Makna nama ‘Salim’ bererti kedamaian dalam bahasa Arab.
Ia satu prinsip yang membimbing perjalanan Encik Abdul Salim Ahmed Ibrahim, 58 tahun, sepanjang 15 tahun beliau berkhidmat sebagai pengantara sukarela.
Beliau yang mula berkhidmat sebagai pengantara mahkamah pada 2010 itu mendekati setiap kes dengan empati, tidak memihak, seiring komitmen ikhlas ingin membantu mencapai penyelesaian yang diperlukan.
“Saya percaya tujuan saya dalam kehidupan ini adalah untuk membawa ketenangan dan kedamaian. Dengan itu, setiap perkara yang saya lakukan berasaskan prinsip itu,” kata Encik Salim.
Perjalanannya sebagai pengantara mahkamah datang secara semula jadi dengan ilmu yang ada dalam bidang guaman.
Ia dianggap sebagai salah satu wadah beliau dapat menyebarkan kedamaian dalam masyarakat.
Atas sumbangannya itu, beliau menerima Anugerah Bakti Setia pada Majlis Penghargaan Sukarelawan Badan Kehakiman 2025 pada 26 November, di Hotel Grand Hyatt Singapore.
Seramai 27 individu diiktiraf semasa majlis itu dalam tiga kategori, iaitu Anugerah Bakti Setia, Anugerah Bakti Setia bagi Skim Bantuan Guaman bagi Jenayah Berat (Lasco) dan Anugerah Sukarelawan Mahkamah Cemerlang.
Anugerah itu mengiktiraf sumbangan sukarelawan mahkamah yang telah membantu serta menyokong pelbagai program kehakiman untuk individu yang tidak diwakili peguam serta pengguna mahkamah lain, kata Mahkamah Singapura (SG Courts) dalam satu kenyataan.
Ketua Hakim Negara Sundaresh Menon, yang hadir pada majlis tersebut, melahirkan penghargaannya atas komitmen para sukarelawan dalam memastikan keadilan terus dapat diakses oleh semua rakyat Singapura.
Dalam ucapannya, beliau berkata para sukarelawan, meskipun datang daripada latar belakang berbeza, telah tampil bersama atas dedikasi dan komitmen mereka untuk menyokong usaha kehakiman.
“Walaupun datang daripada pelbagai latar belakang dan membantu kami dalam pelbagai cara, anda bersatu dalam semangat dan komitmen untuk memastikan akses kepada keadilan dapat direalisasikan bagi setiap warga Singapura,” kata beliau.
Ini menjadi salah satu tonggak penting dalam sistem keadilan negara, tambahnya.
Bagi Encik Salim, yang juga berkelulusan undang-undang dari Universiti London dan bertugas sebagai seorang peguam litigasi selama lebih tiga dekad, peranan beliau sebagai pengantara membuka perspektif baru.
Menurutnya, pengalaman itu membantunya mengenal pasti isu ketara dalam setiap kes sambil membimbing mereka ke arah penyelesaian yang adil.
“Sebagai peguam, saya menilai setiap kes berdasarkan fakta dan bukti.
“Namun, pendekatan ini berubah apabila saya melaksanakan tugas sebagai pengantara, di mana saya menitikberatkan perasaan individu yang terlibat.
Ini membuka perspektif yang berbeza bagi beliau, yang juga menggalas amanah sebagai pengasas firma guaman, CIVIC Legal LLC, di Oxley Tower.
Antara kes yang paling meninggalkan kesan mendalam kepada Encik Salim ialah pertikaian yang melibatkan seorang pekerja migran yang ketika itu berada dalam keadaan tertekan.
Menurut Encik Salim, pekerja itu dibebani rasa takut akibat menghadapi konflik dengan majikannya, serta keletihan dan ketidakpastian tentang masa depannya.
Tambahan pula, pekerja itu bersikap tertutup dan enggan meluahkan isi hati yang membelenggunya.
Menurut Encik Salim, keadaan itu bukan luar biasa bagi pekerja migran yang sering bimbang akan keselamatan pekerjaan, status imigresen dan risiko salah faham dengan majikan.
“Kadangkala, mereka takut untuk meluahkan hati sebenar kerana risau akibatnya,” tambah beliau.
Namun, dengan kehadiran seorang pengantara yang memudah cara perbincangan dua hala, kes itu akhirnya diselesaikan dalam suasana rundingan yang lebih telus dan saling memahami.
Encik Salim berkata penghargaan yang diterimanya menjadi pengiktirafan kepada nilai yang telah membimbingnya sepanjang berkhidmat sebagai pengantara sukarela.
Dalam pada itu, beliau menegaskan sumbangan seorang sukarelawan tidak harus didorong oleh pujian, tetapi oleh keinginan sendiri untuk membantu mereka yang berdepan kesukaran.
Beliau bertekad ingin terus memainkan peranan sebagai pengantara dan menyokong sistem kehakiman dalam apa jua kapasiti yang termampu.
“Anugerah ini adalah satu pengiktirafan atas segala usaha kesukarelawanan. Selagi saya mampu dan khidmat saya diperlukan, saya akan terus membantu,” tambah beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg