Singapura menyokong sepenuhnya usaha bersama yang dilakar dalam rangka tindakan ‘Pakatan untuk Masa Hadapan’, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman.
Ini setelah anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sepakat menerima pakai rangka tindakan itu pada 22 September dalam segmen pembukaan Perhimpunan Agung PBB bagi Perbahasan Pleno Sidang Puncak Masa Hadapan (SOTF) di New York, yang dihadiri Dr Maliki.
Dalam satu hantaran Facebook pada 22 September, beliau berkata kesepakatan sesama anggota PBB terhadap rangka tindakan dan pakatan itu merupakan satu peristiwa penting bagi masyarakat sejagat.
Ia merupakan satu langkah penting demi mengukuhkan PBB dan sistem berbilang hala bagi menangani cabaran global yang kompleks dan merentas sempadan, tambahnya.
Dr Maliki sebelum ini menghadiri acara sampingan SOTF bertajuk ‘Deklarasi bagi Generasi Masa Hadapan’ pada 21 September, di mana beliau memberi ucapan kepada hadirin dan menekankan peranan penting belia dalam menangani cabaran sejagat.
Beliau menukil contoh Program Pembangunan Belia bagi Iklim sebagai langkah Singapura memperkasa generasi masa hadapan dengan mempersiapkan mereka dengan kemahiran untuk menyumbang kepada usaha tindakan iklim Singapura.
“Adalah penting deklarasi ini mengiktiraf kanak-kanak dan belia sebagai kolaborator (pihak) utama dan pemacu perubahan.
“Malah, proses membangunkan deklarasi itu melibatkan perundingan dengan banyak pihak berkepentingan, termasuk golongan belia.
Deklarasi ini adalah bukti pentingnya melibatkan belia untuk memahami aspirasi mereka bagi membentuk visi inklusif untuk masa hadapan,” kata beliau dalam ucapannya.
Dr Maliki menukil contoh pendekatan Singapura, dengan penglibatan dan penubuhan beberapa panel belia untuk “membangunkan bersama kedudukan dasar, memperkasakan mereka demi membentuk masa hadapan Singapura”.
Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 19 September, Dr Maliki berada di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung PBB yang berlangsung dari 19 hingga 28 September, bersama Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
MFA menambah, Dr Balakrishnan akan menyampaikan kenyataan negara dalam SOTF pada 23 September dan debat umum Perhimpunan Agung pada 28 September.
Beliau juga akan menyertai Pertemuan Menteri Ehwal Luar Kumpulan 20 (G20) kedua dan menyampaikan ucapan bagi pihak Kumpulan Tadbir Urus Global (3G).
Selain itu, kata MFA, Dr Maliki mewakili Singapura dalam beberapa acara SOTF dan Mesyuarat Pemimpin Perikatan Negara-Negara Pulau Kecil.
Kedua-dua menteri akan turut mengadakan beberapa siri pertemuan dua hala dengan pegawai PBB, rakan sejawat asing dan rakan berbincang Amerika Syarikat di New York.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg