Ipswich Town dan Manchester United bakal bertembung pada tengah malam 25 November (waktu Singapura) dalam perlawanan Liga Perdana England (EPL).
Perlawanan ini dijangka menarik perhatian ramai peminat EPL sedang pasukan yang baru dinaikkan daripada Liga Championship itu berusaha untuk menjinakkan United, yang kini mula menunjukkan ‘taring’ sebenar mereka sejak penyingkiran pengurus mereka, Erik ten Hag.
Ipswich meraih kemenangan pertama mereka dalam EPL selepas menewaskan salah satu pasukan gergasi England, Tottenham Hotspur 2-1 di padang lawan pada 10 November, hasil jaringan Sammie Szemodics dan Liam Delap.
Ini membawa pasukan pimpinan Kieran McKenna itu keluar daripada zon penyingkiran dan kini Ipswich berada di tangga ke-17 dan telah meraih lapan mata selepas 11 perlawanan. Ipswich telah menang satu, seri dan kalah lima kali sejauh ini.
Sementara itu, United kini berada di kedudukan 13 EPL dengan 15 mata. Mereka telah menang empat kali, seri tiga dan tewas empat perlawanan sejauh ini.
Meskipun Ipswich telah dinaikkan ke EPL, pihak pengurusan kelab tersebut dijangka tidak begitu gembira dengan keputusan yang diraih skuad itu sejauh ini, dengan harapan mereka tidak disingkir keluar daripada EPL pada musim akan datang.
Selepas tewas dua perlawanan pembukaan EPL dalam musim kali ini, Ipswich Town telah meraih keputusan seri dalam empat perlawanan termasuk semasa menentang Fulham, Brighton, Southampton dan Aston Villa.
Salah seorang pemain tonggak mereka adalah Liam Delap, 21 tahun yang sejauh ini telah menjaringkan enam gol termasuk semasa menentang Tottenham.
Pada Oktober, McKenna dipetik sebagai berkata:
“Liam telah mempunyai permulaan baik dalam musim kali ini.
“Beliau seorang penyerang muda yang telah dipinjamkan kepada tiga kelab berbeza antara 2022 dengan 2024 semasa dalam liga Championship.
“Susuk badannya telah berkembang secara fizikal dengan baik sepanjang 12 bulan lalu, yang saya fikir penting sebagai seorang pemain penyerang untuk bermain dalam EPL dan juga liga Championship.
“Saya fikir permintaan yang kami tetapkan dalam setiap pemain itu lebih tinggi daripada biasa dialami mereka dalam kelab lain, maka beliau mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengan intensiti permainan.
“Beliau tahu pada usia 21 tahun, banyak perlawanan yang perlu ditempuhinya dan perjalannya masih jauh, serta banyak yang perlu beliau perbaiki.”
Bagi pasukan United pula, pengurus baru mereka Ruben Amorim dijangka menampilkan “idea baru” buat skuad The Red Devils apabila beliau memimpin skuad itu buat kali pertama semasa menentang Ipswich.
“Anda akan lihat idea itu. Anda mungkin suka atau tidak, tapi anda akan dapat melihatnya.
“Anda akan lihat sesuatu yang ingin dicapai dalam pasukan ini nanti. Anda akan dapat merasakannya,” kata beliau.
Amorim mempunyai dua latihan penuh bersama pasukannya sebelum perlawanan menentang Ipswich, sedang ramai pemain utamanya mewakili pasukan antarabangsa masing-masing.
Dua pemainnya, Manuel Ugarte (Uruguay) dan Alejandro Garnacho (Argentina) dijangka kembali mewakili United, dan Amorim berharap tiada pemainnya yang mengalami kecederaan semasa bermain untuk negara mereka.
Namun beliau agak bimbang dengan kecergasan Lisandro Martinez yang menarik diri daripada skuad Argentina akibat satu isu berkaitan pinggul dan bahagian belakang tubuhnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg