Mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, terkejut dengan kehadiran tetamu istimewa ketika beliau menghadiri acara masyarakat pada 1 Jun.
Salah seorang mantan pegawai keselamatannya, Cik Lim Hwee Yi, muncul di ‘Acara Jalan Kaki SG60 Keamanan dan Kemakmuran Singapura’ (Peace and Prosperity Singapura SG60 Walkathon), di mana Puan Halimah merupakan tetamu terhormat, lapor The Straits Times (ST).
Bercakap kepada ST, Puan Halimah berkata:
“Saya tidak sangka akan berjumpa dengannya, tetapi saya sangat gembira kerana beliau dapat menemani saya hari ini.”
Cik Lim, 27 tahun, memberitahu ST beliau dihubungi oleh penganjur untuk menyertai mantan presiden tersebut dalam acara berjalan kaki itu.
Beliau menambah: “Saya sangat berbesar hati kerana saya akan dapat berjumpa Puan (Halimah) lagi.
“Kali terakhir saya bertemu dengannya ketika beliau menjemput kami ke rumahnya untuk Hari Raya pada tahun lepas (2024).”
Cik Lim meletakkan jawatan sebagai pegawai keselamatan di pasukan polis pada Mei 2024 untuk membantu ibu bapanya di gerai bubur milik mereka yang terletak di One Punggol Hawker Centre.
Puan Halimah, yang kini Canselor di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), berkata:
“Saya sangat gembira kerana beliau menyokong perniagaan ibu bapanya dan melakukannya dengan baik.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg