Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jiwa masyarakat Maliki kekal menebal walau ucap ‘Selamat Tinggal’

Hubungan akrab dengan pemimpin antarabangsa, dekati penduduk flat sewa, antara kenangan yang dihargai sebagai pemimpin politik
May 25, 2025 | 5:30 AM
maliki osman, 25 tahun, politik
Dr Maliki Osman bersara dari politik setelah berkhidmat hampir 25 tahun. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

‘Berkongsi’ ayah mereka dengan warga Singapura lain merupakan perkara lumrah buat dua anak Dr Mohd Maliki Osman, yang ketika itu baru berusia enam dan tiga tahun.

Kini, lebih dua dekad kemudian, mereka akhirnya akan mendapatkan semula perhatian sepenuhnya ayah kesayangan mereka.

“Sejujurnya, bagi kami sekeluarga, ia merupakan detik pahit manis apabila saya berkongsi keputusan saya (untuk bersara dari politik) kerana mereka sedar ia merupakan penghujung era pengorbanan dan sumbangan peribadi.

“Tetapi ia merupakan detik manis juga kerana akhirnya, kami kembali ke dakapan satu sama lain. Bagi (anak-anak saya) mereka mendapat semula ayah mereka, isteri saya pula mendapat semula suaminya.

“Mereka gembira sebenarnya. Mereka kata sekarang saya dah boleh bangun lewat sedikit dan tidur lebih lama dan mereka tidak perlu terlalu bimbangkan kesihatan saya lagi...saya fikir bagi mereka, selain mendapatkan semula saya dan masa bersama sekarang, mereka juga rasa lega kerana akhirnya saya boleh berehat,” kongsi Dr Maliki, yang mendedahkan hanya sempat tidur empat jam sehari.

Sejak menceburi politik pada 2001 ketika berusia 36 tahun, Dr Maliki telah berkhidmat di pelbagai kementerian termasuk Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan (MCYS), Kementerian Kesihatan (MOH), Kementerian Pertahanan (Mindef), dan Kementerian Pembangunan Negara (MND).

Beliau mengumumkan keputusan berundur dari politik pada 21 April sebelum Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) setelah berkhidmat selama 24 tahun.

Jawatan terakhir yang dipegangnya ialah sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri serta Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar).

Bertemu media di ibu pejabat Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 19 Mei lalu bagi temu bual terakhirnya sebagai ahli politik, Dr Maliki akur beliau meninggalkan bidang politik “pada masa yang baik” dan “pada saat yang tepat”.

Jika sebelum ini beliau kerap terbang ke sana sini sepanjang tahun demi tugas, kini beliau tidak sabar ke luar negara lagi – tetapi kali ini dengan keluarga tercinta.

“Kami mengalu-alukan percutian di luar Disember. Dahulu kami hanya boleh cuti pendek pada Disember, kini kami boleh merancang bercuti pada bila-bila masa sepanjang tahun untuk berehat,” katanya sambil tersenyum lebar.

IKHLAS, JUJUR, TULEN

Pada banyak kesempatan bertemu dengannya, Dr Maliki tidak pernah lokek senyuman, bukan sahaja sepanjang temu bual hampir sejam itu tetapi juga dalam interaksinya dengan orang lain – abang-abang kamera dan video di balik tabir, para penduduk, bahkan sesiapa sahaja yang berinteraksi dengannya.

Mungkin itu antara rahsia mengekalkan hubungan baik dengan rakan sejawatannya dari luar negara?

“Secara peribadi, saya percaya tidak ada perkara lebih penting daripada keikhlasan, ketulenan dan kejujuran dalam membangun sesebuah hubungan.

“Ini bukan sahaja tentang hubungan peribadi tetapi pada setiap peringkat. Bila kita mendekati seseorang pada peringkat antarabangsa, kita harus ikhlas, jujur dan tulen, dan itulah yang telah saya lakukan selama 10 tahun saya di MFA,” katanya.

Dr Maliki berkunjung ke rumah sahabat-handai di Brunei Darussalam semasa Hari Raya Aidilfitri 2025.
Dr Maliki berkunjung ke rumah sahabat-handai di Brunei Darussalam semasa Hari Raya Aidilfitri 2025. - Foto FACEBOOK DR MALIKI OSMAN

Bahkan, hubungan yang terjalin antara beliau dengan rakan-rakan sejawatan di Brunei begitu akrab sehingga mereka sudah saling menghadiri majlis perkahwinan anak masing-masing “kerana kepercayaan dan rasa hubungan kekeluargaan itu sudah sampai ke tahap itu”.

Hubungan sedemikian membolehkan mereka berbincang, berunding dan membuat perancangan baru dengan lebih mudah.

“Sebab bila kita sudah ada kepercayaan, kita tahu kita bekerjasama dengan seorang sahabat dan bukan setakat rakan kongsi perniagaan.

“Anda tahu bahawa mereka adalah individu yang mempunyai kepentingan bersama, dan kami juga mencari manfaat bersama. Saya rasa itu banyak membantu dalam hubungan antarabangsa,” ujarnya.

Dr Maliki berkata saban tahun, negara-negara lain mengiktiraf sumbangan Singapura dan melihat negara ini sebagai rakan kongsi yang bukan sahaja boleh dipercayai, malah yang menegakkan kedaulatan undang-undang.

“Jadi apabila kita pergi berunding, apabila kita berbincang dalam banyak forum yang berbeza, negara lain menghormati kita dan tahu bahawa kita akan dapat menyatakan prinsip yang sangat penting ini dan mereka menghargainya.”

Beliau menambah bahawa Singapura tidak mengejar kejayaan untuk dirinya sahaja. Itu sebabnya dalam rantau ini, Singapura menyokong pertumbuhan Asean.

“Bila saya berjumpa rakan sejawatan di Asean misalnya, saya sering menyatakan ‘Indonesia yang berjaya, Brunei yang berjaya, Malaysia yang berjaya adalah baik bagi Singapura. Kami mahu bekerjasama dengan anda, kami mahu pastikan kita semua berkembang bersama’,” kata Dr Maliki lagi.

KEJAYAAN DALAM PENDIDIKAN

Sebagai Menteri Kedua Pendidikan, Dr Maliki berkata beliau meninggalkan Kementerian Pendidikan (MOE) dengan rasa puas dapat menyumbang kepada sektor politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

Ini dilakukannya dengan meluaskan peluang bagi pelajar dalam kedua-dua institusi pengajian tinggi itu.

“Adalah penting bagi kami untuk mencipta pelbagai laluan bagi pelajar mengetahui bahawa mereka boleh membangun pada kadar yang berbeza dan mereka mempunyai bakat yang berbeza.

“Kami mahu kepelbagaian itu untuk mengiktiraf dan menggilap bakat tersebut,” katanya.

Beliau memberi contoh peningkatan pada program Diploma Bekerja dan Belajar (WSDip), yang membolehkan pelajar ITE belajar sambil bekerja, dan pada masa yang sama mendapatkan diploma dalam bidang yang diceburi.

Kursus baru telah ditambah, membolehkan sekitar 15 peratus lulusan ITE mendapatkan kelayakan diploma.

Ini membolehkan mereka yang mungkin terpaksa bekerja untuk menyara keluarga mereka melanjutkan pelajaran, supaya mereka boleh mencapai gaji yang sama seperti lulusan politeknik, kata Dr Maliki.

Beliau juga telah berusaha membantu sektor pendidikan khas dengan menyediakan lebih banyak sumber termasuk meningkatkan pendanaan bagi sekolah pendidikan khas agar mereka dapat menaikkan gaji tenaga pengajar untuk menarik dan mengekalkan bakat dalam sektor tersebut.

POLITIK DAN KERJA SOSIAL

Berbekalkan pengalaman dalam bidang kerja sosial, Dr Maliki akur beliau terkesan dengan isu-isu yang dihadapi mereka yang tinggal di flat sewa atau yang berdepan masalah perumahan.

Tidak hairanlah antara pengalaman paling bermakna yang meninggalkan kesan baginya ialah ketika berkhidmat di MND – sebagai Setiausaha Parlimen pada 2005 dan kemudian dilantik Menteri Negara pada 2013.

Ketika itu, beliau ditugaskan menangani isu warga Singapura yang kehilangan rumah mereka dan terpaksa tinggal di tepi pantai atau di kolong blok.

“Saya sangat terkesan dengan isu ini kerana saya tak sampai hati melihat kanak-kanak tinggal di tepi pantai, tak pergi sekolah,” katanya.

Terlahirlah Projek 4650, di mana keluarga-keluarga ini ditempatkan secara sementara, di dua blok kosong di Blok 46 dan Blok 50 Bedok South.

Dalam tempoh lima tahun, projek tersebut berjaya memberi 1,000 keluarga tempat berteduh baru.

Beberapa keluarga ini kemudian bertemu beliau semasa sesi bertemu penduduk (MPS).

“Di situ saya sedar ia merupakan lebih dari setakat masalah perumahan. Mereka berdepan dengan banyak cabaran sosial – perceraian, kurang kawalan ibu bapa, salah guna dadah, masalah kesihatan mental, bahkan keganasan rumahtangga juga – banyak sekali.

“Pada waktu itu, saya merupakan Mayor Daerah South East, jadi saya gabungkan peranan saya di MND dan sebagai seorang Mayor untuk mencipta ekosistem sokongan bagi keluarga-keluarga ini, termasuk menubuhkan pusat khidmat sosial,” jelas Dr Maliki.

“Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) memberitahu saya sistem ComLink mereka kini dimodelkan daripada apa yang telah kami lakukan.

“Ia memberi saya kepuasan mengetahui bahawa apa yang saya lakukan dengan sekumpulan keluarga...kini dilaksanakan untuk membantu keluarga di flat sewa menstabilkan kehidupan mereka,” tambah beliau.

Nampaknya darah pekerja sosial tetap mengalir dalam diri Dr Maliki.

Dr Maliki (tengah) mewakili Singapura semasa Sidang Puncak Antarabangsa mengenai Kerjaya Mengajar (ISTP) ke-15 di Reykjavik, Iceland pada Mac 2025.
Dr Maliki (tengah) mewakili Singapura semasa Sidang Puncak Antarabangsa mengenai Kerjaya Mengajar (ISTP) ke-15 di Reykjavik, Iceland pada Mac 2025. - Foto FACEBOOK DR MALIKI OSMAN

Ditanya apakah rancangannya setelah bersara dari politik, beliau berkata:

“Apa yang penting sekarang ialah bagi saya mengimbas kembali tugas 25 tahun saya yang lalu, menghabiskan lebih banyak masa dengan keluarga.

“Pastinya, hati saya tetap pada masyarakat.

“Kehidupan bermula pada 60, saya bakal berusia 60 tahun, tahun ini (2025)...saya fikir persaraan hanya bererti bersara daripada tugas terakhir anda tetapi semangat yang ada dalam diri tetap berterusan.

“Jadi saya rasa saya tidak akan berhenti melakukan apa yang telah saya lakukan selama ini, tetapi mungkin dalam bentuk yang berbeza. Di mana dan dalam bentuk apa, saya masih beri diri saya sedikit masa lagi.”

Namun, apa yang pasti, sejak mengundurkan diri, banyak masa terluang dinikmati sekarang.

Beliau sempat menonton dua pertunjukan teater baru-baru ini – Tunggu Sekejap: The P. Ramlee Suite dan Macbeth.

“Sangat indah!” katanya sebelum menambah:

“Tapi bagi saya, apa yang lebih indah ialah di mana sahaja saya pergi, orang akan mendekati saya dan mengucapkan terima kasih.

“Tidak ada apa-apa yang dapat menggantikan rasa terima kasih saya terhadap warga Singapura yang menghargai tugas yang telah saya lakukan selama ini,” ujar Dr Maliki.

HUBUNGAN BAIK DENGAN NEGARA LAIN

“Secara peribadi, saya percaya tidak ada perkara lebih penting daripada keikhlasan, ketulenan dan kejujuran dalam membangun sesebuah hubungan. Ini bukan sahaja tentang hubungan peribadi tetapi pada setiap peringkat. Bila kita mendekati seseorang pada peringkat antarabangsa, kita harus ikhlas, jujur dan tulen, dan itulah yang telah saya lakukan selama 10 tahun saya di MFA,”
REAKSI KELUARGA MENGENAI PERSARAAN

“Sejujurnya, bagi kami sekeluarga, ia merupakan detik pahit manis apabila saya berkongsi keputusan saya (untuk bersara dari politik) kerana mereka sedar ia merupakan penghujung era pengorbanan dan sumbangan peribadi. Tetapi ia merupakan detik manis juga kerana akhirnya, kami kembali ke dakapan satu sama lain. Bagi (anak-anak saya) mereka mendapat semula ayah mereka, isteri saya pula mendapat semula suaminya.”
Dr Mohd Maliki Osman.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg