Kementerian Pendidikan (MOE) melancarkan dana baru pada 2026 untuk memacu penyelidikan jangka pendek dalam teknologi pendidikan, termasuk kecerdasan buatan (AI).

Dana Penyelidikan Pantas itu dikhususkan bagi membiayai kajian yang memberi tumpuan pada isu tertentu yang dikenal pasti MOE, dengan tempoh pelaksanaannya biasanya kira-kira enam hingga sembilan bulan.

Soalan bagi penyelidikan itu diusul oleh bahagian-bahagian di bawah MOE, dengan setiap satu diselia oleh seorang pakar kementerian, berdasarkan laman web MOE.

Enam dapatan kajian pertama, yang diselesaikan pada separuh pertama 2026, dijadual diterbitkan selepas Julai.

Antaranya termasuk kajian kes mengenai penggunaan data pembelajaran oleh guru, serta tinjauan tentang cara guru dan pelajar memanfaatkan alat AI dalam pengajaran dan pembelajaran.

Topik lain menyentuh kesan gabungan gamifikasi, iaitu ciri reka bentuk permainan, dengan kandungan pengajaran terhadap motivasi dan pencapaian pelajar.

Guru dan penyelidik digalak melaksanakan semula kajian itu, menyesuaikannya mengikut konteks dan keperluan pelajar masing-masing.

Menteri Pendidikan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial, Encik Desmond Lee, pada 2 Jun berkata dana tersebut bertujuan menyokong penyelidikan yang mampu bertindak balas dengan cepat dalam persekitaran yang bergerak pantas seperti dunia yang semakin menerapkan penggunaan AI.

Daya usaha itu melengkapi sokongan sedia ada untuk kajian jangka panjang.

“Kita sedang beroperasi dalam persekitaran yang semakin sukar diramal, dibentuk oleh peralihan geopolitik, cabaran iklim dan perubahan teknologi yang pantas,” kata Encik Lee.

Beliau berkata penyelidikan bermutu tinggi diperlukan bagi mempertingkat pengajaran dan pembelajaran, serta memandu dasar.

Beliau berkata demikian di perasmian Persidangan Antarabangsa Membentuk Semula Pedagogi (RPIC) ke-11.

Persidangan anjuran Institut Pendidikan Nasional (NIE) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu berlangsung sehingga 4 Jun, menghimpunkan lebih 1,000 wakil dari lebih 30 negara, termasuk Singapura, untuk berkongsi dapatan kajian, idea, dan pengalaman mengajar.

Menurut Encik Lee, antara tumpuan utama dana baru itu ialah mengkaji kesan penggunaan AI di sekolah.

Sementara itu, tujuh kajian di bawah pusingan kedua dana ini dijadual berlangsung dari Mac hingga Disember.