Mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Syed Harun Alhabsyi, dilihat di GRC Nee Soon pada 27 Mac, kali pertama beliau muncul di khalayak ramai sejak meletakkan jawatan NMP.
Dr Syed Harun, pakar psikiatri berusia 39 tahun, dilihat bersama Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, serta Ahli Parlimen (AP) GRC Nee Soon yang lain semasa lawatan ke tapak lama Sekolah Menengah North View.
Sekolah itu buat masa ini digunakan sebagai tapak sementara Masjid Darul Makmur, yang sedang menjalani kerja naik taraf, lapor The Straits Times (ST).
Antara muka baru PAP yang turut hadir ialah peguam harta intelek Deryne Sim, 40 tahun; Cik Lee Hui Ying, 36 tahun; dan Encik Jackson Lam, 40 tahun, yang meletak jawatan sebagai pengerusi cawangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di SMC Hougang pada Februari.
Kededua Cik Sim dan Encik Lam juga pernah dilihat menghadiri acara lain yang diadakan di Nee Soon dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Pada 14 Februari, Dr Syed Harun dan peguam Raj Joshua Thomas meletak jawatan sebagai NMP.
Ia kali pertama seorang NMP meletak jawatan sebelum menamatkan penggal penuh.
Kededua Dr Syed Harun dan Encik Thomas dilantik sebagai NMP pada Julai 2023 dan masih mempunyai baki sekitar setahun daripada tempoh penggal dua setengah tahun mereka.
Garis masa peletakan jawatan mereka mencetuskan spekulasi mereka mungkin dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), yang mesti diadakan selewat-lewatnya November.
Dalam satu hantaran di Facebook sejurus meletak jawatan, Dr Syed Harun, pakar psikiatri perunding dan pengarah perubatan di Starfish Clinic of Psychiatry & Mental Wellness, memuat naik surat peletakan jawatannya.
Dalam surat itu beliau berkata langkah mengundurkan diri daripada jawatan itu adalah paling wajar kerana beliau bercadang meneroka peluang dalam politik.
Pada 27 Mac, Dr Syed Harun dilihat berbual bersama Encik Shanmugam serta AP GRC Nee Soon yang lain, iaitu Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Cik Carrie Tan; dan Encik Derrick Goh.
Encik Louis Ng, yang juga AP GRC Nee Soon, tidak menghadiri acara itu.
Dr Syed Harun turut berdiri di sebelah Encik Shanmugam dan Dr Faishal ketika mereka diwawancara wartawan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg