Topik diikuti
Pergi ke BHkuMantan DPM Heng Swee Keat dilantik Canselor pertama SIT
Mantan DPM Heng Swee Keat dilantik Canselor pertama SIT
Mantan DPM Heng Swee Keat dilantik Canselor pertama SIT
Institut Teknologi Singapura (SIT) telah melantik mantan Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Heng Swee Keat, sebagai canselor pertamanya bermula 1 Jun.
Beliau akan memegang jawatan tersebut sehingga 31 Mei 2031.
Sebagai canselor, Encik Heng, yang juga mantan Menteri Pendidikan, memegang peranan istiadat tertinggi dan bertindak sebagai duta SIT.
Beliau akan mempengerusikan upacara penting universiti seperti konvokesyen, di samping mewakili institusi dalam pelbagai acara luar.
Mengulas mengenai pelantikan Encik Heng, SIT dalam satu kenyataan berkata:
“Memanfaatkan pengalaman kepimpinan serta rangkaian profesional beliau yang luas, Encik Heng akan menyokong universiti dalam memperkukuh kerjasama dan memacu keutamaan strategik, termasuk penglibatan industri dan kedermawanan.”
SIT menambah bahawa pengenalan jawatan ini mencerminkan evolusi berterusan universiti dalam melahirkan graduan yang sedia menempuh alam pekerjaan, serta memacu inovasi melalui pembelajaran gunaan, kerjasama industri, dan penyelidikan, menurut kenyataan rasmi universiti pada 3 Jun.
Encik Heng dalam satu kenyataan berkata:
“Saya berkongsi kepercayaan yang sama dengan SIT bahawa penyelidikan gunaan dan kerjasama industri mendalam bukan sekadar pelengkap kepada pendidikan – malah merupakan teras utamanya.”
Encik Heng meluahkan rasa teruja untuk menggembleng tenaga bersama seluruh warga universiti tersebut.
Menitip ucapan tahniah di Instagram pada 3 Jun, Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, menyambut baik pelantikan itu.
“Berbekalkan kepimpinan luas dalam khidmat awam, saya yakin kebijaksanaan beliau akan membimbing SIT untuk terus mekar sebagai tunjang utama landskap pendidikan tinggi kita,” tulis beliau.
Selain peranan ini, Encik Heng kekal menerajui Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF) serta memegang jawatan pengarah di GIC.
Beliau merupakan mantan Timbalan Perdana Menteri Singapura yang berkhidmat dari 2019 hingga 2024.
Sepanjang kerjayanya, beliau juga pernah menggalas amanah sebagai Menteri Pendidikan dan Menteri Kewangan.
