Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maliki: S’pura akan terus bantu rakyat Palestin bangun semula kehidupan

Maliki ke Jordan minggu depan sampaikan cek untuk Gaza
Jan 16, 2025 | 7:30 PM
Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman menyampaikan kenyataan berkaitan pengumuman gencatan senjata antara Israel dan Hamas di pejabat Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 16 Januari 2025.
Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman menyampaikan kenyataan berkaitan pengumuman gencatan senjata antara Israel dan Hamas di pejabat Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 16 Januari 2025. - Foto BH oleh SYAHEERA AZLAN

Singapura akan terus membantu rakyat Palestin membangunkan semula kehidupan dan negara mereka setelah kemusnahan dahsyat yang mereka alami.

Ini akan dilakukan dengan menyediakan kemahiran sesuai yang diperlukan serta biasiswa buat mereka (rakyat Palestin), kata Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan di pejabat Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 16 Januari berikutan pengumuman gencatan senjata antara Israel dengan Hamas pada 15 Januari.

“Singapura juga akan terus membantu rakyat Palestin dalam usaha membangunkan negara mereka, membangkitkan kehidupan mereka.

“Kami akan membantu mereka dari segi kemahiran dan memberi mereka biasiswa supaya mereka dapat melihat ke hadapan dan merasakan bahawa kehidupan mereka akan lebih cerah selepas ini,” ujar Dr Maliki.

Beliau turut berkata Singapura mengalu-alukan termeterainya gencatan senjata tersebut, yang bermakna para tebusan dapat dibebaskan dengan segera dan bantuan kemanusiaan bagi rakyat Gaza dapat diberi kepada mereka yang memerlukan.

Gencatan senjata itu dijangka berkuat kuasa pada 19 Januari, kata Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani, yang turut memainkan peranan penting dalam proses perantaraan.

Sebelum ini, sejak 15 bulan lalu, keadaan di Timur Tengah semakin genting dan “terus membimbangkan rakyat Singapura”, kata Dr Maliki.

Oleh itu, Singapura telah bekerjasama dengan rakan-rakannya yang lain di rantau itu untuk membantu.

“Kami telah bekerja keras dan juga berhubungan dengan rakan-rakan kami di Jordan, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir untuk sama-sama memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Rakyat Singapura dan pemerintah sudah banyak melakukan apa yang terdaya untuk terus membantu mereka yang mengalami kesusahan, termasuk (melalui) bantuan-bantuan sebelum ini,” tambahnya.

Dr Maliki turut berkata beliau akan ke Jordan minggu depan untuk menyampaikan cek kepada Organisasi Amal Jordan Hashemite (JHCO) untuk diserahkan kepada pihak Gaza.

“Ini merupakan kali keenam kita memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan di sana dan kita akan terus berusaha untuk memberi bantuan,” katanya.

Dalam pada itu, reaksi global terhadap perjanjian gencatan senjata tersebut adalah positif.

Pemimpin-pemimpin dari negara-negara seperti Mesir, Turkey, Britain, Jerman dan UAE turut mengucapkan tahniah terhadap perkembangan ini.

“Rakyat Singapura dan pemerintah sudah banyak melakukan apa yang terdaya untuk terus membantu mereka yang mengalami kesusahan, termasuk (melalui) bantuan-bantuan sebelum ini.”
Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg