Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mangsa dalam talian boleh lapor suruhanjaya baru jika platform tidak bertindak dalam 24 jam

Nov 5, 2025 | 9:09 PM
Rahayu Mahzam, parlimen, Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian, OSC
Platform dalam talian kekal menjadi saluran utama bagi menghuraikan sebarang tuntutan terhadap bahan keterlaluan yang dilaporkan pengguna sebelum mereka melaporkan kepada Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian (OSC), sekiranya platform itu gagal bertindak terhadap tuntutan dalam tempoh 24 jam. - Foto ZAOBAO

Mangsa bahaya dalam talian boleh menghantar laporan kepada Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian (OSC) sekiranya platform dalam talian gagal bertindak terhadap tuntutan mangsa dalam tempoh 24 jam, kata Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.

Beliau berkata platform dalam talian, seperti Facebook atau Instagram, kekal menjadi saluran utama bagi menyelesaikan sebarang tuntutan terhadap kandungan keterlaluan yang telah dikemukakan oleh pengguna.

Berhujah di Parlimen semasa membentangkan butiran OSC yang baru di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (Bantuan dan Kebertanggungjawaban) atau Osra yang diluluskan pada 5 November, beliau berkata:

“Sebelum menghantar laporan kepada OSC, mangsa secara umumnya masih perlu melaporkan kandungan bahaya kepada platform dalam talian.

“Platform dalam talian mesti terus memainkan peranan aktif dan bertanggungjawab bagi keselamatan pengguna dalam talian mereka.”

Beliau berkata proses laporan ini dihasilkan untuk memberikan bantuan dalam masa tepat kepada mangsa.

Namun, tuntutan untuk melaporkan terlebih dahulu kepada platform dalam talian sebelum membuat laporan kepada OSC tidak diperlukan bagi bahaya yang memudaratkan – misalnya gambar intim atau bahan mengandungi penderaan kanak-kanak.

Sekiranya berlaku jenis bahaya dalam talian sebegini, Cik Rahayu berkata adalah wajar untuk menghantar laporan terus kepada OSC.

Beliau berkata Osra saling melengkapi undang-undang sedia ada bagi melindungi pengguna dalam talian, seperti Akta Perlindungan Daripada Gangguan (Poha) dan Akta Penyiaran.

Di samping itu, Cik Rahayu menjelaskan laporan dapat dikemukakan oleh si mangsa sendiri, ibu bapa mangsa atau wakil yang diberi kuasa oleh mangsa.

Ini lebih-lebih lagi bagi mangsa bahaya dalam talian yang berusia bawah 18 tahun, sepertimana kes gambar lucah palsu pelajar Sekolah Sukan Singapura yang diedarkan dalam kalangan pelajar atlet, tambahnya.

Bagi kes sebegini, kata Cik Rahayu, kededua pelajar yang menjadi mangsa atau ibu bapa mangsa dapat menghantar laporan terus kepada OSC.

“Dalam semangat mekanisme pelaporan, OSC hanya akan menilai laporan yang dikemukakan. OSC tidak akan memantau dan mengenal pasti kes-kes bahaya dalam talian secara aktif,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau turut berkata Pesuruhjaya OSC akan diberi kuasa untuk mengeluarkan arahan bagi mengekang bahaya dalam talian yang sedang berlaku.

Ini termasuk mengeluarkan arahan sesuai kepada pihak komunikator, pentadbir dan wadah dalam talian untuk memadam kandungan bahaya atau mengehadkan akses kepada kandungan sedemikian, tambahnya.

“Pesuruhjaya akan diberi kuasa untuk mengeluarkan arahan bagi menghentikan (kandungan) bahaya dalam talian daripada terus berlarutan.

“Ini selain mencegah kandungan dalam talian bersifat bahaya daripada menjejas mangsa, jika terdapat sebab untuk mengesyaki kandungan itu ditujukan terhadap mangsa atau sekumpulan mangsa.”

OSC turut diberi kuasa mengeluarkan “arahan yang dipertingkatkan” kepada perkhidmatan dalam talian tertentu seperti WhatsApp atau Telegram, kata Cik Rahayu.

Arahan yang dipertingkatkan ini, katanya, mengenakan keperluan tambahan ke atas perkhidmatan dalam talian sedemikian dan memerlukan penerima yang menggunakan perkhidmatan tersebut untuk bertindak terhadap bahan bahaya dalam talian serupa.

Ini di samping mengambil langkah selanjutnya bagi mencegah kandungan dalam talian bersifat bahaya daripada berlaku pada masa hadapan, atau mengurangkan penglibatan pengguna perkhidmatan dalam talian terbabit dengan bahan tertentu.

Cik Rahayu berkata dalam keputusan untuk mengeluarkan arahan, OSC boleh mengambil kira pelbagai faktor untuk mengeluarkan jenis arahan yang bersesuaian dengan kes.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg