Singapura menewaskan rakan sebaya mereka di Taiwan, Korea Selatan, Hong Kong dan Jepun.
Pelajar Darjah 4 di sini mencatatkan markah purata sebanyak 615 bagi matematik, lebih baik berbanding markah 607 untuk Taiwan dan 594 untuk Korea Selatan.
Pelajar Menengah 2 pula meraih markah purata 605 bagi subjek itu, lebih tinggi berbanding 602 bagi Taiwan dan 596 bagi Korea Selatan.
Bagi mata pelajaran sains pula, pelajar Darjah 4 mendapat markah purata 607 – lebih daripada markah 583 untuk Korea Selatan dan 573 untuk Taiwan.
Pelajar Menengah Dua pula meraih markah 606 bagi subjek sama, melebihi markah 572 bagi Taiwan dan 557 bagi Jepun.
Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), berkata pencapaian pelajar Singapura itu menunjukkan dedikasi pendidik, ibu bapa dan sistem pendidikan dalam memupuk pemimpin yang bersedia untuk masa depan.
Beliau turut menggalak semua menyasar untuk mengecapi pencapaian lebih tinggi sebagai sebuah negara – dalam memupuk minda anak-anak muda untuk memberi impak yang bermakna bukan hanya di Singapura, malah juga seluruh dunia.
“Perjalanan ke arah kecemerlangan adalah berterusan, dan bersama, kita boleh membentuk sebuah masa depan yang lebih baik,” kata beliau.
“
“Dalam hal ehwal luar, saya melihat bagaimana kejayaan Singapura melangkaui negara ini. Untuk berkembang maju dalam dunia yang saling terhubung, pelajar kita mesti terus berfikir secara sejagat, bertindak secara bertanggungjawab, dan memimpin dengan berani,”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg