Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NMP Raj Joshua Thomas, Syed Harun Alhabsyi letak jawatan

Feb 14, 2025 | 7:33 PM
(Dari kiri) Peguam, Encik Raj Joshua Thomas, dan pakar psikiatri, Dr Syed Harun Alhabsyi, meletak jawatan pada tengah hari 14 Februari.
(Dari kiri) Peguam, Encik Raj Joshua Thomas, dan pakar psikiatri, Dr Syed Harun Alhabsyi, meletak jawatan pada tengah hari 14 Februari. - Foto FACEBOOK RAJ JOSHUA THOMAS, PARLIMEN SINGAPURA

Dua Anggota Parlimen Dilantik (NMP) – peguam, Encik Raj Joshua Thomas, dan pakar psikiatri, Dr Syed Harun Alhabsyi, telah meletak jawatan pada 14 Februari, kira-kira setahun sebelum tamat penggal khidmat dua setengah tahun mereka.

Parlimen memaklumkan kepada Anggota Parlimen (AP) mengenai peletakan jawatan itu pada 14 Februari melalui dua e-mel berasingan yang dilihat The Straits Times (ST).

Biodata mereka juga telah dipadamkan daripada laman web Parlimen pada hari sama.

Langkah itu menimbulkan spekulasi mengenai kemungkinan mereka bakal menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang.

E-mel yang ditandatangani Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng, menyatakan kededua Encik Thomas dan Dr Harun telah meletak jawatan sekitar tengah hari.

Encik Seah berkata mengikut Perlembagaan, kededua kerusi itu dikosongkan bermula dari waktu peletakan jawatan mereka. 

Pengumuman rasmi akan dibuat pada sesi Parlimen akan datang, tambah Encik Seah.

Parlimen dijadual bersidang pada 18 Februari dengan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan membentangkan Belanjawan.

Melampirkan surat peletakan jawatannya dalam satu hantaran di Facebook sekitar 6 petang pada 14 Februari, Encik Thomas berkata beliau tetap “komited untuk berkhidmat kepada Singapura dan rakyat Singapura”.

“Buat masa ini, saya sedang mempertimbangkan untuk melakukannya (berkhidmat kepada rakyat) dengan cara berbeza, yang mana adalah wajar bagi saya untuk meletak jawatan sebagai NMP,” tambahnya.

Beliau turut “berbesar hati atas penghormatan dan penghargaan dapat berkhidmat sebagai NMP selama dua penggal”.

Peletakan jawatan mereka berlaku beberapa hari sebelum waktu paling sibuk dalam kalendar Parlimen – pembentangan Belanjawan dan perbahasan seterusnya mengenai belanjawan setiap kementerian.

Dr Harun telah dihubungi untuk mendapatkan perincian lanjut tentang peletakan jawatan beliau.

Encik Thomas adalah rakan pengurusan di firma guaman Tang Thomas, dan juga presiden Persatuan Keselamatan Singapura.

Manakala Dr Harun adalah konsultan psikiatri dan pengarah perubatan di The Starfish Clinic of Psychiatry & Mental Wellness, dan juga presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).

Kededua mereka dilantik sebagai NMP pada Julai 2023.

Ini adalah penggal kedua Encik Thomas berkhidmat di Dewan, setelah dilantik buat kali pertama pada Januari 2021.

Skim NMP diperkenalkan pada 1990 untuk memastikan perwakilan pandangan yang luas dalam Parlimen, dan setiap penggal boleh mempunyai sehingga sembilan NMP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg