Parti Pembaharuan (RP) akan menarik diri daripada Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR), meninggalkan gabungan pembangkang itu dengan hanya dua daripada empat anggota asalnya.
Parti Kuasa Rakyat (PPP) juga melakukan perkara yang sama pada Februari sebelum Pilihan Raya Umum (GE2025) pada 3 Mei, manakala Parti Suara Rakyat (PV) dan Parti Demokratik Progresif (DPP) masih kekal, lapor The Straits Times (ST).
Setiausaha agung RP, Encik Kenneth Jeyaretnam, mengumumkan peletakan jawatan parti itu yang akan berkuat kuasa akhir Julai, menerusi sebuah hantaran di Facebook pada 7 Julai.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Encik Lim Tean atas kepimpinannya dan mendoakan yang terbaik untuk beliau serta parti-parti lain yang masih kekal dalam PAR,” katanya merujuk kepada Encik Lim Tean, setiausaha agung PV dan PAR.
Encik Jeyaretnam pernah menjadi pengerusi gabungan itu.
Encik Lim Tean memberitahu ST bahawa gabungan itu akan mengekalkan nama sedia ada dan akan terus bertanding pada pilihan raya akan datang “dengan lebih besar dan lebih kuat.”
Beliau menambah ramai anggota dan sukarelawan baru telah menyertai sejak pilihan raya lalu, dan prinsip serta mesej parti mendapat sambutan ramai.
Parti itu berhasrat untuk “meningkatkan bilangan ahli dengan ketara” dalam beberapa tahun akan datang.
“Kami mendoakan kejayaan kepada RP dalam usaha mereka dan berterima kasih kerana pernah menjadi sebahagian daripada gabungan ini,” kata Encik Lim.
Gabungan ini diumumkan pada Jun 2023 dengan harapan mencapai “kesatuan pembangkang” dan mengurangkan pertandingan tiga penjuru.
Namun, pada Februari 2025, PPP pimpinan Encik Goh Meng Seng menarik diri kerana “perbezaan strategi.”
Encik Lim berkata gabungan tidak bersetuju dengan PPP yang mahu bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Tampines dalam pertandingan empat penjuru dan pendirian parti itu terhadap vaksin Covid-19.
PAR kemudian bertanding 13 calon di enam kawasan pilihan raya: GRC Jalan Besar dan Tanjong Pagar serta Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Potong Pasir, Queenstown, Radin Mas dan Yio Chu Kang.
SMC Potong Pasir dan Radin Mas menyaksikan pertandingan tiga penjuru di mana calon PAR kehilangan deposit.
Gabungan itu menerima 19.1 peratus undi di enam kawasan tersebut.
Beliau berkata parti sedang “membangun secara senyap” dan belajar daripada GE2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg