Topik diikuti
Pergi ke BHkuProjek rintis sedia terjemahan AI dalam empat bahasa rasmi
Projek rintis sedia terjemahan AI dalam empat bahasa rasmi
Projek rintis Polyglot langkah awal sediakan terjemahan di semua laman, khidmat digital pemerintah
Projek rintis sedia terjemahan AI dalam empat bahasa rasmi
Terjemahan sumber pemerintah dalam talian yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI) mula diperkenalkan pada 26 Jun sebagai sebahagian daripada projek rintis bagi memudahkan lebih ramai rakyat Singapura memperoleh maklumat.
Polyglot, widget di laman web Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), membolehkan pengguna melihat maklumat dalam empat bahasa rasmi Singapura, iaitu bahasa Inggeris, Cina, Melayu dan Tamil.
Ia dibangunkan oleh pasukan lima anggota daripada Produk Pemerintah Terbuka (OGP), bahagian di bawah Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech).
Projek rintis itu menjadi langkah awal ke arah menyediakan terjemahan di semua laman web dan perkhidmatan digital pemerintah pada masa hadapan, namun garis masanya belum ditetapkan.
Polyglot menggunakan enjin terjemahan yang dibangunkan bersama oleh MDDI dan GovTech.
Menurut Encik Harish Venkatesan, Pengurus Kejuruteraan OGP, Polyglot menggunakan model bahasa besar untuk memahami keseluruhan ayat dan petikan mengikut konteks, tidak seperti sistem lama yang menterjemah perkataan demi perkataan tanpa mengambil kira nuansa penggunaan bahasa setempat.
Katanya, pasukan itu turut memanfaatkan pangkalan data Government Terms Translated bagi memastikan istilah diterjemahkan mengikut penggunaan di Singapura, bukannya terjemahan umum.
Seorang lagi anggota pasukan itu, Encik Muhammad Shazli Shahril Shintaro, Pakar Operasi Produk Kanan, berkata alat terjemahan biasa sering menterjemahkan istilah seperti ‘Chinatown’ dan ‘government’ secara kurang tepat.
Sebagai contoh, di luar Singapura, ‘Chinatown’ lazimnya diterjemahkan sebagai ‘tang ren jie’, sedangkan di Singapura kawasan itu dikenali sebagai ‘niu che shui’ (kereta lembu mengangkat air), sempena kereta lembu yang dahulunya digunakan di Kreta Ayer untuk mengangkut air daripada telaga.
‘Government’ pula biasanya diterjemahkan sebagai ‘kerajaan’, sedangkan bagi Singapura sebagai sebuah republik, istilah yang lebih tepat ialah ‘pemerintah’.
Projek rintis itu akan berlangsung sehingga Oktober.
Pengunjung laman web MDDI boleh menggunakan versi beta (versi percubaan) melalui menu lungsur di penjuru kanan atas setiap halaman.
Bagi memastikan ketepatan, pasukan Polyglot menggalakkan orang ramai melaporkan kesilapan dan memberikan maklum balas.
Pegawai MDDI juga boleh menyunting terjemahan sendiri bagi memastikan semakan manusia kekal menjadi sebahagian daripada proses tersebut.
Encik Shazli berkata langkah seperti itu penting dalam penggunaan alat AI.
Beliau berkata setiap halaman terjemahan akan menyatakan bahawa AI telah digunakan, supaya pengguna memahami hasilnya mungkin tidak tepat sepenuhnya.
Pasukan itu mula membangunkan prototaip Polyglot semasa Hack for Public Good 2026 (Hackathon untuk Kepentingan Awam 2026), acara tahunan pada Januari yang menghimpunkan kira-kira 200 pegawai OGP bagi membangunkan penyelesaian bagi kepentingan awam.
Menurut Encik Shazli, matlamat jangka panjang ialah menjadikan terjemahan tepat sebagai ciri utama di semua laman web pemerintah.
Namun, pelaksanaan secara meluas bergantung pada hasil projek rintis itu dan maklum balas pengguna.
Sebelum ini, beberapa kesilapan terjemahan pernah berlaku dalam bahan sumber pemerintah, termasuk penggunaan aksara Cina yang salah pada Kempen Bertutur Bahasa Mandarin 2017 dan kesilapan dalam lirik lagu Tamil semasa Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2020.
Encik Shazli berharap terjemahan yang tepat akan menjadi kelaziman, bukan hanya disediakan apabila diminta, bagi mengukuhkan Singapura sebagai masyarakat berbilang kaum dan bahasa kepada semua, terutama generasi lebih berusia yang lebih selesa menggunakan bahasa ibunda.
