Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maliki: S’pura akan terus sokong usaha bina semula Palestin

Jul 10, 2024 | 7:34 PM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman (barisan hadapan, tiga dari kanan) serta Wakil Singapura bukan bermastautin ke Palestin, Encik Hawazi Daipi (barisan hadapan, kiri), menyantuni delegasi Penguasa Palestin pada 10 Julai di Wisma Geylang Serai. Delegasi Penguasa Palestin seramai 16 pegawai itu berada di Singapura bagi sesi lawatan lima hari bermula 8 Julai.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman (barisan hadapan, tiga dari kanan) serta Wakil Singapura bukan bermastautin ke Palestin, Encik Hawazi Daipi (barisan hadapan, kiri), menyantuni delegasi Penguasa Palestin pada 10 Julai di Wisma Geylang Serai. Delegasi Penguasa Palestin seramai 16 pegawai itu berada di Singapura bagi sesi lawatan lima hari bermula 8 Julai. - Foto MFA

Singapura akan terus menyokong Palestin dalam cara yang mampu untuk membina semula negara itu di kala ia menanggung kesan akibat konflik Israel-Palestin yang masih berlarutan, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.

Ini termasuk berkongsi dengan Penguasa Palestin kepakaran Singapura dalam perkhidmatan awam, khususnya pengetahuan kecerdasan buatan (AI) dan keupayaan dalam pemacuan data, ujarnya.

Beliau berkongsi demikian kepada Berita Harian (BH) selepas sesi perkongsian dengan delegasi Penguasa Palestin seramai 16 pegawai pada 10 Julai di Wisma Geylang Serai.

Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), berkata delegasi Penguasa Palestin itu berada di Singapura bagi sesi lawatan lima hari – bermula dari 8 Julai hingga 12 Julai – untuk mempelajari tentang penerapan AI dan penggunaan data dalam memacu sesebuah keputusan dalam perkhidmatan awam.

Delegasi tersebut terdiri daripada kementerian berbeza Penguasa Palestin, antaranya Kementerian Telekom dan Ekonomi Digital serta Kementerian Kewangan Penguasa Palestin.

Beliau berkata: “Ini merupakan salah satu program bantuan yang telah disediakan oleh pemerintah Singapura iaitu Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (Etap) untuk pegawai awam dari Penguasa Palestin.

“Mereka ke sini untuk belajar pengalaman berkenaan AI dan pendigitalan kerana mereka ingin mengetahui apa pengalaman Singapura dan bagaimana mereka dapat tingkatkan keupayaan untuk mengemas kini dan membaiki sistem perkhidmatan awam mereka.”

Beliau turut menambah kedua-dua pihak membincangkan mengenai bagaimana Singapura dapat terus menyokong Penguasa Palestin “membina semula apa yang diinginkan untuk rakyat di Palestin”.

Dalam ucapan di Parlimen pada 2 Julai, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, memberi penekanan bahawa Singapura akan meneruskan penglibatan dengan Penguasa Palestin melalui Etap bernilai $10 juta untuk membantu mereka membina kapasiti dan bersedia bagi negara akhirnya.

Dr Maliki berkongsi bahawa sehingga kini di bawah Etap, lebih 750 pegawai Palestin telah dilatih dan 13 biasiswa telah diberikan kepada pegawai Penguasa Palestin untuk melanjutkan pengajian possiswazah di universiti tempatan di sini.

Wakil Singapura bukan bermastautin ke Palestin, Encik Hawazi Daipi, memberitahu BH bahawa Singapura telah bekerja rapat dengan Penguasa Palestin dari agensi dan kementerian berbeza untuk “berkongsi keupayaan dan pengalaman kita… yang mungkin bermanfaat kepada mereka”.

“Rakyat Palestin berpendidikan dan mempunyai tahap pengetahuan yang tinggi. Mereka ingin kecapi pencapaian seperti yang diraih Singapura, lebih-lebih lagi selepas negara mereka menjadi negara berdaulat,” ujarnya.

Ketua delegasi, Encik Abdallah Mohammed Abdulla Abuajamieh, berkongsi sesi pertukaran dan perkongsian sebegini bermanfaat baginya dan juga pegawai Penguasa Palestin.

Beliau berkata: “Singapura amat maju dari segi teknikal – cara ia menerapkan dan menggunakan AI dalam pelbagai sektor serta dengan melalui cara berbeza. Ia akan mengambil sedikit masa untuk kami fahami cara AI dapat digunakan dalam perkhidmatan awam.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg