Calon-calon Pilihan Raya Umum (GE) akan datang boleh membelanjakan sehingga $5 untuk setiap pengundi berdaftar, meningkat daripada $4 sebelumnya.
Perubahan ini adalah untuk mengambil kira inflasi, kata Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada 27 Mac.
Kali terakhir had itu disemak adalah pada 2015.
“Jika calon bertanding sebagai sebahagian daripada kumpulan calon yang dicalonkan untuk pilihan raya dalam GRC, had perbelanjaan maksimum ialah $5 setiap pemilih dalam daftar untuk GRC itu, dibahagikan dengan bilangan calon dalam kumpulan yang dicalonkan untuk pilihan raya tersebut,” jelas jabatan itu.
Undang-undang menetapkan jumlah maksimum yang boleh dibelanjakan oleh calon yang bertanding dalam pilihan raya.
Ini adalah untuk memastikan peluang yang adil dan mengelakkan “politik wang,” kata ELD.
Menurut The Straits Times, had perbelanjaan pada 2015 dinaikkan daripada $3.50 kepada $4 bagi setiap pengundi, selepas mengambil kira inflasi. Had itu kekal tidak berubah pada GE2020.
ELD berkata Presiden Tharman Shanmugaratnam juga telah menetapkan Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) mesti mempunyai sekurang-kurangnya seorang daripada calon yang bertanding untuk pilihan raya, tergolong daripada masyarakat Melayu, India atau masyarakat minoriti lain.
GRC yang mesti mempunyai sekurang-kurangnya seorang calon tergolong dalam masyarakat Melayu ialah Aljunied, Bishan-Toa Payoh, Chua Chu Kang, East Coast, Jalan Besar, Marine-Parade Braddell Heights, Marsiling-Yew Tee, Pasir Ris-Changi, Sembawang, Sengkang dan Tampines
GRC yang mesti mempunyai sekurang-kurangnya seorang calon daripada kaum India atau minoriti lain ialah Ang Mo Kio, Holland-Bukit Timah, Jurong East-Bukit Batok, Nee Soon, Punggol, Tanjong Pagar dan West Coast--Jurong West.
Skim GRC diperkenalkan pada 1988 untuk memastikan perwakilan berbilang kaum di Parlimen.
Terdapat 18 GRC dalam pilihan raya akan datang – naik daripada 17 sekarang.
GE akan datang mesti diadakan pada November, namun kebanyakan pemerhati politik percaya ia akan berlangsung menjelang pertengahan tahun.
Kira-kira 2,758,095 orang layak mengundi pada pilihan raya akan datang, peningkatan sebanyak 104,153 pengundi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg