Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Manfaat kenali AI bawa anak muda lanjut pengajian ke London

Seramai 55 terima Biasiswa SG Digital IMDA semasa acara Majlis Biasiswa Keluarga MDDI
Aug 12, 2025 | 5:00 PM
Zaki Zainudin, AI
Berkongsi pengalamannya dalam mempelajari kecerdasan buatan (AI), Encik Zaki Zainudin menegaskan bahawa AI harus menjadi alat yang diselia manusia, bukannya menggantikan peranan dalam memutuskan keputusan manusia sepenuhnya. - Foto BH oleh KHALID BABA

Bagi ramai orang, kecerdasan buatan (AI) merupakan istilah kompleks yang sukar difahami.

Apatah lagi apabila ia melibatkan algoritma yang terlalu teknikal untuk dijelaskan.

Bagaimanapun, Encik Zaki Zainudin, bertekad menguasai cabaran itu bagi mendalami bidang tersebut sepanjang perjalanan akademiknya.

Berbekalkan semangat yang kental, beliau mengikuti kursus Sarjana Muda Perkomputeran (Kepujian) dalam Sains Data dan AI selama empat tahun sebelum lulus dengan cemerlang – meraih kepujian tertinggi bagi kursusnya itu.

Atas pencapaian itu, pemuda berusia 25 tahun tersebut terpilih sebagai salah seorang daripada 55 penerima Biasiswa SG Digital Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) 2025.

Daripada jumlah itu, 24 penerima biasiswa adalah bagi peringkat possiswazah, manakala 31 lagi adalah bagi mereka yang masih menuntut sebagai mahasiswa.

Secara keseluruhan, seramai 81 individu menerima pelbagai biasiswa di bawah naungan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) yang disampaikan di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands pada 12 Ogos.

Biasiswa tersebut meliputi pembiayaan perbelanjaan Encik Zaki semasa melanjutkan pengajian di peringkat possiswazah bagi sarjana Sains Data di London School of Economics (LSE).

Ia meliputi yuran pengajian penuh, elaun perbelanjaan harian, elaun prapembelajaran, program pertukaran luar negara dan sebarang yuran wajib lain yang diperlukan untuk melengkapkan kursus pengajian.

Kursus selama setahun itu akan bermula pada September ini.

“Apabila anda cuba mendalami selok-belok AI dan memahami cara ia berfungsi, anda akan lebih kenali bidang penyelidikan yang sangat mendalam dengan pelbagai kertas kajian perlu diselesaikan.

“Sebenarnya, itu adalah salah satu minat saya, untuk mengkaji bidang ini dengan lebih mendalam.

“Saya ingin cuba membina atau menjalankan kajian yang dapat menjelaskan kepada orang ramai mengenai AI dengan lebih mudah,” ujar anak bongsu dua beradik itu ketika ditemui Berita Harian (BH).

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How, selaku tetamu terhomat.

Berucap di acara tersebut, Encik Tan berkata:

“Bagi warga Singapura, kita semua perlu menerima dan mengamalkan cara berfikir serta sikap yang dapat memanfaatkan sepenuhnya gelombang teknologi AI yang baru.

“Walaupun penggunaan teknologi membawa potensi besar untuk pertumbuhan, terutama bagi ekonomi kecil dan terbuka seperti Singapura, kita mesti gigih berusaha untuk memastikan teknologi tidak semakin memecahbelahkan masyarakat kita,” kata Encik Tan.

Turut hadir ialah Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.

Biasiswa SG Digital yang disampaikan itu merupakan satu anugerah berprestij khusus bagi individu cemerlang yang mempunyai minat mendalam terhadap teknologi dan media dan memaparkan potensi serta mutu kepimpinan yang kukuh.

Biasiswa tersebut dianugerahkan oleh IMDA bagi memupuk bakat dalam bidang AI, keselamatan siber, teknologi atau media.

Encik Zaki berharap dapat memanfaatkan biasiswa yang dianugerahkan untuk memperkukuh kepakarannya dalam perangkaan dan AI, khususnya dalam bidang yang boleh membantu masyarakat seperti mengesan penipuan.

“Ia juga bidang yang sangat popular dalam kajian sekarang terutamanya yang melibatkan wadah mengelakkan penipuan,” katanya.

Menurut IMDA, Encik Zaki akan terikat bon selama tiga tahun dalam jawatan berkaitan teknologi atau media di syarikat pilihannya sesudah tamat pengajian sarjananya itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg