Mantan peguam, Encik Ravi Madasamy, lebih dikenali sebagai M. Ravi, telah meninggal dunia pada pagi 24 Disember.
Pihak berkuasa berkata seorang lelaki berusia 56 tahun telah dimasukkan ke Hospital Tan Tock Seng pada 6.50 pagi, 24 Disember.
Lelaki itu, yang tidak sedarkan diri, kemudiannya disahkan meninggal dunia.
“Berdasarkan siasatan awal, polis tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah. Siasatan polis sedang dijalankan,” kata polis, lapor The Straits Times (ST).
Peguam Eugene Thuraisingam, yang sebelum ini pernah mewakili mendiang Encik Ravi di mahkamah, berkata mereka berdua adalah rakan.
Beliau amat berdukacita dengan berita pemergian tersebut.
“Beliau telah melalui pelbagai cabaran tetapi sentiasa setia kepada perjuangannya dengan sepenuh hati. Kes-kes yang dihujahkannya telah membantu membentuk undang-undang Perlembagaan di Singapura.
“Beliau telah menyumbang kepada profesion guaman dan akan dirindui,” kata Encik Thuraisingam.
Peguam jenayah daripada Withers KhattarWong, Encik Shashi Nathan, pula berkata Encik Ravi adalah seorang yang baik hati dan telah menyumbang kepada bidang undang-undang.
“Ravi sering menjadi tokoh yang memecahbelahkan pendapat dan bertindak bertentangan dengan arus. Namun jauh di sudut hati, saya sentiasa merasakan beliau baik hati dan mahukan yang terbaik untuk anak guamnya,” ujar Encik Nathan.
Sebelum ini, Encik Ravi pernah memberitahu wartawan pada 2005 bahawa bapanya, yang meninggal dunia pada 2003, adalah seorang yang sering keluar masuk penjara sepanjang sebahagian besar hidupnya.
Ibunya bekerja sebagai buruh pembinaan untuk menyara keluarga. Beliau meninggal dunia pada 2000 pada usia 59 tahun.
Encik Ravi melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di England selepas menamatkan pengajian di Universiti Nasional Singapura (NUS) dengan ijazah Sarjana Muda bidang sains politik dan sosiologi pada 1993.
Beliau mula menjadi peguam pada 1997.
Beliau kekal sebagai tokoh kontroversi dalam kalangan masyarakat guaman, dan mahkamah sebelum ini menyatakan peguam itu kerap berdepan prosiding tatatertib.
Encik Ravi didiagnosis dengan gangguan bipolar pada 2006.
Insiden salah laku terdahulu termasuk membuat tuduhan tanpa asas terhadap institusi undang-undang, bersikap tidak sopan di dalam mahkamah, serta mengendalikan urusan anak guam secara tidak wajar.
Sepanjang dua dekad lalu, beliau telah dikenakan pelbagai tindakan tatatertib, daripada denda kewangan hingga penggantungan daripada amalan guaman sebanyak dua kali.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg