Ketua rombongan ibadah haji 2024 Singapura, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, melawat Klinik Perubatan dan Bilik Operasi Pejabat Ehwal Jemaah Haji Singapura (SPAO) Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) di Jeddah pada 12 Jun.
Semasa lawatannya, Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), menyaksikan dedikasi dan penjagaan luar biasa yang diberikan oleh pasukan SPAO kepada jemaah haji Singapura.
Pada 11 Jun, Dr Maliki menunaikan umrahnya sebagai sebahagian ibadah haji beliau sendiri.
Menurut Dr Maliki dalam satu catatan Facebook pada 12 Jun, klinik tersebut, yang memastikan kesihatan dan kesejahteraan jemaah, menjadi tonggak sokongan buat jemaah sejak hari pertama musim haji ini.
“Perhatian teliti terhadap perincian dan pendekatan penuh belas kasihan kakitangan perubatan memainkan peranan penting dalam memastikan jemaah haji kita dapat memberi tumpuan pada perjalanan rohani mereka tanpa kebimbangan kesihatan,” katanya.
Bilik Operasi pula nadi usaha SPAO menyelaraskan setiap aspek keperluan jemaah haji. Kerjasama lancar antara pasukan perubatan dan kakitangan operasi menunjukkan semangat perkhidmatan dan perpaduan.
Dengan “bekerja rapat dengan Pihak Berkuasa Arab Saudi, komitmen teguh pasukan SPAO kita memastikan setiap anggota jemaah haji Singapura mengalami ibadah haji lancar dan memuaskan.
“Saya amat berterima kasih bagi dedikasi pasukan SPAO yang bekerja keras dan semangat mereka menjadi asas kejayaan perjalanan ibadah haji jemaah kita,” tambah beliau.
Dalam satu catatan Facebook pada 11 Jun pula, Dr Maliki berkongsi bahawa ibadah umrah beliau adalah “satu pengalaman mendalam dan mengubah hidup” baginya dan ia “mengisi hati (nya) dengan kedamaian dan pengabdian besar”.
Dengan cuaca panas di Tanah Suci boleh menjadi terik, Dr Maliki menekankan kepentingan kesejahteraan dan menggesa agar semua orang minum air secukupnya.
“Saya sentiasa mengingatkan semua anggota jemaah haji Singapura supaya kekal terhidrasi dan menjaga diri semasa perjalanan suci ini,” katanya.
Dr Maliki menggesa jemaah supaya “saling menjaga, menghulurkan bantuan apabila diperlukan, dan berkongsi keberkatan haji”.
“Mari kita bersama-sama menjadikan ibadah haji ini pengalaman tidak dapat dilupakan dan memenuhi rohani untuk semua. Semoga Allah merahmati dan melindungi kita di jalan yang suci ini,” tambah beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg