Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maliki: Penekanan dwibahasa tunjuk komitmen pemerintah bantu setiap pelajar cemerlang

Aug 25, 2024 | 6:15 PM
(Dua dari kanan) Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, menyertai perbincangan bersama belia dalam sesi Dialog Pasca-Rapat Hari Kebangsaan berkenaan Pembangunan Negara di Heartbeat@Bedok pada 25 Ogos.
(Dua dari kanan) Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, menyertai perbincangan bersama belia dalam sesi Dialog Pasca-Rapat Hari Kebangsaan berkenaan Pembangunan Negara di Heartbeat@Bedok pada 25 Ogos. - Foto BH oleh MUHAIMIN SUZAINI

Membolehkan pelajar mengambil Bahasa Ibunda Lanjutan (HTML) di sekolah menengah mengikut kebolehannya dalam subjek itu selaras dengan sistem pendidikan yang diubah untuk mengiktiraf kekuatan setiap pelajar, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.

“Konsep di sebalik langkah ini ialah seseorang pelajar mungkin kuat dalam satu aspek tetapi tidak sekuat dalam aspek lain dan kita harus mengutamakan kekuatan itu dahulu... demi memupuk dalam dirinya keupayaan memenuhi potensi tetapi dengan kesedaran ada aspek lain yang kurang kuat dan memerlukan lebih banyak masa untuk dikuatkan,” kata Dr Maliki yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar).

Dalam ucapannya di Rapat Hari Kebangsaan pada 18 Ogos, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah mengumumkan komitmen pemerintah untuk menyokong pembelajaran dwibahasa.

Antaranya ialah dengan membenarkan pelajar yang kuat dalam tiga bahasa ibunda iaitu Bahasa Melayu, Tamil dan Cina mempelajarinya di peringkat Lanjutan di sekolah menengah, tanpa mengambil kira mata keseluruhan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

Buat masa ini, mata keseluruhan PSLE menentukan sama ada seseorang murid sekolah rendah boleh mengambil HTML di peringkat menengah.

Dr Maliki berkata perubahan itu menunjukkan komitmen pemerintah untuk menyokong setiap warga mencapai kejayaan mengikut kekuatannya sendiri.

Beliau berkata demikian semasa bercakap kepada wartawan di sesi Dialog Pasca-Rapat Hari Kebangsaan di Heartbeat@Bedok pada 25 Ogos.

Sesi dialog lebih dua jam itu, yang bertujuan mendapatkan maklum balas dan mendengar keprihatinan berhubung ucapan Encik Wong di NDR 2024, dihadiri 83 pelajar sekolah menengah, politeknik, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan universiti.

Ia dikendalikan oleh M Kuasa Tiga (M3) @ Bedok dengan kerjasama sukarelawan akar umbi.

Penasihat akar umbi GRC Aljunied, Encik Shamsul Kamar, turut hadir,

Peserta yang hadir mengajukan beberapa keprihatinan, termasuk mengenai perumahan, kekeluargaan dan peluang pekerjaan, berlatarbelakangkan keadaan ekonomi sedunia yang tidak menentu dan kemunculan teknologi baru seperti kecerdasan buatan (AI).

Topik pekerja migran di Singapura juga ditimbulkan.

Dalam responsnya, Dr Maliki memberi jaminan pekerjaan bagi rakyat Singapura akan tetap wujud dan menjadi keutamaan pemerintah.

Bahkan, dengan perkembangan pesat ini, beliau berkata lebih banyak pekerjaan baru bakal diwujudkan.

Dr Maliki berkata tenaga kerja migran di Singapura bukan bertujuan menyaingi pekerja tempatan di sini. Namun sebaliknya, ia adalah untuk melengkapi tenaga kerja di setempat

“Misalnya dalam bidang kenderaan elektrik, tidak ramai warga Singapura yang mempunyai kebolehan dalam sektor ini jadi kita bawa masuk tenaga asing untuk bantu memulakan sektor ini supaya warga Singapura dapat bekerja dan belajar seberapa mungkin melalui apa yang dipanggil pemindahan (kemahiran) teknologi,” kata Dr Maliki.

“Masa depan (bagi para belia dan Singapura) adalah cerah. Kita telah capai kemajuan ketara bukan sahaja sebagai masyarakat Melayu/Islam, tetapi sebagai satu negara.

“Lihat saja golongan karyawan pada hari ini – begitu ramai golongan ini berbanding sekitar 20 tahun lalu. Mereka memanfaatkan peluang dan akses saksama kepada sumber berbeza yang tersedia,” kata Dr Maliki.

Beliau turut menekankan peri penting keupayaan membuat penyesuaian atau menambah kemahiran secara berterusan disebabkan perubahan pesat yang berlaku masa ini.

“Sungguhpun pada hari ini anda mengambil satu kursus tetapi anda tidak mencatatkan prestasi cemerlang, ia tidak bermakna anda gagal sama sekali. Apa yang anda pelajari daripada kursus itu masih boleh dimanfaatkan dalam aspek lain, tetapi anda harus bersiap sedia untuk sesuaikan diri dengan pantas,” ujarnya.

Dalam pada itu, Encik Shamsul memberi contoh M3 sebagai wadah yang dapat belia manfaatkan untuk bantu meluaskan rangkaian, secara tidak langsung meningkatkan peluang pekerjaan.

Beliau turut menukil inisiatif Lab Pemula Kerjaya oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) yang bertujuan membantu belia memulakan kerjaya dengan sokongan pekerjaan selepas menamatkan pengajian di institut pengajian tinggi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg