Pemerintah akan terus menyokong belia untuk mencapai aspirasi mereka dan merebut peluang baru pada masa hadapan, tidak kira latar belakang dan hala tuju yang mereka pilih, asalkan mereka bersungguh-sungguh dan memberi perhatian kepada apa yang mereka inginkan.
Belia juga harus membuka minda dan berani meneroka peluang, bukan sahaja di Singapura, tetapi di luar negara juga, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.
Beliau berkata demikian kepada sekitar 85 peserta yang menghadiri Dialog Pasca Rapat Hari Kebangsaan (NDR) M3 anjuran Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra) pada 8 September di Kelab Masyarakat Siglap.
Semasa sesi dialog yang berlangsung lebih satu setengah jam itu, Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), berkata terdapat pelbagai laluan bagi rakyat Singapura termasuk golongan belia mencapai kejayaan.
Beliau menambah pemerintah juga telah membuat anjakan dasar untuk mempertingkat sistem pendidikan Singapura supaya dapat memberi lebih tumpuan kepada pengiktirafan keupayaan dan keunikan individu.
“Kami ingin memastikan belia sedar bahawa setiap individu mempunyai kekuatan masing-masing dan kami ingin mereka melihat suasana di luar sana sebagai peluang yang luas untuk mereka berjaya dan mencapai kecemerlangan.
“Sama ada mereka melalui (pengajian di) ITE (Institut Pendidikan Teknikal), politeknik ataupun JC (maktab rendah), setiap hala tuju mempunyai kesudahan yang begitu cerah bagi mereka.
“Itu komitmen kami untuk memastikan setiap individu diberi sokongan untuk berjaya, untuk menggilap setiap keupayaan dan kekuatan mereka agar mereka berjaya pada masa depan,” kata Dr Maliki.
Selain Dr Maliki, panel dialog tersebut turut merangkumi Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah; dan AP GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha.
Antara soalan yang dikemukakan peserta, yang kebanyakannya merupakan belia lingkungan usia 20-an dan 30-an tahun, adalah sama ada sokongan kredit SkillsFuture bagi pekerja pertengahan kerjaya dapat diberikan kepada mereka yang berusia bawah 40 tahun juga.
Menjawab soalan tersebut, Dr Maliki berkata saranan tersebut tidak mustahil, namun beliau berkata dasar tersebut disasarkan kepada mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas untuk menggalak golongan itu menjalani latihan kemahiran.
Berbanding dengan mereka yang berusia 20-an atau 30-an tahun, Dr Maliki berkata adalah lebih mencabar untuk menggalak golongan 40 tahun dan ke atas untuk menjalani kursus atau latihan semula.
Encik Muhammad Nizam Osman, 27 tahun, seorang pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) sepenuh masa, berkata beliau mengalu-alukan sokongan pemerintah untuk menyokong keluarga muda dan menggalak latihan semula di kalangan pekerja.
Beliau, yang mempunyai lulusan diploma dalam kejuruteraan automotif, berkata beliau terdorong untuk menjalani latihan semula setelah mendengar gagasan oleh anggota panel.
“Saya sendiri mahu meningkatkan kemahiran saya walaupun saya belum berusia 40 tahun.
“Memandangkan saya mempunyai diploma dan saya kini berkhidmat dalam bidang keselamatan, saya rasa adalah penting untuk saya menjalani latihan lebih lanjut untuk meningkatkan kemahiran saya agar dapat kekal relevan pada masa akan datang,” kata Encik Muhammad Nizam.
Cik Maria Zahid, 24 tahun, seorang pelajar kejuruteraan bioperubatan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), berkata beliau menerima baik gesaan pemerintah mengalak rakyat untuk menghidupkan semangat pembelajaran sepanjang hayat.
Namun dalam usaha menggalak orang ramai menjalani latihan semula, beliau berkata pemerintah juga harus prihatin tentang golongan keluarga yang memerlukan dan berdepan dengan masalah kewangan harian.
“Kita juga perlu memikirkan kebimbangan keluarga yang bergelut dengan keperluan asas harian seperti membayar bil dan memastikan sentiasa ada makanan di atas meja.
“Mereka mungkin tidak mempunyai masa untuk meningkatkan kemahiran meskipun lebih banyak geran telah diberikan. Justeru, skim-skim lain seperti menyediakan kerja yang fleksibel boleh diteroka untuk membantu mereka,” kata Cik Maria.
Semasa dialog tersebut, beberapa peserta turut bertanya sama ada lebih banyak cuti dapat diberikan kepada ibu bapa.
Antara soalan yang turut diajukan termasuk sama ada pemerintah akan memberikan lebih banyak sokongan bagi generasi terapit atau sandwich generation, yang harus menjaga ibu bapa yang sudah berusia di samping menjaga anak kecil mereka.
Dr Wan Rizal berkata beliau amat prihatin dengan cabaran tersebut, memandangkan beliau sendiri mempunyai empat anak. Menukil pengalamannya sendiri, beliau berkata kadangkala, ibu bapa tertekan kerana anak-anak bergilir-gilir jatuh sakit.
“Saya faham juga situasi sebegitu. Kalau satu anak sakit, kemudian lagi satu anak sakit beberapa hari kemudian, cuti ibu bapa cepat habis dalam masa yang singkat.
“Selain cuti ibu bapa, saya fikir apa yang penting juga adalah agar setiap keluarga membina dan mempunyai sistem sokongan masing-masing,” kata Dr Wan Rizal.
Encik Sharael, yang mempunyai pengalaman bekerja dalam bidang korporat, berkata antara keprihatinan majikan adalah bagaimana mereka boleh meneruskan operasi mereka jika lebih banyak cuti diberikan kepada pekerja.
“Di samping kita mengalu-alukan lebih banyak cuti ibu bapa, majikan juga bimbang bagaimana mereka dapat mencari pengganti sekiranya lebih ramai pekerja mengambil cuti.
“Kita juga harus fikir sama ada kita bersedia untuk melihat lebih ramai pekerja asing masuk ke Singapura untuk mengisikan pekerjaan yang kosong semasa kita mengambil cuti.
“Justeru, pemerintah juga harus mencapai satu keseimbangan dalam melakar dasar kerana terdapat pelbagai pihak berkepentingan yang mungkin untung ataupun terjejas,” kata Encik Sharael.
Merumus dialog tersebut, Dr Maliki menggesa belia untuk tampil menjadi mentor bagi belia lain dan untuk membina lebih banyak rangkaian agar mereka dapat mendedahkan diri kepada lebih banyak peluang.
“Terdapat banyak peluang di luar sana dan soalan tentang dana adalah masalah paling kecil. Idea adalah cabaran terbesar dan bagaimana untuk membawa idea-idea tersebut menjadi kenyataan.
“Sama ada anda berada di MClub, M3 atau PA Mesra, terdapat banyak peluang untuk kami membantu anda merealisasikan idea anda. Jangan takut gagal kerana kita belajar daripada kegagalan itu dan... proses itu,” kata Dr Maliki.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg