Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mandai Wildlife Reserve guna robot bagi pertingkat kecekapan operasi

Robot Mudah Alih Autonomi digunakan bagi pengawasan keselamatan, hantar makanan, layanan pelanggan
Nov 19, 2024 | 6:42 PM
Robot pengawasan, yang dibina dConstruct Robotics, akan menyokong operasi dan kakitangan keselamatan untuk memantau kawasan taman sepanjang 3.3 kilometer di Mandai Wildlife Reserve.
Robot pengawasan, yang dibina dConstruct Robotics, akan menyokong operasi dan kakitangan keselamatan untuk memantau kawasan taman sepanjang 3.3 kilometer di Mandai Wildlife Reserve. - Foto MANDAI WILDLIFE GROUP

Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) telah bekerjasama dengan Mandai Wildlife Group (MWG) untuk melancarkan Robot Mudah Alih Autonomi (AMR).

Dalam satu kenyataan bersama pada 19 November, IMDA dan MWG berkata penggunaan robot itu adalah langkah penting ke hadapan dalam menjadikan Mandai Wildlife Reserve sebagai presint pintar.

Ia akan menyepadukan teknologi robotik termaju ke dalam taman hidupan liar, menggabungkan teknologi dan alam semula jadi bagi meningkatkan pengalaman pengunjung serta menambah kecekapan operasi.

IMDA dan MWG berkata: “Projek ini, yang merangkumi kerjasama dengan syarikat teknologi, akan menguji robot dengan tugas khusus untuk melihat sejauh mana ia berfungsi dan sama ada ia berguna dan menjimatkan kos untuk perniagaan.

“Pemahaman yang diperoleh juga akan membantu memperhalusi teknologi untuk penggunaan berskala besar di seluruh industri di Singapura.

Terdapat tiga robot – robot concierge, penghantaran dan pengawasan – akan digunakan sebagai sebahagian daripada percubaan di Bird Paradise pada suku pertama 2025. 

Bird Paradise, yang dibuka pada November 2023, menempatkan empat taman hidupan liar yang sesuai untuk semua keadaan cuaca di Singapura.

Namun, usaha menghantar makanan burung merentasi kawasan seluas 17 hektar memakan masa bagi penjaga taman, yang biasanya menggunakan ‘buggy’ untuk menghantar makanan dalam jumlah besar.

Menurut MWG, penggunaan robot untuk tugas ini adalah salah satu cara untuk meringankan beban pekerja, membolehkan mereka memberi tumpuan kepada membantu pengunjung dan menjaga burung.

Robot itu mampu mengangkut muatan sehingga 250 kilogram dan dilengkapi dengan roda lasak yang membolehkannya bergerak merentasi pelbagai jenis permukaan, termasuk cerun dan laluan dalam pelbagai keadaan persekitaran.

Ia akan bergerak dari dapur makanan burung yang berpusat ke sembilan zon berbeza di dalam kawasan burung.

Penggunaan robot penghantaran dijangka dapat menjimatkan 1,200 jam kerja manusia setahun, kata MWG.

Pengunjung juga boleh menantikan sambutan daripada robot concierge yang dibina oleh syarikat teknologi tempatan, Autove.

Robot ‘concierge’ memberi arahan, maklumat harga, dan cadangan jadual perjalanan kepada pengunjung.
Robot ‘concierge’ memberi arahan, maklumat harga, dan cadangan jadual perjalanan kepada pengunjung. - Foto MANDAI WILDLIFE GROUP

Robot yang memaparkan manusia pada skrin terbina dalamnya boleh memberi arahan, maklumat harga, dan cadangan jadual perjalanan kepada pengunjung.

Robot ini juga dapat bergerak dengan lancar di kawasan yang sibuk dan memberi panduan kepada pengunjung dengan selamat di sekitar pintu masuk Zoo Singapura dan tempat mengambil dan menghantar di tempat letak kereta semasa tempoh percubaan.

Selain itu, robot pengawasan akan menyokong operasi dan kakitangan keselamatan untuk memantau kawasan taman sepanjang 3.3 kilometer menggunakan siaran kamera langsung serta pengesan cahaya dan jarak.

Ia dijangka dapat membantu mengambil separuh daripada tugas rondaan pasukan.

Ketiga-tiga robot dipantau dan diurus dari jauh melalui sistem kawalan berpusat.

Inisiatif ini berikutan pemeteraian memorandum hasrat (MOI) antara IMDA dan MWG pada 2023 untuk membangunkan bersama penyelesaian inovatif bagi penggunaan komersial, menangani jurang pasaran serta-merta dan membantu perusahaan untuk bersedia dengan keupayaan baru. 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MWG bagi Transformasi dan Pertumbuhan, Cik Belina Lee, berkata bahawa MWG sedang berusaha mengubah Mandai Wildlife Reserve menjadi presint pintar, dengan teknologi dan inovasi dimanfaatkan untuk meningkatkan pengalaman tetamu serta penjagaan haiwan, sambil mengoptimumkan operasi. 

“Percubaan AMR merupakan pencapaian penting terbaru kami yang bertujuan menunjukkan potensi sistem autonomi dalam persekitaran dinamik, memberikan hasil perniagaan yang berkesan dan positif merentas pelbagai kes penggunaan,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg