Universiti Nasional Singapura (NUS) mengekalkan kedudukannya dalam 10 tangga teratas senarai kedudukan institusi sejagat, dengan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) begitu dekat mengekorinya di belakang.
NUS mengekalkan kedudukan kelapan dalam Senarai Kedudukan Universiti Sedunia Quacquarelli Symonds (QS) 2026, yang berpangkalan di Britain, manakala NTU meningkat tiga tangga untuk mencapai kedudukan ke-12, selepas melonjak 11 tangga pada tahun sebelumnya (2024).
Senarai bagi edisi ke-22 itu dikeluarkan pada 19 Jun, dan meliputi 1,500 universiti dari 106 negara dan wilayah.
NUS menonjol sebagai universiti Asia dengan kedudukan tertinggi, bahkan yang pertama di Asia menembusi senarai 10 tangga teratas dunia.
Kedudukan cemerlang, bagaimanapun, dikuasai oleh universiti dari Amerika Syarikat dan Britain, dengan Institut Teknologi Massachusetts (MIT) menduduki tangga pertama bagi kali ke-14 berturut-turut, diikuti Maktab Imperial London yang kekal di tangga kedua.
Universiti Stanford naik tiga tangga ke tempat ketiga, manakala Universiti Oxford dan Universiti Harvard, masing-masing turun satu tangga ke tempat keempat dan kelima, lapor The Straits Times (ST).
Kedudukan itu berdasarkan sembilan penunjuk, iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah pensyarah kepada pelajar, tukilan kata setiap fakulti, nisbah fakulti antarabangsa, nisbah pelajar antarabangsa, rangkaian penyelidikan antarabangsa, hasil pekerjaan dan kemampanan.
Tiga penunjuk yang paling dititikberatkan dalam kedudukan QS ialah reputasi akademik, tukilan setiap fakulti, dan reputasi majikan, dengan peratusan masing-masing yang menjadi penilaian mencecah 30 peratus, 20 peratus dan 15 peratus.
Reputasi akademik merujuk kepada takrifan kecemerlangan universiti oleh pakar akademik, manakala penunjuk reputasi majikan mengukur penghargaan majikan terhadap universiti tersebut.
NUS menduduki tempat ke-14 sedunia bagi reputasi akademik, ke-32 bagi reputasi majikan, dan ke-64 bagi tukilan setiap fakulti.
Ia meningkat satu tangga bagi reputasi akademik dan 16 tangga bagi reputasi majikan, tetapi turun tiga tempat bagi tukilan fakulti, berbanding kedudukan QS sebelum ini.
Presiden NUS, Encik Tan Eng Chye, berkata kedudukan universiti itu mengesahkan komitmen teguhnya terhadap kecemerlangan, serta mencerminkan kekuatan pendekatan berwawasan ke arah pendidikan, penyelidikan dan inovasi.
“Kami amat berbesar hati kerana tersenarai antara yang terbaik di Asia dari segi reputasi akademik, serta telah mencapai kemajuan ketara dalam reputasi majikan dan kerjasama penyelidikan antarabangsa,” katanya.
NTU meningkat tiga tangga ke tempat ke-12, selepas kembali ke dalam senarai 20 institusi teratas dalam edisi kedudukan sebelum ini.
Peningkatan itu banyak didorong oleh skor yang lebih baik dalam reputasi majikan. Ia naik dari tempat ke-92 ke tempat ke-67, serta nisbah pelajar antarabangsa.
“Pencapaian kukuh NTU dalam kedudukan QS tahun ini (2025) mencerminkan usaha berterusan untuk membentuk semula diri di tengah dunia yang berubah dengan pantas,” kata Presiden NTU, Encik Ho Teck Hua.
Beliau memberi contoh inisiatif terkini seperti pelancaran Maktab Pengkomputeran dan Sains Data dan Maktab Kepujian, yang mempersiapkan pelajar untuk lebih memanfaatkan teknologi secara lebih baik.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg