Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pegawai Certis yang meninggal dunia seorang yang ceria, mudah didekati

Jun 22, 2025 | 6:34 PM
Allahyarham Muhammad Adzri Abd Adziz merupakan antara kontinjen OneChangi bagi segmen perbarisan dan upacara Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025.
Allahyarham Muhammad Adzri Abd Adziz merupakan antara kontinjen OneChangi bagi segmen perbarisan dan upacara Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025. - Foto ZAOBAO

Pada pagi hari latihan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025 pada 21 Jun, Allahyarham Muhammad Adzri Abdul Adziz, dikatakan ceria dan bersemangat.

Namun pegawai polis auksiliari Certis itu, yang juga antara kontinjen OneChangi bagi segmen perbarisan dan upacara NDP 2025, meninggal dunia selepas rebah semasa latihan NDP hari itu.

Pengalaman itu dikongsi oleh rakan kerjanya yang juga terlibat dalam kontinjen yang sama, Encik Faizal Sain, apabila dihubungi Berita Harian (BH).

“Pagi itu, beliau seperti biasa, berseloka dengan teman-teman, tetapi semangatnya lain.

“Beliau minta kita siap sedia secepat mungkin dan suaranya lantang semasa berkawad,” katanya.

Beliau berkata tugas Allahyarham ketika perbarisan ialah untuk menjaga masa kontinjennya dan beliau tidak menunjukkan sebarang kesan sakit pada pagi itu.

Encik Faizal, yang berada di barisan kedua di belakang Allahyarham semasa latihan, berkata mereka sedang berarak keluar dari dataran perbarisan menuju ke titik tamat (di belakang tempat duduk penonton).

“Setibanya di garisan akhir, beliau rebah. Saya dan tiga lagi rakan membantu mengangkat beliau sementara menunggu ketibaan petugas perubatan,” ujarnya.

Allahyarham Adzri, 47 tahun, selamat dikebumikan pada 22 Jun.

Beliau dibawa pulang ke kediaman ibu bapanya di Tampines dari Hospital Besar Singapura (SGH) sekitar 12 tengah hari.

Jenazah kemudian disolatkan di Masjid Darul Ghufran, yang dihadiri ramai jemaah sekitar 3 petang.

Dalam satu kenyataan pada 21 Jun, Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Changi Airport Group (CAG) berkata Allahyarham rebah sekitar 11.23 pagi ketika latihan NDP di Padang.

Beliau segera dibawa ke tempat perubatan di lokasi sebelum dikejarkan ke SGH.

Sebelum ini, Allahyarham pernah melibatkan diri di NDP 2023, juga sebagai kontinjen OneChangi bagi segmen perbarisan.

Semasa ditemui BH, bapanya, Encik Abdul Adziz Husein, 76 tahun berkata anak sulung dua beradik itu seorang anak yang sangat baik, peramah, dan tidak pernah menyusahkan sesiapa.

“Beliau ialah anak yang menghormati ibu ayah.

“Saya ingatkan saya meninggal dahulu agar beliau dapat menjaga ibunya selepas itu, tetapi Allah lebih sayangkannya… kita reda,” katanya yang menginap bersama isterinya, Cik Tominah Abdullah, 75 tahun.

Cik Tominah menambah walaupun Allahyarham sudah berumah tangga dan mempunyai pekerjaan tetap, beliau sering memandunya ke hospital, yang memerlukan pemeriksaan susulan bagi masalah lututnya dan beberapa masalah kesihatan yang lain.

Dalam kenyataan Mindef kepada BH pada 22 Jun, ia berkata keselamatan dan kesejahteraan peserta sentiasa menjadi keutamaannya.

Ia menambah Jawatankuasa Eksekutif NDP 2025 telah menetapkan protokol kesihatan, termasuk pengisytiharan kesihatan wajib sebelum seseorang menyertai latihan.

Peserta juga digalakkan mendapatkan nasihat perubatan jika ragu-ragu tentang tahap kesihatan mereka.

Selain itu, sebelum latihan, jurulatih dan pegawai penghubung akan memeriksa keadaan peserta dan menasihatkan mereka supaya tidak meneruskan latihan jika berasa tidak sihat.

“Walaupun protokol ini telah ditetapkan, kecemasan perubatan masih boleh berlaku.

“Bagi menangani situasi sedemikian, sistem sokongan perubatan yang kukuh telah disediakan, termasuk kehadiran doktor di lokasi, prosedur pemindahan kecemasan serta ambulans untuk menyokong para peserta semasa sesi latihan, raptai dan persembahan NDP,” kata kenyataan itu.

Mindef berkata taklimat keselamatan dan perubatan telah diberikan kepada semua peserta segmen perbarisan dan upacara sejurus selepas insiden tersebut berlaku.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo; dan Komander Perbarisan bagi NDP 2025, Leftenan Kolonel (LTC) Mohamed Firdaus Ghazali turut melawat jenazah Allahyarham Adzri di Tampines.

Kedua-dua Encik Masagos dan Encik Neo merupakan Anggota Parlimen (AP) di Tampines.

Dalam satu hantaran di Facebook pada 22 Jun, Encik Masagos, menulis:

“Saya sempat memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Muhammad Adzri Bin Abdul Adziz di Tampines. Beliau meninggal ketika menjalani latihan NDP semalam.

“Moga Allah swt merahmati rohnya dan memberkati keluarganya atas kesabaran menghadapi kesedihan pemergiannya.”

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, turut melahirkan penghormatannya kepada Allahyarham menerusi Facebooknya pada hari yang sama.

“Di sebalik setiap perbarisan, terdapat individu yang menyumbang dengan senyap dan sepenuh hati, didorong oleh rasa tanggungjawab dan kasih yang mendalam terhadap negara,” tulisnya sambil mendoakan Allahyarham dan keluarga.

Sebelum itu, Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang juga merupakan salah seorang komander kontinjen NDP tahun ini, menulis dalam satu hantaran Facebook pada malam 21 Jun:

“Saya bersyukur kepada jawatankuasa NDP, penganjur, anggota tindak balas awal dan kaunselor yang bertindak dengan penuh keprihatinan, belas kasihan dan ketabahan dalam saat duka yang mendalam bagi kita semua; di sebalik kemeriahan perbarisan dan bunga api sambutan malam ini.”

Allahyarham Adzri meninggalkan seorang isteri, ibu bapa dan seorang adik lelaki.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg