Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maliki: Usaha bentuk tenaga pengajar komited perlu keseimbangan tugas, sokongan   

Guru digalak manfaat teknologi untuk ringan beban; ibu bapa, pelajar diminta hormati masa peribadi guru
Feb 17, 2025 | 6:43 PM
Dr Mohamed Maliki Osman (tiga dari kanan) menggesa agar pelajar dan ibu bapa menghormati masa guru dan menghargai sumbangan serta meletakkan kepercayaan terhadap mereka dalam melakukan yang terbaik.
Dr Mohamed Maliki Osman (tiga dari kanan) menggesa agar pelajar dan ibu bapa menghormati masa guru dan menghargai sumbangan serta meletakkan kepercayaan terhadap mereka dalam melakukan yang terbaik. - Foto ST

Guru merupakan tunggak utama sistem pendidikan Singapura dalam membentuk generasi masa depan dalam persekitaran yang semakin mencabar dan dengan skop tugas yang semakin meluas. 

Dalam usaha Singapura memastikan setiap pelajar mampu mencapai versi kejayaan masing-masing, skop tugas serta tanggungjawab golongan pendidik bukan sahaja bertambah, malah semakin kompleks.

Bagi membentuk tenaga pengajar yang mampan dan kekal komited dan berdedikasi, keseimbangan antara tugasan dan sokongan yang diberikan kepada guru perlu dicapai dan diberi perhatian penuh, menurut Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamed Maliki Osman. 

Isu beban kerja guru bukan isu baru, dan Kementerian Pendidikan (MOE) telah berusaha secara konsisten bagi menangani isu ini, tambahnya dalam temu ramah dengan Berita Harian (BH) baru-baru ini. 

Justeru, usaha memastikan guru menerima sokongan yang diperlukan memerlukan semua pihak berkepentingan – termasuk ibu bapa, pemerintah dan anggota masyarakat – untuk memainkan peranan masing-masing, kata Dr Maliki. 

Ini termasuk dalam memastikan guru dapat menggunakan tempoh peruntukan masa yang ditetapkan tanpa sebarang gangguan atau ‘protected time’ bagi keperluan peribadi, tanpa jangkaan untuk tetap bertugas semasa tempoh tersebut.

“Memberi guru masa sebegini bermakna ibu bapa harus faham guru-guru tidak seharusnya dijangka membalas mesej berkaitan kerja di luar waktu sekolah, kecuali dalam keadaan kecemasan. 

“Ibu bapa juga digalakkan mendapat maklumat berkenaan sekolah menerusi wadah aplikasi ‘Parents Gateway’ atau menghubungi pendidik anak mereka melalui aplikasi ‘Class Dojo’ yang disediakan MOE,” kata Dr Maliki.

Dengan menetapkan batasan tersebut, Dr Maliki berharap ibu bapa dan pelajar dapat menghormati masa guru. 

Bagi terus membantu meringankan kerja guru, MOE menggalak penggunaan teknologi untuk membantu mereka mengajar. 

Ibu bapa boleh mendapatkan maklumat berkenaan sekolah dan perkembangan anak mereka menerusi wadah aplikasi ‘Parents Gateway’ yang dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan (MOE).
Ibu bapa boleh mendapatkan maklumat berkenaan sekolah dan perkembangan anak mereka menerusi wadah aplikasi ‘Parents Gateway’ yang dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan (MOE). - Foto fail

MOE telah melabur dalam Pendidikan Teknologi (EdTech) dan sistem pembelajaran mudah suai dalam membantu guru membentuk pembelajaran lebih baik untuk pelajar.

Meskipun teknologi tidak dapat menggantikan guru, namun ia tetap dapat melengkapi peranan yang dimainkan mereka.

Dengan penggunaan teknologi, guru boleh memperuntuk lebih banyak masa dalam menumpukan perhatian kepada kemahiran mengajar lebih tinggi dan memberikan sokongan kepada pelajar yang memerlukan lebih banyak bantuan.

Mereka juga memainkan peranan lebih besar sebagai jurulatih dan mentor, membimbing pelajar dalam membangunkan kemahiran insaniah dan membantu mereka mengemudi isu yang kompleks.

Bagi membolehkan guru memberi perhatian yang lebih tertumpu kepada pelajar, MOE kini menyediakan sekurang-kurangnya dua guru tingkatan bagi setiap kelas dengan sekitar 30 pelajar. 

Ini berbanding seorang guru bagi setiap kelas dengan 30 pelajar sebelum ini. 

Dengan dua guru, Dr Maliki menjelaskan ini memberi mereka peluang untuk benar-benar meneliti keupayaan pelajar dalam pelbagai aspek dengan lebih baik. 

Tambahnya, MOE mengerah guru tambahan ke sekolah dengan pelajar yang mempunyai keperluan pembelajaran lebih tinggi.

Guru juga bekerjasama dengan kaunselor sekolah, pendidik bersekutu dan pasukan pembangunan pelajar bagi memenuhi keperluan pelajar.

Dalam pada itu, MOE akan terus memberikan peluang kepada guru bagi membangunkan kemahiran profesional dan mendalami pedagogi dan kemahiran baru.

Tambahan lagi, guru juga diberi peluang untuk meluangkan masa di luar bilik darjah dan mendapat pendedahan serta perspektif baru, meluaskan fikiran dan membawa idea baru untuk dikongsi dengan pelajar dan rakan sekerja.

MOE telah memperkenalkan program bekerja untuk guru pada 2003 untuk meneroka peluang dalam industri lain buat tempoh tertentu, yang bertujuan membantu mereka meraih kemahiran baru dan membawa perspektif baru dalam mengajar.

Program tersebut telah diperluas untuk membentuk program bekerja dalam industri berlainan atau Teacher Work Attachment Plus’ (TWA+) sejak Januari 2022. 

Menerusi program tersebut, guru dipadankan dengan pelbagai peranan dalam sektor seperti perkilangan, sekitaran dan perdagangan. 

Dr Maliki berkata MOE juga menyediakan peluang buat guru membuat pilihan, sama ada mereka ingin terus maju dalam laluan pengajaran – di mana mereka berpeluang terus meningkatkan kemahiran dalam bidang pengajaran, atau laluan kepimpinan di mana mereka mungkin ditawarkan peluang menjadi naib pengetua atau pengetua.

“Peluang pertumbuhan sebegini adalah untuk memastikan kerjaya sebagai guru kekal dinamik,” ujar Dr Maliki. 

Lebih penting lagi, Dr Maliki berharap ibu bapa dan masyarakat menghormati dan mempercayai guru yang telah menjalani latihan intensif dan pembangunan professional selama bertahun-tahun lamanya. 

Ini selain bekerjasama dengan mereka dalam membantu pembelajaran pelajar.

Tambahnya, ini selain menghargai tenaga serta usaha yang telah dilaburkan demi mendidik dan membangunkan pelajar, seringkali menjangkau tanggungjawab rasmi mereka. 

Memberi guru masa sebegini (peruntukan masa yang ditetapkan tanpa sebarang gangguan) bermakna ibu bapa harus faham guru-guru tidak seharusnya dijangka membalas mesej berkaitan kerja di luar waktu sekolah, kecuali dalam keadaan kecemasan.  Ibu bapa juga digalakkan mendapat maklumat berkenaan sekolah menerusi wadah aplikasi ‘Parents Gateway’ atau menghubungi pendidik anak mereka melalui aplikasi ‘Class Dojo’ yang disediakan MOE.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamed Maliki Osman. 
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg