Filipina dan Singapura akan menyambung rancangan menubuhkan sebuah program pembiakan bersama demi memastikan penakatan spesies helang Filipina yang amat terancam.
Dua negara itu kini sedang mengadakan perbincangan untuk membawa seekor burung helang jantan ke Singapura “untuk mewujudkan pasangan pembiakan” dengan seekor helang betina yang sudah berada di bawah jagaan Mandai Wildlife Group, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam pada 15 Ogos semasa lawatan negaranya ke Filipina
Tuan Presiden berada di Filipina dari 15 hingga 17 Ogos atas undangan Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr.
Helang betina bernama Sambisig itu adalah salah satu daripada dua helang yang diserahkan Filipina kepada Mandai Wildlife pada 2019 di bawah satu perjanjian pinjaman hidupan liar.
Percubaan untuk membiak helang menggunakan pasangan helang itu tidak berjaya kerana haiwan itu tidak sepadan.
Helang jantan yang dinamakan Geothermica, atau “Geo”, itu mati pada 7 September 2023 akibat jangkitan saluran pernafasan teruk.
“Ia adalah kes cinta tidak berbalas,” kata Tuan Presiden secara berseloroh semasa jamuan negara yang dianjurkan oleh Presiden Marcos pada 15 Ogos.
Tuan Presiden berkata beliau berharap Singapura akan menjadi rumah bagi satu lagi helang Filipina sedang Singapura dan Manila menyambut ulang tahun ke-55 hubungan diplomatik antara dua negara itu pada 2024.
“Perbincangan diteruskan mengenai usaha memperoleh burung helang Filipina jantan dan meneroka kesesuaian mewujudkan pasangan pembiakan kedua,” kata Dr Cheng Wen-Haur, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mandai Wildlife Group.
Helang Filipina disenaraikan sebagai terancam secara kritikal oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi.
Spesies itu pernah berkeliaran dalam jumlah yang agak besar di seluruh Filipina, tetapi perbuatan pembasmian hutan selama berdekad dan kawasan bandar yang menceroboh telah hampir memusnahkan wilayahnya dan populasi burung itu berkurangan dengan cepat.
Hanya kira-kira 800 ekor masih ada dalam hidupan liar hari ini, dengan 32 ekor disimpan di pusat pembiakan.
Pegawai di Manila memberitahu The Straits Times Filipina sebenarnya bersedia menghantar lebih daripada seekor helang ke Singapura untuk meningkatkan peluang program pembiakan yang berjaya.
“Ia adalah langkah yang tidak mungkin gagal, satu polisi insurans. Bak pepatah kami tidak mahu meletakkan semua telur dalam satu bakul,” kata Dr Jayson Ibanez, pengarah penyelidikan dan pemuliharaan di Yayasan Helang Filipina (PEF).
Beliau berkata “strategi insurans adalah untuk menyebarkan stok pembiakan anda ke institusi berbeza”.
“Pendekatan ini menyokong kepelbagaian genetik jangka panjang dan kemampanan spesies di bawah penjagaan terurus,” kata Dr Cheng daripada Mandai Wildlife.
“Meletak spesies di luar negara asal mereka berfungsi sebagai langkah pemuliharaan penting, menangani risiko berkaitan populasi liar yang kecil dan bertindak sebagai koloni jaminan terhadap kejadian bencana yang boleh memusnahkan seluruh populasi,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg