Langkah Berita Harian (BH) melakukan transformasi adalah baik kerana ia menunjukkan kesungguhan akhbar ini dalam memahami cita rasa pembaca selain menonjolkan keupayaannya membuat penyesuaian sejajar dengan tuntutan semasa, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, semasa lawatan ke bilik berita SPH Media pada 16 Julai.
“Saya telah mendengar begitu banyak tentang transformasi BH, dan hari ini saya dapat menyaksikan perubahan ketara itu yang sudah pun berlaku sejak kurang dari setahun lalu.
“Pada fikiran saya, ini adalah satu langkah ke arah yang baik – kerana kita perlu memahami cita rasa pembaca dan menawarkan kepada mereka apa yang mereka mahukan sebagai tindak balas terhadap perubahan,” katanya, yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan).
Kedatangan Dr Maliki disambut oleh Editor BH, Encik Nazry Mokhtar dan Editor Berita, Encik Nazri Hadi Saparin.
Semasa lawatannya, Encik Nazry memberi taklimat dan menerangkan tentang usaha transformasi yang dijalankan selain mendedahkan beliau kepada pembangunan bilik berita sejak tahun lalu.
Berkenaan tumpuan BH ke arah digital, Dr Maliki melahirkan rasa kagum dengan perubahan yang telah dijalankan dalam tempoh singkat.
Menurutnya, adalah penting agar memastikan pihak media terus kekal relevan kepada kumpulan sasaran tanpa hilang tumpuan kepada peranan media tradisional:
“Media massa Melayu harus terus mendekati masyarakat pembaca Melayu dan menghayati konteks isu yang berlaku di Singapura berbanding kedudukan kita di dunia, dan semoga perkara itu berterusan menarik minat pembaca untuk memahami bahan yang dibentangkan…”
Kunjungan Dr Maliki juga memberi peluang kepada kakitangan BH untuk berinteraksi dengannya dalam sesi dialog tertutup.
Mengulas tentang sesi dialog itu, Encik Nazry berkata, interaksi sedemikian penting kerana ia memberi peluang kepada kededua pihak saling memahami isu-isu yang dibincangkan selain membolehkan pelawat seperti menteri, pemimpin masyarakat dan ketua korporat untuk mengetahui perkembangan proses transformasi BH yang bermula pada 2023.
“Kami juga memberi taklimat tentang keupayaan baru BH khususnya dalam menghasilkan kandungan berbilang media yang merangkumi bukan sahaja media cetak malah digital seperti video dan podcast. Ini diharap dapat mencetus keinginan untuk bekerja dengan BH dalam usaha menyebarkan mesej-mesej awam kepada khalayak ramai.”
Selain itu, Encik Nazry juga berharap menerusi sesi ini wartawan BH dapat mengenali para pemimpin ini dan meluaskan rangkaian kenalan mereka yang merupakan aspek penting kewartawanan.
“Sesi perkongsian juga menambahkan pengetahuan dan pemahaman mereka tentang perkembangan di belakang tabir yang melibatkan isu-isu semasa,” tambah Encik Nazry.
Dr Maliki turut akur cabaran utama buat masa sekarang ialah penggunaan bahasa Melayu dan bagaimana bahasa Melayu dapat terus diterapkan dalam jiwa generasi muda.
“Ini adalah salah satu peranan media Melayu, dikhuatiri masyarakat Melayu pada masa depan tidak fasih dalam bahasa ibunda.
“Bahasa Melayu ada keunikan sendiri, dan saya harap ia dapat terus digunakan kerana ia menunjukkan nilai dan budaya kita,” ulas Dr Maliki.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg