Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mangsa trauma otak terima tiket saat terakhir konsert Coldplay, dapat ucapan khas penyanyi Chris Martin

Feb 1, 2024 | 6:53 PM
Cik Nuruljannah Mohammad Razib seorang mangsa kecederaan di otak kelihatan menonton konsert Coldplay di OCBC Arena dilengkap peralatan mesra orang kurang upaya.
Cik Nuruljannah Mohammad Razib seorang mangsa kecederaan di otak kelihatan menonton konsert Coldplay di OCBC Arena dilengkap peralatan mesra orang kurang upaya. - Foto TikTok/razibsg2023

Harapan satu keluarga untuk membawa anak istimewa mereka menonton persembahan Coldplay di sini, terkabul pada saat-saat terakhir sebelum konsert penghabisan kumpulan itu pada 31 Januari.

Ini selepas keluarga itu menerima empat tiket percuma dari sebuah syarikat tidak meraih untung dan penganjur konsert itu, yang mendapat tahu tentang anak kurang upaya mereka Cik Nuruljannah Mohammad Razib, menerusi satu video tular yang menunjukkan beliau hanya dapat menonton konsert tersebut di televisyen rumah terdahulu.

Cik Nuruljannah, 27 tahun, merupakan seorang mangsa kecederaan trauma di otak selepas satu kemalangan jalan raya pada 2019 yang membuatnya cedera parah hingga tidak boleh berjalan, bertutur dan semua pergerakan perlu dibantu ahli keluarga serta kerusi roda.

Cik Nuruljannah Mohammad Razib kelihatan menonton rakaman konsert Coldplay di YouTube menerusi televisyen di rumahnya.
Cik Nuruljannah Mohammad Razib kelihatan menonton rakaman konsert Coldplay di YouTube menerusi televisyen di rumahnya. - Foto Tiktok/razibsg2023

Apa yang membuat peristiwa ini sangat menyentuh hati ialah Cik Nuruljannah, turut menerima ucapan penghormatan daripada penyanyi kumpulan dari England itu, Chris Martin, apabila beliau menyanyikan lagu berjudul Fix You di malam keenam konsert tersebut di OCBC Arena.

Bercakap kepada Berita Harian, ayah Cik Nuruljannah, Encik Mohammad Razib Samsudin, 55 tahun, berkata lagu itu antara lagu kegemaran anaknya.

View post on TikTok

“Keajaiban seolah berlaku pada 4.20 petang pada hari terakhir konsert mereka itu!” kata Encik Razib yang menerima empat tiket tersebut menerusi emel sekitar empat jam sebelum konsert penghabisan itu berlangsung pada 8 malam.

Tiket itu menampung Cik Nuruljannah bersama ibu bapanya serta seorang jururawat yang ditugaskan untuk menjaganya lantas membolehkan mereka menyertai puluhan ribu penonton di tempat yang boleh menampung 55,000 orang itu.

Menurut, Encik Razib, tiket tersebut dijayakan syarikat tidak meraih untung, KultureCity, yang menawarkan peralatan mesra individu sensitif terhadap ciri pementasan seperti lampu terang berkedip dan bunyi kuat, dan penganjur konsert berkenaan, Live Nation Singapore.

KultureCity juga merupakan salah satu rakan kerjasama konsert lawatan sedunia Coldplay, Music of the Spheres, bagi memastikan konsert bersifat mesra orang kurang upaya.

“Sebelum kami menerima tiket itu menerusi emel, kami sangat terkejut,” katanya.

Ini juga kerana Encik Razib menyifatkan anaknya sebagai seorang yang gemar bermain muzik, dan Coldplay merupakan salah satu kumpulan kegemarannya.

Encik Razib berkata pada sekitar 2.30 perang 31 Januari, beliau dihubungi seorang wakil daripada KultureCity yang meluahkan niat untuk mendapatkan tiket bagi Cik Nuruljannah.

Wakil itu bertanya apakah Cik Nuruljannah boleh keluar dari rumah.

“Jika boleh, beliau akan memberitahu pihak pengurusan konsert untuk memudahkan urusan bagi kami menghadiri konsert tersebut,” katanya.

“Saya kata boleh, tetapi dalam satu syarat. Ibu bapa dan jururawat anak saya perlu terus berada di sisinya sepanjang konsert itu.”

Encik Razib kemudian diminta memberitahu alamat emelnya kepada wakil itu dan pada 4.20 petang, menerima tiket tersebut di alamat emelnya. Emel itu juga telah dilihat BH.

Bahkan, pihak KultureCity dan Live Nation Singapore juga mengaturkan kaedah pengangkutan mesra pengguna kerusi roda bagi keluarga itu pergi dan pulang ke konsert tersebut, kata Encik Razib.

“Mereka yang tanggung semuanya,” tambah beliau.

View post on TikTok

Apabila mereka tiba di tempat acara di Kallang sekitar 7.15 malam, wakil daripada KultureCity dan Live Nation Singapura menyambut mereka di kawasan perhentian teksi.

Di situ, wakil tersebut memberi keluarga itu satu set ‘Sensory Bag’ atau beg deria yang mengandungi alat pelindung telinga, cermin mata hitam – bagi lindungi penglihatan daripada lampu terang dan berkedip – papan makluman serta jadual waktu bagi penggunaan alat tersebut dalam tempoh tertentu semasa konsert itu.

BH telah menghubungi KultureCity dan Live Nation Singapore untuk mendapatkan komen.

Cik Nuruljannah merupakan seorang mangsa kecederaan trauma di otak selepas terlibat dalam satu kemalangan motosikal yang diboncengnya pada 2019.

Terdahulu video Cik Nuruljannah menonton video konsert Coldplay di rumah pada 28 Januari di media sosial, menarik perhatian ramai di media sosial, termasuk beberapa badan kebajikan.

Encik Razib memuat naik video tersebut kerana adik-beradik Cik Nuruljannah, telah pergi ke konsert itu pada 27 Januari, dan Encik Razib tidak mahu anak keduanya itu berasa ketinggalan.

Susulan itu, ramai pengguna di ruang komen berkata mereka mahu menawarkan tiket mereka kepada keluarga tersebut, namun ditolak Encik Razib waktu itu kerana anaknya sensitif terhadap bunyi kuat dan lampu yang terang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg