Sebagai anggota Negara Membangun bagi Pulau Kecil (SIDS), Singapura memahami cabaran unik yang dihadapi negara-negara Kepulauan Pasifik, dan terus komited terhadap pelaksanaan Strategi 2050 bagi Benua Pasifik Biru, kata Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman.
Bercakap semasa sesi Pemimpin Forum Kepulauan Pasifik (PIF) ke-53 bersama Rakan Dialog di Nuku’alofa, Tonga, pada 28 Ogos, Dr Maliki mengesahkan semula sokongan Singapura terhadap usaha pembinaan kapasiti Pasifik.
Ini termasuk menangani perubahan iklim dan peningkatan paras laut, membina ekonomi dan masyarakat yang berdaya tahan, serta meningkatkan suara kolektif Pasifik.
Mengenai perubahan iklim, Dr Maliki, yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri, berkata penyesuaian perubahan iklim adalah keutamaan bagi kebanyakan negara dan Singapura bersedia berkongsi pengalamannya dengan rantau Pasifik.
“Singapura mahu bekerjasama dengan Pasifik untuk menangani perubahan iklim dengan menyokong dan melaksanakan Perjanjian Paris, yang kami percaya adalah harapan terbaik kami untuk menggalakkan penyelesaian kolektif kepada masalah perubahan iklim yang kompleks dan pelbagai dimensi,” kata Dr Maliki.
Memetik Singapura sebagai contoh, beliau berkata Singapura sedang merancang untuk membina sebuah ‘Long Island’, untuk perlindungan pantai dengan menebus tanah pada tahap lebih tinggi dan jauh dari pantai semasa Singapura.
Untuk sidang puncak menangani perubahan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP) ke-29 akan datang, Dr Maliki menggesa negara-negara supaya terus bekerjasama memastikan matlamat 1.5 darjah Celsius dalam capaian.
Ini termasuk mencapai hasil bercita-cita tinggi pada Matlamat Berkuantitatif Kolektif Baru mengenai Kewangan Iklim, yang mengiktiraf keadaan istimewa bagi SIDS.
Bagi membina ekonomi dan masyarakat yang berdaya tahan, Dr Maliki berkata Singapura menyokong sepenuhnya keutamaan Tonga dalam membina sistem kesihatan dan pendidikan yang berdaya tahan.
“Selama bertahun-tahun, Singapura telah menjalankan banyak kursus pembinaan kapasiti dalam kesihatan dan pendidikan melalui Program Kerjasama Singapura. Program itu telah menerima lebih 6,100 pegawai Pasifik sepanjang tiga dekad yang lalu.
“Tahun ini (2024) sahaja, kami menganjurkan tujuh kursus pendidikan dan lima kursus kesihatan. Anggota PIF, sebagai Negara Membangun bagi Pulau Kecil, akan mendapat keutamaan akses kepada kursus ini,” kata Dr Maliki.
Beliau juga menegaskan semula sokongan Singapura dalam usaha membina kapasiti Pasifik, melalui Perkongsian Daya Tahan dan Pengetahuan Singapura-Pasifik (Sparks), yang telah dilancarkan semasa mesyuarat terakhir PIF pada November 2023.
Pakej tersebut, yang merupakan program tiga tahun yang disesuaikan khas untuk menyokong Tindakan Kolektif Serantau Pasifik seperti yang digariskan dalam Strategi 2050, memfokuskan usaha pada tiga bidang sokongan utama – daya tahan iklim, keselamatan siber dan undang-undang antarabangsa.
“Saya gembira memaklumkan bahawa Singapura telah menerima kumpulan pegawai pertama dari Pasifik untuk kursus sulung mengenai daya tahan iklim di Singapura pada Mei 2024.
“Kursus seterusnya mengenai undang-undang antarabangsa, dengan tumpuan khusus kepada isu iklim dan kenaikan paras laut, akan diadakan pada November.
“Kami juga melancarkan pakej bantuan teknikal ‘SIDS of Change’ pada Persidangan Antarabangsa Keempat mengenai SIDS pada Mei tahun ini (2024), yang merangkumi program tersuai baru mengenai isu-isu baru muncul termasuk karbon biru dan pendigitalan,” kata Dr Maliki.
Semasa ucapannya, Dr Maliki berkata Singapura akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi Pasifiknya di forum pelbagai hala, termasuk melalui Perikatan Negara Pulau Kecil dan Forum Negara Kecil, untuk memajukan kepentingan bersama di pentas antarabangsa.
Dr Maliki kini berada di Nuku’alofa, Tonga, bagi mewakili Singapura di Mesyuarat PIF yang berlangsung dari 26 hingga 30 Ogos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg