Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Negara kecil perlu kerjasama perkukuh sistem berbilang hala

Tanpa aturan berasaskan undang-undang antarabangsa, kuasa akan tentukan keadilan dan jejas kedaulatan
Sep 20, 2024 | 6:19 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong berkata bahawa dengan bekerjasama, negara-negara kecil boleh membuat suara kolektif mereka didengari dan pengaruh mereka diperkukuh di peringkat antarabangsa.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong berkata bahawa dengan bekerjasama, negara-negara kecil boleh membuat suara kolektif mereka didengari dan pengaruh mereka diperkukuh di peringkat antarabangsa. - Foto MDDI

Adalah penting bagi negara-negara kecil berganding bahu dan mempergiat usaha memperkukuh sistem yang melibatkan berbilang hala, serta mempertahankan prinsip undang-undang antarabangsa, dalam era konflik dan persaingan, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada 19 September.

Dalam rakaman mesej yang disampaikan sewaktu pelancaran laporan oleh Institut Keamanan Antarabangsa (IPI) yang berpangkalan di New York, dan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Encik Wong berkata sistem yang melibatkan berbilang hala atau multilateral yang kukuh dan berkesan berdasarkan undang-undang antarabangsa bukan sahaja bermanfaat untuk negara kecil, bahkan berkaitan dengan isu kewujudan atau eksistensial.

“Tanpa aturan berasaskan undang-undang yang melayan semua negara secara sama rata, risiko yang dihadapi negara kecil kian meningkat. Kita mungkin menghadapi keadaan di mana kuasa menentukan keadilan,” katanya.

“Senario sebegini akan menjejas prinsip kedaulatan, keutuhan wilayah dan kemerdekaan politik, yang merupakan talian hayat semua negara kecil.”

Encik Wong berkata adalah penting bagi negara-negara kecil bekerjasama, supaya suara kolektif mereka didengari dan pengaruh mereka dapat diperkukuh di peringkat antarabangsa.

Semangat ini mendorong penyusunan laporan IPI-RSIS, berjudul ‘Negara Kecil dan Masa Depan Multilateralisme’, yang menggambarkan keutamaan serta cabaran yang dilalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sistem berbilang hala, melalui sudut pandangan negara kecil, jelas Encik Wong.

Laporan itu, yang dilancarkan sempena Sesi ke-79 Minggu Peringkat Tinggi Perhimpunan Agung PBB, mengkaji bagaimana negara-negara kecil boleh mempertingkatkan autonomi dan kuasa mereka dalam landskap global yang berubah-ubah.

Laporan itu meneroka cara negara-negara kecil boleh menyumbang kepada pembinaan sistem berbilang hala yang lebih kukuh untuk manfaat semua.

Antara cadangannya adalah agar negara-negara kecil memperkukuh prinsip asas kerjasama antarabangsa dengan mengetengahkan sebarang pelanggaran Piagam PBB, dan memperbanyak perkongsian maklumat dan pembinaan kapasiti.

Di samping itu, mereka digesa supaya berfikiran ke hadapan dengan melibatkan diri dalam pelbagai perbincangan yang berlaku di PBB serta berkongsi pandangan dan idea mereka.

Encik Wong berkata laporan itu adalah seruan untuk bertindak bagi perkongsian yang lebih kukuh bukan sahaja dalam kalangan negara-negara kecil, malah dengan semua anggota PBB.

“Dengan bekerjasama, kita boleh menangani cabaran global dengan lebih berkesan. Kita boleh memastikan tidak ada negara yang ketinggalan, dan memperkasa sistem global yang menegakkan hak dan kepentingan semua negara, tanpa mengira saiznya.

“Akhirnya, semua negara, besar dan kecil, mempunyai matlamat asas yang sama iaitu untuk mencipta peluang yang lebih baik dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” ujar PM Wong.

Beliau mengakhiri perutusannya dengan menyatakan bahawa Singapura telah lama memperjuangkan multilateralisme, komited untuk menegakkan undang-undang antarabangsa dan mengukuhkan aturan berasaskan undang-undang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg