Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, Filipina rai 55 tahun hubungan diplomatik

Presiden Shanmugaratnam, Presiden Marcos tegaskan semula persahabatan erat, berpanjangan dua negara dalam temuan di Manila
Aug 15, 2024 | 8:34 PM
Presiden Tharman Shanmugaratnam (kiri) diberi sambutan istiadat di Istana Malacanang dan disambut oleh Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr., serta isteri beliau, Cik Louise Araneta-Marcos, pada 15 Ogos.
Presiden Tharman Shanmugaratnam (kiri) diberi sambutan istiadat di Istana Malacanang dan disambut oleh Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr., serta isteri beliau, Cik Louise Araneta-Marcos, pada 15 Ogos. - Foto ST

Singapura dan Filipina menegaskan semula hubungan persahabatan erat dan berpanjangan antara dua negara ini semasa pertemuan Presiden Tharman Shanmugaratnam dengan Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr., pada 15 Ogos.

Demikian menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan.

Sempena memperingati ulang tahun ke-55 hubungan diplomatik antara dua negara itu, Tuan Presiden dan Encik Marcos mengadakan perbincangan bermanfaat berkaitan hubungan dua hala yang memandang ke hadapan dan saling menguntungkan.

“Kededua Presiden mengalu-alukan kemajuan dalam kerjasama bidang baru, termasuk kredit karbon dan mendalami hubungan kukuh antara rakyat.

“Mereka juga bertukar-tukar pandangan mengenai pembangunan serantau dan sejagat, dan menegaskan semula pentingnya perpaduan ekonomi serantau dan mengukuhkan kerjasama dalam Asean,” kata MFA.

Tuan Presiden berada di Filipina dari 15 hingga 17 Ogos atas undangan Encik Marcos.

Pada 15 Ogos, Tuan Presiden diberi sambutan istiadat negara di Istana Malacanang dan bertemu Encik Marcos.

Mereka turut menyaksikan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MOU) dalam bidang kerjasama kredit karbon dan pekerja penjagaan kesihatan, serta mengadakan satu sidang media bersama.

Pada malam 15 Ogos, Encik Marcos dan isteri beliau, Cik Louise Araneta-Marcos, menganjurkan jamuan negara sebagai penghormatan kepada Tuan Presiden dan Puan Jane Ittogi.

Tuan Presiden akan mengambil bahagian dalam satu mesyuarat tertutup yang dianjurkan oleh Persatuan Asia Filipina dan Kelab Perniagaan Makati untuk membincangkan perkembangan global dan cabaran ekonomi yang dihadapi rantau ini pada 16 Ogos.

Beliau juga akan menerima taklimat daripada Setiausaha Alam Sekitar dan Sumber Asli, Cik Maria Antonia Yulo-Loyzaga, mengenai rancangan Filipina bagi kemampanan air dan aset semula jadi lain, serta bidang kerjasama dua hala yang boleh dilakukan, tambah MFA.

Pada malam 16 Ogos, Tuan Presiden akan menghadiri sebuah acara Yayasan Temasek mengenai program kesihatan ibu dan anak di Filipina, pameran ulang tahun ke-75 Palang Merah Singapura, dan sambutan Hari Kebangsaan bersama warga Singapura yang berpangkalan di Filipina.

Pada 17 Ogos, Tuan Presiden akan melawat Pusat Asean bagi Biodiversiti (ACB) dan Institut Penyelidikan Beras Antarabangsa (IRRI) untuk taklimat mengenai usaha mereka dalam mempromosikan pertanian mampan dan pemuliharaan biodiversiti dan cara dua negara itu boleh bekerjasama dalam bidang itu.

Tuan Presiden akan pulang ke Singapura pada hari yang sama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg