Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kesebelasan pertama Amorim jadi tumpuan

Nov 21, 2024 | 5:13 PM
Ruben Amorim akan menguruskan  perlawanan pertamanya dalam Liga Perdana England apabila Manchester United menentang Ipswich di Portman Road, 25 November ini. 
Ruben Amorim akan menguruskan perlawanan pertamanya dalam Liga Perdana England apabila Manchester United menentang Ipswich di Portman Road, 25 November ini.  - Foto REUTERS

LONDON: Semua mata akan tertumpu kepada senarai pemain dalam pasukan pertama Ruben Amorim sebagai ketua jurulatih Manchester United pada 25 November ini.

Kunjungan ke Ipswich Town menantinya dan kesebelasan utama pengurus berusia 39 tahun itu di Portman Road amat dinanti-nantikan, terutama dengan satu perubahan dalam formasi dijangkakan.

Di kelab terdahulunya Sporting CP, Amorim sering mengamalkan formasi tiga pemain pertahanan sama ada sistem 3-4-3 atau 3-4-2-1.

Ketika kedua-duanya agak asing buat skuad yang diwarisinya, pemilihan pasukan pertamanya dijangka menarik.

Jika Amorim mahu mendedahkan kelemahan pasukan lawan, pasukannya pasti memerlukan pemain bertenaga kuat yang akan menekan Ipswich dengan garang.

Menutup ruang secara agresif adalah kunci utama pendekatan taktikal Amorim, tetapi anak buah Kieran McKenna sudah mempamerkan kerapuhan apabila ditekan di kawasan benteng mereka sendiri.

Manchester City, Southampton, Aston Villa dan West Ham United semuanya menjaringkan gol berdepan pasukan baru naik divisyen itu selepas memenangi semula bola dalam kawasan serangan.

Memaksa pemain Ipswich melakukan kesilapan apabila bermain dari belakang pasti menjadi antara inti pati perancangan perlawanan Amorim.

Mason Mount bergelut mendapat minit permainan di bawah kendalian Erik ten Hag, tetapi pemain tengah itu bekerja keras sepanjang minggu di padang latihan bersama Amorim, manakala ramai rakan sepasukannya beraksi dengan pasukan kebangsaan masing-masing.

Ini memungkinkan beliau berpeluang turun pada aksi di Portman Road.

Corak permainan Mount pasti sesuai dengan ketua jurulatih baru, yang suka pemainnya bekerja keras sekalipun tidak mengawal bola.

Mount, yang boleh beroperasi di bahagian tengah atau satu daripada dua No 10, melakukan banyak tekanan di kawasan lawan berbanding pemain lain di United.

Apabila melihat jumlah tekanan diberikan sepanjang 90 minit oleh pemain United, Mount berada di tangga teratas meninggalkan jauh pencabar terdekatnya.

Dia melakukan purata 45.6 tekanan dengan Joshua Zirkzee di tangga kedua dengan 38.3.

Usaha Mount, ditambah dengan keupayaan teknikal yang terbukti, akan menarik perhatian Amorim.

Pemain berusia 25 tahun itu pasti mahukan permulaan baru, jadi tidak hairan jika beliau bermain dan menyinar sepanjang beberapa minggu akan datang. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg