Mantan pengarah Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), Cik Goh Hanyan, dilihat di Sesi Bertemu Penduduk (MPS) di pejabat Parti Tindakan Rakyat (PAP) cawangan Nee Soon Central pada 7 April.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, yang turut hadir, memberitahu wartawan Cik Goh, 39 tahun, adalah seorang yang “sangat berpengalaman di lapangan”.
“Beliau akan menjadi Anggota Parlimen (AP) yang sangat baik di mana sahaja beliau berada, jika dipilih,” katanya.
Encik Shanmugam berkata Cik Goh telah berkhidmat sebagai penjawat awam selama 16 tahun, dan menonjolkan pengalaman beliau bekerja dengan syarikat berbilang negara (MNC) dari Amerika Syarikat.
Cik Goh berkhidmat hampir 10 tahun di Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), termasuk bertugas selama tiga tahun di Washington, lapor The Straits Times (ST).
“Beliau menguruskan pejabat EDB di Washington selama beberapa tahun. Beliau mempunyai pengalaman dalam berurusan dengan MNC dan memahami tawaran nilai Singapura daripada perspektif ekonomi,” kata Encik Shanmugam.
Selepas kembali ke Singapura, Cik Goh terus menangani isu ekonomi seperti usaha menjana pekerjaan dan menarik lebih banyak pelaburan ke Singapura, tambahnya.
Cik Goh, baru-baru ini, berkhidmat sebagai pengarah di Pejabat Strategi Negara Bijak, serta pengarah bagi kumpulan kecerdasan buatan (AI) negara untuk dasar dan strategi di MDDI.
Sebelum itu, beliau bertugas di Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan terlibat dalam isu ekonomi serta kemampanan di bawah kumpulan strategi, selama hampir empat tahun.
Cik Goh memberitahu wartawan pada 7 April beliau menjadi sukarelawan di pelbagai pertubuhan akar umbi sepanjang beberapa tahun lalu, dan baru-baru ini melawat Nee Soon.
“Saya menantikan lebih banyak peluang untuk berkhidmat kepada penduduk di sini dan bekerjasama dengan penduduk dalam masyarakat,” kata Cik Goh.
Sebagai mantan penjawat awam, beliau membawa perspektif global dan pengetahuan tentang cara dasar dirangka dan dilaksanakan, tambahnya.
Turut hadir di pejabat cawangan Nee Soon Central ialah Encik Jackson Lam, seorang lagi muka baru PAP, dan bekas pengerusi cawangan Hougang, serta mantan AP Nee Soon South, Cik Lee Bee Wah, yang bersara daripada politik pada 2020.
Menurut Encik Shanmugam, Cik Lee hadir sebagai mentor.
Cawangan itu dipimpin oleh Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang beberapa minggu kebelakangan ini dilihat di GRC Marine Parade-Braddell Heights.
Apabila ditanya sama ada Dr Faishal akan berpindah dari GRC Nee Soon, Encik Shanmugam berkata perkara tersebut belum dimuktamadkan.
“Tetapi saya rasa, Profesor Faishal mungkin tidak akan bertanding di sini,” katanya.
Seorang mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Syed Harun Alhabsyi, pula dilihat bersama muka baru PAP yang lain di acara masyarakat, termasuk lawatan ke Pusat Penjaja Yishun Park pada 3 April.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg