Mantan dekan fakulti undang-undang di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Thio Su Mien, meninggal dunia pada pagi 30 Jun.
Dr Thio, 86 tahun, meninggal dunia akibat leukemia mieloid yang didiagnosis pada Mei, lapor The Straits Times (ST).
Beliau ialah dekan wanita pertama fakulti undang-undang di NUS, memegang jawatan tersebut dari 1969 hingga 1971.
Pada usia 30 tahun, beliau merupakan individu termuda yang memegang jawatan tersebut.
Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong, menghormati Dr Thio sebagai pelopor yang menetapkan standard tertinggi untuk kecemerlangan, kewibawaan dan dedikasi dalam kerjaya undang-undang.
Menurut Encik Tong dalam hantaran Facebook pada 30 Jun, Dr Thio memberi kesan besar pada landskap undang-undang Singapura, baik daripada segi akademik mahupun pengamal.
Beliau menambah: “Dr Thio memimpin dengan contoh, meninggalkan legasi cemerlang dan membuktikan bahawa wanita dan lelaki boleh cemerlang dan menyumbang secara setara dalam bidang undang-undang dan masyarakat.”
Anak Dr Thio, Peguam Kanan Thio Shen Yi, 58 tahun, dari TSMP Law Corporation, berkata ibunya ialah seorang tokoh undang-undang yang dihormati ramai.
“Yang lebih penting bagi saya, ibu mengajar saya untuk menghargai keadilan dan kesaksamaan, serta untuk bersuara bagi apa yang saya percaya sebagai kebenaran,” kata beliau yang juga mantan Presiden Persatuan Undang-Undang Singapura (2015-2016).
Mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Cik Thio Li-ann, anak perempuan sulung Dr Thio, berkata ibunya seorang wanita yang penuh keberanian, berwibawa dan adil serta mencintai keluarga dan negara.
Selepas tamat pengajiannya, Dr Thio berjaya sebagai peguam korporat dan rakan pengurusan di Drew & Napier, serta mengasas TSMP Law Corporation pada 1998.
Beliau juga pakar undang-undang perlembagaan, menjawat peranan hakim di Tribunal Pentadbiran Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia (ADB).
Dr Thio mempunyai tiga anak, termasuk anak bongsunya, Cik Thio Chi-ann, 52 tahun, yang tinggal di Britain.
“
“Dr Thio memimpin dengan contoh, meninggalkan legasi cemerlang dan membuktikan bahawa wanita dan lelaki boleh cemerlang dan menyumbang secara setara dalam bidang undang-undang dan masyarakat.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg