Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maliki sertai NTU sebagai Penasihat Kanan, Profesor Adjung

Jul 1, 2025 | 5:54 PM
maliki osman, NTU, penasihat kanan, profesor adjung
Dalam satu hantaran di Facebook pada 1 Julai, Dr Mohamad Maliki Osman berkata beliau ingin memperdalam program Asean dan program induk NTU dengan mencurahkan pengalamannya sebelum ini selaku Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar). - Foto FACEBOOK DR MALIKI OSMAN

Mantan Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, akan menyertai Universiti Teknologi Nanyang (NTU) sebagai Penasihat Kanan (Program Asean dan Induk), Pejabat Presiden NTU.

Dalam satu hantaran di Facebook pada 1 Julai, Dr Maliki berkata beliau ingin memperdalam program Asean dan program induk NTU dengan mencurahkan pengalamannya sebelum ini.

“Dalam kapasiti saya sebelum ini sebagai Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), saya telah membicarakan mengenai potensi sumber manusia yang besar di Asean.

“Rangkaian kukuh dan meluas antara NTU dengan universiti terkemuka di rantau Asean akan mewujudkan peluang baru untuk pembangunan dan pertumbuhan bakat dalam sektor pendidikan tinggi,” ujarnya.

Beliau menambah, di samping menjadi penasihat kanan, beliau turut dilantik Profesor Adjung bagi Kolej Kemanusiaan, Kesenian dan Sains Kemasyarakatan di NTU.

Selain itu, Dr Maliki turut dilantik sebagai Felow Unggul (Distinguished Fellow) di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), yang beliau berharap membolehkannya berinteraksi bersama penyelidik dan pemimpin antarabangsa dalam mendalami isu dinamik geopolitik sejagat yang kompleks.

Lebih daripada sekadar pelantikan dalam akademia, beliau turut menyandang jawatan baru selaku Presiden Yayasan Antica.

Yayasan itu disenarai sebagai badan yang menjalankan kegiatan amal atau sokongan bagi kerja kemanusiaan, menurut Penguasa Pengawalan Korporat dan Perakaunan (Acra).

Dr Maliki berkata beliau terdorong untuk berkhidmat dalam yayasan itu atas prinsip semangatnya yang mahu membangunkan masyarakat.

“Perjalanan saya dipacu oleh kepercayaan yang mudah tetapi utuh, iaitu tiada individu harus rasa terpinggir.

“Di Yayasan Antica, saya melihat misi bagi mempertingkatkan belia, menghormati warga tua dan memulihkan maruah kepada mereka yang mencari peluang kedua,” katanya.

Demikian prinsip dan teras yang beliau utarakan kepada pihak media pada 19 Mei dalam wawancara terakhirnya sebelum bersara daripada arena politik.

Dr Maliki mengumumkan keputusan berundur daripada politik pada 21 April sebelum Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) setelah berkhidmat selama 24 tahun.

Malah sejak 1 Jun, beliau telah menyandang jawatan perunding di firma Perundingan OCTAVE Institute (anak syarikat di bawah Tsao Pao Chee), ujarnya, bagi memberi panduan terhadap Projek Transformasi Sosial firma itu.

Sejak menceburi politik pada 2001 ketika berusia 36 tahun, Dr Maliki telah berkhidmat di pelbagai kementerian termasuk Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan (MCYS), Kementerian Kesihatan (MOH), Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Kementerian Pembangunan Negara (MND).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg