Manchester United dijangka mempertajamkan gaya permainannya apabila beraksi menentang Everton ketika kedua-dua pasukan bertembung dalam satu pertarungan Liga Perdana England (EPL) di Old Trafford pada 1 Disember.
Ini di tengah-tengah penerapan formasi baru oleh pengurus baru The Red Devils itu yang baru mengambil alih pasukan tersebut pada 11 November, Ruben Amorim, 39 tahun.
Ia diguna pakai dalam perlawanan pada 25 November menentang Ipswich Town yang berkesudahan seri 1-1 – keputusan kurang ideal bagi Amorim dalam perlawanan pertamanya mengisi ‘kerusi panas’ bekas gergasi England itu.
Pengurus asal Portugal itu berpindah daripada kelab pendahulu liga Portugal, Sporting Lisbon, setelah berjaya mengubah corak permainan Sporting dan membawa mereka menduduki tangga kedua dalam kalangan 36 pasukan bagi Liga Juara-juara Eropah.
Dalam perlawanan menentang Ipswich, Amorim menerapkan formasi 3-4-3 sama yang diterapkannya ketika bersama Sporting, dengan dua pemain bek United, Amad Diallo dan Diogo Dalot, diperlukan bergerak di posisi baru sebagai wing back atau bek sayap.
Di bawah pengurus Erik ten Hag sebelum ini, yang dipecat pada 28 Oktober ekoran prestasi hambar United sejak permulaan musim baru ini, formasi 4-3-3 atau 4-2-3-1 kerap digunakan, dengan pemain bek kanan atau kiri lebih bersifat defensif.
Menukil laporan media tempatan Britain selepas perlawanan menentang Ipswich, Amorim menyifatkan rasa takut-takut di bawah sistem barunya itu sebagai salah satu faktor pasukannya mungkin tidak dapat memanfaatkan peluang yang tersaji.
“Mereka (pemain) mahu memanfaatkan sistem baru ini, tetapi mereka tidak tahu caranya. Itulah apa yang saya rasakan.
“Kami akan cuba untuk menyelongkar pelbagai kekuatan dan kelemahan pemain, dan perlukan masa untuk memperbaiki semua ini.
“Saya rasa pemain terlalu banyak berfikir... kami kehilangan bola tanpa tekanan tetapi mereka (pemain) cuba sedaya upaya dan mahukan pasukan bermain dengan baik,” ujarnya.
Corak dan gaya permainan menggunakan sistem formasi tersebut sudah semestinya akan diasah apabila menentang Everton, memandangkan beliau hanya ada sekitar dua minggu untuk membuat persiapan apabila mengambil alih tugasan sebelum perlawanan pertamanya menentang Ipswich.
Malah bagi perlawanan menentang Everton, Amorim mempunyai kelebihan bermain di hadapan penyokong sendiri buat kali pertama – barangkali suntikan semangat yang diperlukan beliau dan anak didiknya.
Namun, United akan turun padang tanpa tonggak pertahanan Lisandro Martinez yang dilaporkan mengalami kecederaan, serta Harry Maguire dan Leny Yoro – kededua pemain bertubuh sasa yang mengawal barisan pertahanan pasukan.
Ditambah pula dengan Everton yang sedang cuba mencari jalan keluar daripada terus keciciran mata dan jatuh ke zon penyingkiran, United semestinya tidak boleh memandang remeh ancaman skuad anak buah Sean Dyche.
Everton hampir tersingkir pada musim EPL musim lalu setelah menduduki tangga ke-15, iaitu tiga tangga di atas zon penyingkiran, dengan 40 mata.
Tetapi Dyche berjaya membawa kestabilan dan organisasi kepada skuad, namun ia masih berada di tangga ke-15 musim ini selepas 12 perlawanan dengan hanya 10 jaringan.
Pasukan yang dikenali sebagai The Toffees itu menghadapi kesukaran mencari gol secara konsisten dan perlu sekali lagi bergantung pada kecergasan dan ketangkasan penyerang, Dominic Calvert-Lewin, untuk menggempur barisan hadapan.
Dominic sejauh ini telah menjaringkan dua gol dalam 12 perlawanan.
Di bahagian tengah, Idrissa Gueye dan Abdoulaye Doucoure, diharapkan dapat mengawal rentak permainan dan mematahkan serangan kilat United.
Jika anak didik Dyche ingin memperoleh keputusan yang dihajatkan di Old Trafford, mereka perlu mengamalkan pendekatan berdisiplin, kekal padat semasa bertahan bagi membendung asakan United sambil memanfaatkan sebarang kesilapan yang mungkin dilakukan oleh United.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg