Presiden Tharman Shanmugaratnam akan berada di Filipina dari 15 hingga 17 Ogos atas undangan Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr.
Lawatannya itu adalah sebagai memperingati ulang tahun ke-55 hubungan diplomatik antara Filipina dengan Singapura, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan pada 14 Ogos.
Tuan Presiden akan bertemu Encik Marcos di Istana Malacanang. Jamuan Negara akan diadakan sebagai tanda penghormatan kepada beliau.
Beliau juga akan diberi taklimat oleh pegawai Filipina mengenai rancangan negara itu terhadap penggunaan air dan aset semula jadi lain yang ada di negara itu, serta membincangkan ruang yang boleh mengukuhkan lagi jalinan kerjasama dua hala.
Kedua-dua presiden itu juga akan menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara Singapura dengan Filipina mengenai pekerja penjagaan kesihatan dan kredit karbon.
Semasa lawatannya, Tuan Presiden akan melawat Pusat Asean untuk Biodiversiti dan Institut Penyelidikan Beras Antarabangsa di Laguna, wilayah tenggara Manila.
Beliau akan diberi taklimat mengenai usaha mempromosikan pertanian mampan dan pemuliharaan biodiversiti.
Di Manila, beliau akan bertemu pemimpin perniagaan bagi membincangkan cabaran ekonomi yang dihadapi rantau ini, menghadiri pameran sempena ulang tahun ke-75 Palang Merah Singapura, dan berinteraksi dengan masyarakat Singapura dalam satu majlis sambutan Hari Kebangsaan.
Tuan Presiden akan ditemani isterinya, Puan Jane Ittogi, tambah kenyataan MFA.
Mereka akan disertai Menteri Kemampanan dan Sekitaran yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu; Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung; serta Encik Henry Kwek (SMC Kebun Baru) dan Cik Mariam Jaafar (GRC Sembawang).
Pegawai dari Pejabat Presiden, MFA, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Kementerian Kesihatan (MOH), dan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) juga akan menyertai lawatan tersebut.
MFA menambah selepas lawatan ke Filipina, Tuan Presiden akan menuju ke Geneva, Switzerland dan Paris, Perancis.
Semasa berada di Switzerland dari 20 hingga 22 Ogos pula, beliau akan menghadiri mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Forum Ekonomi Dunia dan Majlis Perniagaan Antarabangsa.
Tuan Presiden juga akan bertemu dengan pemimpin perniagaan dan dermawan dari pelbagai negara, serta warga Singapura di luar negara yang berpangkalan di Switzerland dalam majlis sambutan Hari Kebangsaan.
Semasa di Paris pada 23 Ogos, beliau akan bertemu dan memberi sokongan kepada atlet Singapura yang menyertai Sukan Paralimpik yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 4 September.
Semasa ketiadaan Tuan Presiden, pengerusi Majlis Penasihat Presiden, Encik Eddie Teo, akan menjalankan tugas Pejabat Presiden.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg